KUALA LUMPUR 30 April - Pembohongan Ketua Pembangkang, Datuk Seri
Anwar Ibrahim serta Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin
Ali kononnya polis yang memulakan kekecohan semasa perhimpunan haram
Bersih 3.0 Sabtu lalu akhirnya memakan diri.
Pihak yang melondehkan pembohongan Anwar dan Azmin itu pula adalah
kumpulan wartawan daripada media arus perdana, agensi berita luar
negara, media propembangkang serta portal berita yang bersatu mengasak
mereka semasa sidang media di Ibu pejabat PKR, di sini hari ini.
Akibatnya, Anwar dan Azmin terpaksa menahan malu kerana setiap
pembohongan mereka dipatahkan kumpulan wartawan berkenaan memandangkan
rata-rata petugas media terbabit melihat sendiri arahan Ketua
Pembangkang agar peserta demonstrasi merempuh halangan polis.
Malah cubaan Anwar menggunakan taktik kegemaran beliau iaitu
melabelkan petugas media yang bertanya soalan panas sebagai balaci UMNO
dan Barisan Nasional (BN) juga gagal apabila wartawan Agenda Daily, Roslan Bian, secara keras menyanggah tuduhan tersebut.
Dalam pada itu, tindakan Azmin menuduh wartawan yang mendedahkan
arahan beliau bahawa 'Dataran Merdeka boleh masuk' sebagai berbohong
juga dibalas secara keras apabila petugas media terbabit berkata, dia
berada bersebelahan Azmin ketika itu.
"Saya berada hampir dengan Yang Berhormat dan saya mendengar dengan
jelas kata-kata Yang Berhormat kepada peserta demonstrasi bahawa
'Dataran Merdeka boleh masuk...boleh masuk'," kata wartawan portal
berita Malaysian Digest's, Shaik Mohamad Amin Shaik Alaudin.
Tertekan dengan keadaan itu, Anwar dan Azmin cuba mengalih isu dengan
berkata, kehadiran peserta yang didakwa seramai 300,000 orang lebih
besar daripada isu merempuh halangan polis sehingga menimbulkan
huru-hara.
Namun Ketua Pembangkang itu sekali lagi tersentak apabila seorang
peserta demonstrasi Bersih 3.0, Benjy Lim yang turut berada dalam sidang
media tersebut secara tiba-tiba menyergah dan mendakwa Anwar
bertanggungjawab mencetuskan keadaan huru-hara.
Beliau berkata, tindakan Anwar itu telah menyebabkan nyawanya dan
peserta demonstrasi lain yang datang untuk berhimpun secara aman bagi
menuntut pilihan raya bersih dan adil terdedah kepada bahaya.
"Saya tahu cara polis beroperasi di negara ini kerana saya bukan baru
sehari hidup, rusuhan itu berpunca kerana pembangkang yang memulakan,"
katanya menyanggah jawapan Anwar yang berterusan menyalahkan pihak
polis.
Gagal menjawab segala dakwaan Benjy secara objektif, Anwar akhirnya
berjanji akan 'melayan' lelaki itu pada sesi lain kerana sidang media
yang dianjurkan tersebut hanya khusus untuk wartawan dan bukan platform
untuk pihak yang tiada kaitan dengan media.
/HWA: utusan.com.my | 3/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan