SEBAHAGIAN pegawai yang hadir pada
program Taklimat Pilihan Raya Umum Ke-13 untuk Pegawai Pengurus dan
Penolong Pegawai Pengurus Negeri Terengganu di Kuala Terengganu,
semalam. - UTUSAN/Shaifudin Mohd. Nor
*****
KUALA TERENGGANU 4 Jun - Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR) resah dengan sikap dingin 3.6 juta rakyat negara ini yang layak
mengundi tetapi masih gagal mendaftarkan diri sebagai pengundi menjelang
Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang dijangka diadakan pada bila-bila
masa dari sekarang.
Daripada jumlah itu, Selangor mencatatkan angka tertinggi iaitu
600,000 orang diikuti beberapa negeri termasuk Johor (492,454), Wilayah
Persekutuan (360,000), Perak (lebih 300,000) dan Kelantan (kira-kira
200,000).
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, Terengganu
merupakan negeri terendah dengan catatan hanya 46,000 orang yang belum
berbuat demikian.
"Perkembangan ini menunjukkan masih ramai rakyat yang belum mendaftar
sebagai pengundi," katanya kepada pemberita selepas program Taklimat
Pilihan Raya Umum Ke-13 untuk Pegawai Pengurus dan Penolong Pegawai
Pengurus Negeri Terengganu di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau merayu orang ramai yang termasuk dalam
golongan itu agar mendaftar segera sebagai pemilih dan berharap 12.9
juta rakyat yang sudah berdaftar supaya segera menyemak semula daftar
pemilih masing-masing dalam tempoh sebulan bermula Jumaat lalu.
Bagi tujuan itu, jelas beliau, SPR kini membuka talian telefon
03-88856565 atau khidmat pesanan ringkas (SMS) 15888 selain laman web
SPR bagi memudahkan mereka yang berkenaan membuat semakan semula dengan
kadar segera.
"Kita harap mereka dapat membuat semak semula dalam tempoh sebulan
ini untuk mengetahui di mana tempat mereka daftar dan mengundi.
"Tolong semak segera dan kemas kini mengikut alamat asal yang tepat,
kita tak mahu timbul kekecohan pada hari pengundian nanti hanya kerana
mereka tidak tahu alamat sebenar," jelasnya.
Wan Ahmad berkata, jika PRU-13 akan datang diadakan sebelum bulan puasa iaitu Julai, maknanya Parlimen akan dibubarkan Jun ini.
Mengenai persediaan SPR menghadapi pilihan raya umum, beliau memberi
jaminan pihaknya sudah bersedia dan akan memastikan ia berjalan lancar
walaupun menjangkakan pilihan raya umum kali ini lebih 'panas' dan
mencabar.
/hwa: utusan.com.my | 5/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan