KUALA LUMPUR 10 Jun - Walaupun didesak pelbagai
pihak supaya menjawab tuduhan mengawal 20 akaun induk bernilai RM3
bilion, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus berdiam diri
dan enggan memberi sebarang penjelasan.
Beliau sebaliknya terus berdolak-dalik dan cuba melibatkan Timbalan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam usaha mengalih perhatian
rakyat terhadap tuduhan berkenaan.
Semalam, Anwar dalam satu sesi dialog ekonomi di Petaling Jaya
memberitahu, beliau bersedia mendedahkan akaun bank miliknya dan
menjelaskan berhubung dakwaan mengawal akaun induk bernilai RM3 bilion
sekiranya Muhyiddin juga melakukan perkara sama.
Anwar juga berkata, beliau sedia menyerahkan semua akaun terbabit dan
disiasat sepenuhnya sekiranya Muhyiddin bersetuju berbuat demikian.
Malah, katanya, siasatan juga harus disegerakan sekiranya Muhyiddin sedia melakukan perkara sama.
Isu pemilikan akaun induk berkenaan timbul semula apabila ahli
perniagaan, Ummi Hafilda Ali memaparkan pendedahan bekas Penolong
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Murad Khalid menerusi
keratan akhbar Utusan Malaysia pada 29 Oktober 1999 dalam satu sidang akhbar 30 Mei lalu.
Dalam pendedahan yang dibuat hampir 13 tahun lalu itu, Abdul Murad
mendakwa Anwar mengawal sebanyak 20 akaun induk membabitkan aset, saham
dan wang yang keseluruhannya bernilai lebih RM3 bilion.
Sejak isu itu dibangkitkan semula, pelbagai pihak terutamanya di
kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan bekas-bekas ahli Parti
Keadilan Rakyat (PKR) tampil membuat laporan polis mendesak Anwar
memberi penjelasan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),
Datuk Seri Abu Kassim Mohamed juga didesak membuka semula siasatan
terhadap dakwaan Abdul Murad itu.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia
(Perkasa), Datuk Ibrahim Ali turut menyarankan kerajaan menubuhkan
suruhanjaya diraja bagi menyiasat dakwaan tersebut kerana boleh
dikaitkan dengan tuduhan salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah.
Terbaru, SPRM mengesahkan sedang menyemak status siasatan berhubung
akuan berkanun Abdul Murad mengenai dakwaan pemilikan 20 akaun induk
oleh Anwar itu.
/hwa: utusan.com.my | 11/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan