ALOR SETAR 6 Mei - Pakatan parti pembangkang - Pas, Parti Keadilan
Rakyat (PKR) dan DAP - sebenarnya tidak yakin dapat memenangi pilihan
raya umum ke-13 (PRU-13) dan kerana itu mereka membuat banyak tindakan
untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada, kata bekas Perdana Menteri, Tun
Dr. Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, sejak negara merdeka 55 tahun lepas, pembangkang
tidak pernah berjaya menjatuhkan kerajaan Persekutuan yang diterajui
Barisan Nasional (BN).
“Mereka (pembangkang) sedang bersedia kalau kalah lagi dalam pilihan
raya akan datang, mereka akan cetus huru-hara dengan membuat
demonstrasi, buat desakan kononnya kerajaan sekarang ini tipu bagi
membolehkan BN menang.
“Inilah pendekatan mereka sekarang," katanya kepada pemberita selepas
majlis Wacana Tokoh Negarawan Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama Penjawat
Awam Persekutuan Negeri Kedah, di sini hari ini.
Dr. Mahathir berkata, beliau yakin kerajaan yang ada sekarang kuat dan mampu untuk menjaga keamanan negara.
“Kalau kerajaan lemah, mereka tidak akan mampu untuk mentadbir negara
dengan baik seperti sekarang dan mungkin juga akan digulingkan oleh
rakyat," katanya.
Dr. Mahathir berkata, rakyat perlu berhati-hati dengan Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana Anwar dianggap sebagai
pemimpin pilihan Amerika.
“Sejak zaman saya menjadi Perdana Menteri lagi, dia (Anwar) telah
dianggap sebagai PM Malaysia oleh Amerika dan dia sendiri pernah membawa
(anggota) Kongres Amerika datang ke sini," katanya.
Selain itu, Dr. Mahathir berkata, terdapat kemasukan wang asing di negara ini bagi menjayakan agenda negara kuasa besar itu.
“Saya tahu banyak juga NGO yang mendapat bantuan wang daripada
badan-badan tertentu Amerika Syarikat dan negara-negara lain. Mereka
bagi wang ini untuk menjayakan agenda mereka bukannya agenda kita.
“Ia berlaku sejak dari zaman saya lagi dan NGO itu telah
diperalatkan. Saya yakin parti-parti politik pun ada yang terima wang
tersebut," katanya.
Beliau menasihatkan rakyat supaya berhati-hati dan memilih pemimpin
yang betul bagi mengelakkan negara dikongkong dan dijajah semula.
Terdahulu, dalam ucapannya Dr. Mahathir berkata, pelbagai pembangunan
telah dilakukan kerajaan Pusat bagi memberi kesenangan kepada rakyat.
“Apa yang dilakukan oleh kerajaan itu menunjukkan kerajaan sangat
prihatin dan sentiasa memikirkan nasib rakyat dan untuk membela rakyat,"
katanya. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan