16 Mei 2012

Tegas dengan pendirian

Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim 
*****
KUALA LUMPUR 15 Mei - Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim (gambar) menegaskan, beliau tidak akan kembali kepada parti itu biar pun dipujuk oleh sesiapa juga.
Sambil menyifatkan tindakan meninggalkan DAP dilakukan secara bermaruah, beliau berkata, keputusan tersebut adalah muktamad.
"Saya cuma kata perhimpunan Bersih 3.0 adalah aktiviti haram, mengapa saya perlu dikecam dan sekarang bila saya buat keputusan untuk tinggalkan parti, baru nak kecoh minta saya kembali.
"Tidak kira siapa juga yang berhasrat mahu memujuk saya, keputusan saya adalah muktamad. Saya keluar secara bermaruah dan tidak sesekali terfikir untuk kembali," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang meminta beliau kembali kepada parti itu.
Semalam, Tunku Abdul Aziz membuat keputusan keluar daripada DAP berkuat kuasa serta-merta selepas dikecam kepimpinan parti itu kerana mengkritik Bersih 3.0.
Tunku Abdul Aziz menegaskan, DAP seharusnya berfikir panjang sebelum mengecam beliau kerana mengkritik perhimpunan haram tersebut yang diadakan pada 28 April lalu.
Beliau berkata, keputusan meninggalkan DAP mungkin bukan sesuatu yang mengejutkan kepimpinan parti tersebut kerana mereka mungkin sudah menduganya sejak awal lagi.
Menurut Tunku Abdul Aziz, peletakan jawatan beliau dapat dielakkan jika DAP memberikan platform yang luas kepadanya untuk menyuarakan pendapat.
"Mereka tidak berfikir panjang sebelum mengkritik saya, tetapi kini baru hendak sedar, ia sudah terlambat," tegasnya.
/HWA: utusan.com.my | 16/5/12

Tiada ulasan: