CERITA muzakarah Pas dan UMNO adalah suatu cerita karut yang bertujuan untuk merosakkan imej UMNO di kalangan bukan Melayu.
UMNO dan orang Melayu di luar Pas jangan menyambut anjuran muzakarah
ini dengan sentimen perpaduan Melayu kerana reaksi seumpama ini akan
menunjukkan kepada bukan Melayu betapa perkaumannya UMNO yang telah
sekian lama merekodkan sejarah muhibahnya dengan kaum lain terutama
orang Cina di negara ini.
Jika muzakarah ini diadakan, yang untung ialah Pas kerana ia telah
dapat meyakinkan golongan pelampau Cina bahawa Pas tidak lagi
memperjuangkan negara Islam dan sanggup berbuat apa sahaja sebagaimana
dikehendaki oleh DAP demi perpaduan dengan bukan Melayu.
Generasi baru Cina yang tidak mengenal sejarah tidak tahu bahawa
parti inilah yang menyokong konfrantasi Indonesia dan pemimpin mereka
mempunyai rekod perkauman Melayu dan jumud dalam fahaman agama.
Berlakunya hal ini bukanlah suatu perkara baru kerana golongan
nasionalis Melayu berhaluan kiri pernah bekerjasama dengan Parti Komunis
Malaya (PKM) malah ada ustaz dan ustazah yang berjuang bersama-sama
pengganas komunis di dalam hutan.
Sekarang DAP dan Pas saling meyakini bahawa apabila mereka menguasai
Putrajaya kelak, DAP akan dapat menundukkan Pas kepada dasar-dasarnya
dengan pengaruh dan kuasa wang yang berada di tangan orang Cina dan Pas
pula yakin dapat mengikat DAP dengan kuasa Melayu dan Islam yang
disembunyikannya sekarang.
Pastinya kepercayaan kedua-dua pihak ini akan bertembung dan
memporak-perandakan kestabilan politik kerana mereka tidak dapat membuat
suatu penyelesaian muktamat sebelum memerintah seperti yang dilakukan
oleh UMNO dan rakan-rakannya dalam Perikatan menerusi kontrak sosial
sejak sebelum merdeka. Masalah yang dihadapi kemudiannya telah juga
dapat diselesaikan kerana adanya kontrak ini.
Jika dilihat dari segi sejarah, keyakinan perpaduan Melayu menerusi
Pas dan UMNO ini adalah suatu keyakinan yang palsu dan karut. Ini kerana
dapat dilihat dengan jelas, perpisahan ideologi antara golongan kiri
dalam parti-parti Melayu dengan kepimpinan UMNO yang berhaluan kanan
yang berlaku sejak selepas orang Melayu berjaya menentang Malayan Union
dan menggantikannya dengan Perlembagan Persekutuan tetapi
pemimpin-pemimpin kiri Cina dan Melayu menolak Perlembagaan ini dan
mahukan Perlembagaan Rakyat yang menolak kuasa raja.
Utusan Melayu yang didukung oleh wartawan-wartawannya yang berhaluan
kiri turut memperjuangkan Perlembagan Rakyat dan penganjuran hartal
(penutupan kedai perniagaan) oleh pihak komunis. Dasar kiri Utusan
Melayu yang menyokong golongan nasionalis kiri Melayu termasuk Pas
dipatahkan oleh UMNO pada 1961 dengan mengambil alih Utusan Melayu.
Orang UMNO tidak akan dapat menjiwai semangat nasionalis Pas atau
mendukung parti chauvanis Cina seperti DAP. Nasionalis UMNO tidak
mungkin dapat berada dalam semangat nasionalis Islam Pas yang berasaskan
kepada revolusi Indonesia dan revolusi Iran. Sekalipun Pas telah
melemparkan negara Islamnya tetapi apabila sampai saat dan masanya maka
ia akan timbul semula.
Perbezaan ‘orang asing’ dengan orang yang berjati diri UMNO bila
tersingkir atau terkeluar daripada parti ini dapat dilihat melalui
tindakan Tengku Razaleigh Hamzah dan Anwar Ibrahim. Tengku Razaleih
tidak dapat menjadi pembangkang sejati sebaliknya masih mahu memakai
baju UMNO. Beliau menubuhkan parti yang menjiwai semangat UMNO
bersama-sama rakannya daripada bekas UMNO.
Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn pernah keluar daripada UMNO
dan kemudian menyertai Parti Semangat 46 kerana melihat semangat UMNO
dalam parti itu dan Semangat 46 itu sendiri adalah jelmaan semangat
UMNO. Tun Dr. Mahathir Mohamad juga keluar daripada UMNO untuk
membetulkan UMNO dari luar (kemudian kembali masuk UMNO) dan demikian
juga Ibrahim Ali yang berjuang menerusi Perkasa memberikan sokongan
kepada UMNO.
Keluar masuk mereka ini daripada UMNO tidak pernah dianggap oleh UMNO
sebagai orang asing malah tetap dikenang sebagai pemimpin UMNO dari
zaman ke zaman. Demikian juga pengasas UMNO Dato’ Onn Jaafar.
Ini berbanding jauh dengan Anwar yang hanya beberapa minit sahaja
selepas dipecat daripada UMNO terus menelanjangi jati dirinya sebagai
orang yang benar-benar benci kepada UMNO dan bukan darah daging UMNO,
lantas berada di pihak pembangkang dan langsung tidak mempunyai masalah
untuk memperlihatkan asal usul kejatian dirinya, malah sampai kepada
peringkat untuk menghapuskan sejarah dan jasa UMNO kepada negara ini.
Anwar bukanlah darah daging UMNO tetapi menyertai UMNO dengan hasrat
untuk menjalankan penyusupan dan menukarkan keperibadian UMNO. Dia juga
ingin menukar dasar dan pemerintahan secara drastik menurut semangat
revolusinya tetapi Tuhan tidak mengizinkannya.
Jika ini berlaku maka tidak dapat tidak pemimpin yang dianggap
sebagai revolusioner tidak akan dapat menjayakan cita-citanya,
sebaliknya akan mengikut telunjuk Barat kerana “File Anwar" termasuk
aktiviti luar biasanya berada dalam tangan Barat.
Seorang lagi yang berada dalam tangan Barat dan berada dalam krisis
moral sedang menjadi pemimpin besar pembangkang, termasuk ketua utama
kepada Pas.
Maka hasrat orang UMNO dan orang Melayu untuk perpaduan Melayu
menerusi jalinan hubungan dengan Pas adalah mimpi yang di luar pemikiran
rasional dan logik terutama sekali kerana Pas sendiri bukan parti
politik yang bebas.
Pas sekarang banyak bergantung kepada Anwar termasuk dari segi tabung
kempen pilihan raya dan kecekapan bermain sandiwara jalanan dan
melakukan pembohongan demi pembohongan yang mudah meyakinkan orang
fanatik dan jumud.
Tidak sesiapa pun melihat keikhlasan dalam tawaran muzakarah daripada
Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada UMNO, terutama sekali
kerana ia dibuat dalam suasana kempen pilihan raya dan dalam keadaan Pas
tertekan dan terdesak.
Ia merupakan suatu strategi pilihan raya Nik Aziz yang halus dan
bijak untuk menunjukan kesegaran dan kekuatan Pas dalam keadaan
menghadapi keruntuhan moral yang amat teruk berikutan tindakan Naib
Presiden DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim keluar daripada DAP. Beliau
merupakan permata Melayu kepada DAP.
Sebenarnya kemasukan Tunku Abdul Aziz ke dalam DAP tidak lama dahulu
tidak mengejutkan UMNO. Ini kerana beliau bukan pemimpin yang mempunyai
pengaruh akar umbi di kalangan orang Melayu, namun DAP menganggapnya
sebagai kemenangan besar untuk menunjukkan UMNO tidak bersih kerana
seorang profesional Melayu yang bersih dan mempunyai nama besar dalam
dunia korporat lebih bersedia menerima DAP daripada UMNO.
Tetapi suatu tamparan hebat telah berlaku terhadap DAP. Tindakan
Tunku Abdul Aziz tidak boleh dianggap sebagai dipengaruhi oleh sesiapa
kerana dari segi politik ia adalah kesilapannya sendiri kerana beliau
lebih mementingkan prinsipnya daripada kepentingan politik.Tindakan itu
membuktikan bahawa beliau bukan orang politik tetapi sebenarnya seorang
profesional. Namun dari segi politik memang merugikan partinya dan ada
kewajaran tindakan DAP itu.
DAP tidak boleh menuduh UMNO terlibat atau marah kepada UMNO dan BN
kerana menggunakan isu Tunku Abdul Aziz untuk kepentingan politik
mereka. Ini adalah keharusan dalam politik. Isu ini sangat mahal
harganya dan amat besar pengaruhnya ke atas rakyat yang mencintai
demokrasi yang akan mendatangkan malapetaka kerosakan kepada imej DAP.
Isu ini menimbulkan keraguan kepada masyarakat Melayu dan bukan
Melayu terhadap sikap demokratik DAP yang memecatnya kerana terserlah
kejujuran dan keikhlasannya untuk membawa DAP bekerjasama dengan
pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang bersungguh-sungguh melakukan
transformasi sosio politik dan ekonomi di negara ini.
DAP barangkali pada pandangan Tunku Abdul Aziz lebih sesuai bersama
dengan UMNO daripada PKR yang kotor dan daripada Pas yang tidak
bertamadun, kolot dan jumud.
Di mata umum juga kewibawaan Najib jauh lebih hebat daripada Anwar
yang terpalit dengan pelbagai krisis moral yang tidak pernah terdengar
berlaku kepada mana-mana pemimpin Islam di negara ini sebelumnya.
Di kalangan umum pula timbul pertanyaan umum bagaimanakah Nik Aziz
seorang tok guru masih sanggup bersekongkol dengan pemimpin parti yang
tidak bermoral dan bekerjasama dengan DAP yang tidak lagi berpegang
teguh kepada prinsip politik demokrasi, sebaliknya sanggup mengorbankan
pemimpin-pemimpin yang mahu bercakap secara bebas untuk menegakkan
kebenaran dan demokrasi.
DAP tidak dapat menyerupai PAP atau mencontohi kepimpinan Lee Kuan
Yew yang bersih di Singapura terutama dalam soal rasuah. Ini disedari
oleh Tengku Aziz, dan beliau tidak dapat bersabar lagi.
Cuma apa yang dapat dicontohi pemimpin besar DAP Lim Kit Siang
daripada mentornya hanyalah dari segi menjadikan anaknya sebagai Ketua
Menteri Pulau Pinang yang mana Kuan Yew berjaya menjadikan anaknya
sebagai Perdana Menteri Singapura.
Berasaskan kepada semua latar belakang ini, Pas tidaklah seharusnya
menjadi pilihan UMNO untuk perpaduan Melayu tetapi sebaliknya perpaduan
Melayu hanya akan wujud dengan melumpuhkan Pas. Kesempatan haruslah
diambil daripada keruntuhan moral dan kekalutan politik Pas sekarang
untuk memusnahkan sama sekali Pas.
Sekarang bukan masanya untuk bermuzakarah. PENULIS ialah Karyawan Tamu Institu, Pemikiran Tun Dr. Mahathir, UUM.
/hwa: utusan.com.my | 21/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan