KUALA LUMPUR 9 Mei - Ekoran kenyataannya yang menolak perhimpunan
jalanan di ibu negara baru-baru ini, DAP tidak melanjutkan tempoh
keanggotaan Dewan Negara yang disandang Naib Presiden parti, Tunku Abdul
Aziz Tunku Ibrahim.
Perkara itu disahkan oleh Tunku Abdul Aziz sendiri kepada Bernama
ketika ditanya mengenai laporan portal berita bahawa tempoh keanggotaan
beliau sebagai Senator, yang akan berakhir pada 30 Mei ini, tidak akan
diperbaharui.
"Ya, perkara itu (tidak dilantik semula) benar. Itu cuma pengorbanan
yang kecil," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada majlis jamuan
perpisahan bagi meraikan anggota Dewan Negara yang tamat tempoh
perkhidmatan di bangunan Parlimen di sini.
Tunku Abdul Aziz mengesahkan bahawa ia adalah susulan kenyataannya
ketika membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada persidangan
Dewan Negara 24 April lepas yang secara terbuka menolak perhimpunan
dirancang badan bukan kerajaan dan disokong pembangkang di Kuala Lumpur
28 April lepas.
Tunku Abdul Aziz menyertai DAP pada 2008 dan dilantik sebagai Senator
pada 2009 bagi kuota kerajaan negeri Pulau Pinang. - BERNAMA.
/HWA: utusan.com.my | 9/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan