9 Mei 2012

Penipuan pembangkang didedah 10 Mei ini

KUALA LUMPUR 7 Mei - Pembohongan pembangkang mengenai kewujudan enam hingga tujuh kotak yang kononnya mengandungi fail-fail rasuah membabitkan beberapa pemimpin kerajaan semasa kempen Pilihan Raya Umum 1999 akan didedahkan pada ceramah Kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) pada 10 Mei ini.
Pesuruhjaya TIBAI Selangor/Wilayah Persekutuan, Wan Indra Putra Ahmad berkata, perkara itu adalah antara isu yang akan dibangkitkan oleh 18 penceramah yang merupakan bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada ceramah bertemakan Sumpah Keramat TIBAI 2012 di kawasan lapang, Jalan Utama, Pinggiran Batu Caves, Gombak.
Katanya, selain beliau, ceramah yang bermula pada pukul 8.30 malam Khamis ini akan turut melibatkan Senator Ezam Mohd. Nor; Mursyidul Am TIBAI, Zahid Md. Arip; Senator Datuk S. Nallakaruppan, Hamidzun Khairuddin, Datuk Seri Zahrain Mohd. Hashim dan Anuar Shaari.
"Kalau kita masih ingat, pembangkang mendakwa memiliki berkotak-kotak fail rasuah yang kononnya melibatkan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri S. Samy Vellu dan Tan Sri Rafidah Aziz tetapi ia tidak pernah didedah dan wujud sampai hari ini.
"Saya masih ingat lagi pemimpin pembangkang terbabit mengatakan semasa pertemuan dengan Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada 1999 itu bahawa kelemahan orang Melayu ialah fitnah dan agenda, maka dia minta kami uar-uarkan mengenai 'kotak-kotak fail rahsia rasuah ini' ke seluruh negara," kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Wan Indra Putra yang juga bekas Setiausaha Pergerakan Pemuda Parti Keadilan Nasional Selangor pada 1999 berkata, pihaknya berpendapat orang ramai perlu tahu mengenai helah dan tipu daya pembangkang terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 tidak lama lagi.
"Saya masih ingat, Ruslan Kassim pada waktu itu Ketua Penerangan Pemuda Keadilan menyanggah pemimpin pembangkang terbabit dengan mengatakan 'buat apa kita hendak tipu rakyat, kita ni sembahyang lima waktu pun belum tentu diterima-Nya'.
"Tapi pemimpin pembangkang terbabit jawab 'lepas kita menang PRU 1999, saya akan hantar kamu semua ke Mekah, pegang kain Kaabah dan kemudian kamu semua bertaubat, hilanglah semua dosa tu'," jelas beliau.
Wan Indra Putra menegaskan, selepas kawasan Parlimen Gombak Khamis ini, TIBAI akan mengadakan satu lagi ceramah Sabtu ini bermula 8.30 malam di Padang Awam, belakang Sekolah Rendah Agama, Kampung Tasik Tambahan, Ampang.
"Ia akan melibatkan beberapa penceramah lagi yang kesemuanya bekas pemimpin PKR termasuk Azwanddin Hamzah, Rahimi Osman dan Abdul Ghani Haron," katanya yang juga Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS).
Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Raafedi Talib di talian 013-6111046, Imanuddin Mohd. Yusof (013-3516201) atau Saipol daripada sekretariat TIBAI (010-269 4774).
/HWA: utusan.com.my | 8/8//12

Tiada ulasan: