ENAM puluh enam tahun usia UMNO yang disambut semalam membawa erti yang amat signifikan buat tonggak Barisan Nasional itu.
Meskipun ‘dihambat ‘dan cuba dinafikan peranannya oleh pembangkang
sejak 2008 dan tambah agresif lagi beberapa bulan ini dalam memacu
ekonomi dan kestabilan negara, UMNO yang diterajui Presidennya, Datuk
Seri Najib Tun Razak bersama rakan-rakan parti komponennya terus
berganding bahu meredah cabaran domestik dan global.
Hakikatnya bukan mudah mengetuai kerajaan Malaysia yang tersedia
aman dari segala segi. Kalau memimpin sebuah negara yang bergolak, pasti
ada cara tertentu yang dipraktiskan kerana sudah tentulah ada isunya -
peperangan.
Tetapi Malaysia, senarionya aman, tenteram dan memiliki segalanya.
Namun kerajaannya sentiasa ‘tidak menang tangan’ melayan gelagat dan
kerenah parti-parti pembangkangnya yang amat gemar mengadu- domba
sesuatu isu dengan tipu muslihat yang amat kejami. Jika sesuatu itu
benar dan terbukti sahih sekali pun tetap akan dinafikan sehingga mereka
pasti tipu daya itu telah ‘bersarang’ dalam kalangan segelintir rakyat.
Isu loji nadir bumi Lynas di Gebeng antara satu contoh nyata
pembohongan pembangkang yang cuba menidakkan kebenaran. Lebih
membimbangkan lagi secara halus cuba menyekat usaha negara untuk
memastikan kemantapan ekonomi rakyatnya dan mengharungi persaingan
global.
Walaupun laporan IAEA memperaku analisis komprehensif mengenai aspek
alam sekitar, kesihatan dan keselamatan berkaitan projek Lynas, ia
tetap ditolak oleh pembangkang seolah-olah mereka ‘mengetahui
segala-galanya’.
Cuma dalam soal ini, rakyat Malaysia perlu realistik. Tahun-tahun
kebelakangan ini telah menyaksikan pengiktirafan terhadap ciri-ciri unik
unsur nadir bumi dalam aplikasi-aplikasi tertentu. Kesannya, permintaan
global untuk nadir bumi dalam magnet, bateri, superkonduktor dan laser,
telah menyaksikan kenaikan yang mendadak.
Dan walaupun endapan nadir bumi telah dijumpai di 29 negara di
seluruh dunia, hanya China muncul sebagai negara yang memberi perhatian
serius dalam perlombongan dan penghasilan nadir bumi. Negara itu kini
yang memiliki 100 syarikat dalam industri ini yang menghasilkan 230,000
tan nadir bumi sekali gus membekalkan 97 peratus daripada permintaan
bahan itu ke seluruh dunia.
Dalam isu ini, Kuala Lumpur diperakui oleh Akademi Sains Malaysia
dalam laporannya mempunyai 0.03 peratus daripada simpanan dunia bagi
mineral nadir bumi.
“Kami menjangkakan pembangunan perlombongan dan pemprosesan nadir
bumi boleh menjadi titik kebangkitan industri perlombongan negara ini,"
menurut laporan itu yang diterbitkan pada Ogos 2011.
Inilah antara cabaran yang perlu dipikul oleh UMNO dan parti-parti
komponen yang ditunjanginya - untuk melayan kerenah pembangkang yang
matlamatnya bukan untuk melihat rakyat Malaysia menikmati kemakmuran
dari hasil buminya, malah jauh dari itu menidakkan fakta dan berbohong
pula.
Dan, kalau ditinjau ke isu-isu tempatan atau domestik, demikianlah
juga keadaannya - tetap menjadi ‘mainan dan muslihat’ pembangkang.
Di Putrajaya ketika satu pihak menabur budi, di sebelah sana pula lagi sibuk dengan menyebar dakyah.
Ketika setiap Jumaat satu pihak ini menghantar air zam-zam ke surau
dan masjid di Pusat Pentadbiran Persekutuan itu, sebelah pihak lain
bergegaslah pula ke rumah-rumah berdekatan. Khabarnya, pihak itu
mengedarkan akhbar ‘lidah rasmi’ mereka. Meskipun bacaan hanya untuk
ahli, tak diambil hirau mereka. Dengan tidak ketahuan sumber dan bahan
berita daripada mana, taktik itu merupakan jalan pintas ‘paling
berkesan’ untuk ‘menawan’ Putrajaya.
Jika pada 2008 jumlah pengundi di Putrajaya cuma sekitar 6,500
orang, kali ini menjelang PRU-13 ia naik sekali ganda mencecah 13,000
orang. UMNO di pusat pentadbiran itu memiliki keahlian sekitar 3,000
orang dengan 2,000 lagi sedang dalam proses permohonan. Kalau
dicampurkan baru 5,000 ahli. Ditolak 13,000 tadi, masih berbaki 8,000
yang belum pasti haluan undinya - masih atas pagar.
UMNO menyedari semua itu - bahawa Putrajaya kini tidak seperti pada
2008 apatah lagi pada 2004. Putrajaya kini sama lanskap politiknya
dengan bandar-bandar besar lain - Kuala Lumpur, George Town, Shah Alam,
Kuching dan lainnya. Masalah dari segi penyediaan prasarana dan
kemudahan di Putrajaya tidak ada, kegiatan jenayah jauh sekali kes yang
hendak dihitung, apa lagi kalau kes kemalangan jalan raya yang boleh
dikiralah - kadang-kala sekali dalam tempoh tiga atau empat bulan. Dan
kalau adapun hanyalah kemalangan kecil tetapi akan muncullah nanti
kelibat ramai anggota polis trafiknya.
Dengan pasukan keselamatan sendiri mengawal banyak kementerian di
situ, maka wujud kediaman yang selamat, hatta berjogging di malam hari
pun selesa.
Kalau itulah analogi yang dipegang, maka selamatlah kerusi Putrajaya
di tangan BN. Namun UMNO dikatakan lebih realistik. UMNO sedar faktor
sentimen sebenarnya lebih penting dari semua itu. Kalau tidak, masakan
di bandar-bandar besar yang boleh dikatakan tidak ada masalah asas pun,
BN boleh kecundang.
Projek Lynas dan kegiatan menyebar dakyah ke rumah-rumah selain
faktor sentimen dan persepsi, merupakan cabaran domestik dan global yang
perlu dipikul UMNO memasuki usia 66 tahunnya.
Najib memerlukan komitmen ini untuk mendepani cabaran-cabaran
berkenaan. Beliau menuntut kerjasama ini daripada semua pihak terutama
kalangan parti-parti komponen BN.
/HWA: utusan.com.my | 12/5/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan