15 Mei 2012

Tunku Abdul Aziz keluar DAP

KUALA LUMPUR 14 Mei - Pemimpin Melayu DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang dikecam hebat pembangkang kerana mengkritik perhimpunan haram Bersih 3.0 pada 28 April lalu, hari ini mengumumkan keluar daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.
Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi lewat malam ini, beliau berkata, adalah lebih elok dia melepaskan jawatan Naib Pengerusi parti kerana tidak mahu perbalahannya dengan pemimpin DAP lain berlarutan.
"Ya, benar saya telah tinggalkan parti. Saya mengalami masalah dengan DAP dan tidak mahu memanjangkan masalah ini lagi.
"Puncanya adalah Bersih 3.0. Saya tidak menyokongnya kerana ia adalah perhimpunan haram," katanya.
Tunku Abdul Aziz bagaimanapun berkata, beliau tidak bercadang menyertai mana-mana parti seperti yang didakwa sesetengah pihak.
"Saya tidak 'dibeli' dan saya tidak berminat menyertai mana-mana parti buat masa ini," katanya.
Bekas Pengerusi Transparency International Malaysia yang menyertai DAP pada 2008 itu membangkitkan kemarahan Setiausaha Agung parti, Lim Guan Eng apabila mengecam Bersih 3.0 dua hari sebelum penganjurannya.
Ekoran itu Guan Eng menyifatkan tindakan Naib Pengerusi partinya itu yang secara terbuka mengkritik perhimpunan berkenaan sebagai memalukan DAP.
Guan Eng juga mendakwa Ahli Dewan Negara itu bersendirian dalam pandangannya itu selain menuduhnya telah melanggar proses parti.
Ekoran tindakannya itu, tempoh Senator yang disandang Tunku Abdul Aziz tidak disambung.
Guan Eng menganggap bantahan terbuka yang dilakukan oleh Tunku Abdul Aziz itu menjejaskan usaha pembangkang dalam membuat perubahan membabitkan sistem pilihan raya serta memberi kelebihan kepada Barisan Nasional dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Bersih 3.0 yang dijamin pakatan pembangkang akan berlangsung dalam keadaan aman dengan konsep 'duduk bantah' bagaimanapun bertukar ganas dan tidak terkawal apabila pengikut dan penyokong merempuh halangan polis untuk memasuki kawasan larangan Dataran Merdeka.
/HWA: utusan.com.my | 15/5/12

Tiada ulasan: