124, itu jumlah ceramah yang telah disempurnakan oleh Datuk Dr. Hasan
Ali setakat malam Selasa lalu dalam siri jelajahnya bertemu dengan
kelompok masyarakat untuk membawa mesej perpaduan umat Islam dan Melayu.
Jumlah ceramah itu tentu sahaja akan terus meningkat. Ini selari
dengan peningkatan dukungan dan sokongan daripada masyarakat terhadap
perjuangan beliau memartabatkan Islam, Melayu dan Raja (IMR) sejak
dipecat daripada Pas dan sebagai Exco kanan Kerajaan Parti Keadilan
Rakyat (PKR) Selangor, Januari lalu.
Ceramah Hasan yang ke-124 itu di kawasan elit Melayu di Bukit
Jelutong, Shah Alam boleh dikategorikan sebagai unik. Ceramah bekas
Pesuruhjaya Pas Selangor kali ini hanya diadakan di tepi pekarangan
sebuah restoran. Kualiti pembesar suara pun ala kadar sahaja.
Ruang ceramah tidak luas, tidak lebih 200 buah kerusi disediakan.
Selain hari bekerja, malam itu ada perlawanan bola sepak dinanti-nanti
Malaysia menentang Singapura di Stadium Shah Alam, tidak jauh daripada
kawasan perumahan ini.
Tetapi ramai orang tetap memenuhi kawasan itu. Hasan dijemput khusus
oleh pemilik restoran ini. Hasan seperti selalu sentiasa bijak menarik
perhatian khalayak. Beliau ikut bersorak semasa sekumpulan anak muda
yang mengikuti siaran langsung perkawanan persahabatan
Malaysia-Singapura itu berteriak gol dari dalam restoran.
Suasana di Bukit Jelutong ini tentu jauh berbeza daripada ceramah
beliau yang ke-123 di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)
Belimbing, Tanah Merah pada malam sebelumnya. Lebih 20,000 orang hadir.
Hasan sendiri menyatakan rasa bangga dengan kehadiran sebegitu ramai
penduduk Kelantan pada siri jelajah beliau itu. Beliau turut memuji
orang Kelantan yang begitu mementingkan pendidikan anak-anak yang mampu
menjadi tangkal untuk menangkis kemungkaran selain bekal mencapai
kejayaan.
Isi ceramah bekas Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam,
Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri itu selalu berkisar hal itu -
kemungkaran dan kejayaan. Di satu sisi beliau menceritakan kisah
kemungkaran termasuk daripada pengalamannya sendiri semasa berada dalam
pentadbiran kerajaan negeri dan kepimpinan tertinggi Pas.
Di sisi lain beliau memandu khalayak supaya sentiasa menjaga dan
mendaulatkan Islam, Melayu dan Raja. Tiga elemen itu yang menjadi asas
perjuangannya telah menjadi antara tarikan orang ramai terhadap siri
ceramahnya.
Tetapi sebenarnya ada satu yang luar biasa dalam diri Hasan yang
menjadi tarikan kepada umum. Beliau kelihatan dan terlihat ikhlas.
Politikus ini bukan sembang kosong tetapi berpegang kepada prinsip -
sama ada semasa di dalam atau di luar pentadbiran kerajaan.
Terpelanting
Beliau juga tidak pernah dikaitkan dengan sebarang salah guna kuasa
dan skandal. Cuma nasib beliau yang teguh memperjuangkan Islam, Melayu
dan raja mendapat tentangan bukan kepalang daripada kepimpinan partinya
sehingga dirinya sendiri terpelanting daripada kekuasaan.
Selama hampir sejam ceramahnya, beliau tidak pula menyanjung dirinya
sendiri, jauh sekali daripada bermegah-megah. Beliau hanya mahu khalayak
membuka minda serta berfikir terhadap kerosakan dan kemungkaran yang
telah dilakukan oleh seteru-seterunya.
Melalui Jalur Tiga (Jati) yang ditubuhkan bersama-sama
rakan-rakannya, beliau berazam untuk mengumpul 100,000 keahlian sebelum
akhir tahun ini. Rancangannya supaya ia menjadi kekuatan untuk menggesa
Perdana Menteri menjadikan agama Islam sebagai mata pelajaran wajib dan
menggantikan semula tanah rizab Melayu yang telah digunakan.
Sambutan orang ramai terhadap siri ceramah bicara memperkasakan ummah
Hasan Ali ini tentu sahaja membuatkan Pas kecut perut. Tapi apa daya,
mereka sudah termakan bisikan kuasa PKR dan DAP. Pas tidak mungkin
mengaku kehebatan Hasan, tidak seperti mana semasa pakar motivasi ini
menyertai Pas dulu yang penuh sanjung-sanjungan.
Musnahlah harapan jika ada yang menganggap Pas parti mulia. Islam
hanya dijadikan kosmetik dan topeng sahaja, perangai mereka sama seperti
politikus lain malah selalunya berlebih-lebih.
Tidak mungkin Pas menelan kata-kata mereka dulu. Semasa proses
pemecatan Hasan dulu, Pusat Penyelidikan Pas (PPP) telah mendedahkan
satu tinjauan bahawa pemecatan itu tidak banyak memberi kesan.
Ternampak mereka cuba menyembunyikan usaha untuk mengurus kesan
daripada pemecatan Hasan. Berbekalkan tinjauan itu, serangan untuk
membunuh karakter Hasan dilancarkan secara bertali arus.
Hasan reda dan kini, terbuktilah dapatan daripada tinjauan PPP hanya satu tipu helah dan putar belit.
Ia jelas tidak menggambarkan keadaan sebenar. Tinjauan pendapat yang
diuar-uarkan itu ternyata tidak sahih. Apa yang mahu dijawab oleh
kepimpinan Pas kepada hampir sejuta ahlinya?
Seperti yang pernah disebut oleh Hasan, memang kasihan para ulama,
ustaz, petani dan nelayan yang tertipu dengan dapatan tinjauan itu.
Hasan semasa mengulas tinjauan PPP itu dahulu menyatakan rasa ragu
kerana ia dibuat belum sebulan siri jelajahnya dimulakan.
Tetapi itulah Pas yang ada pada hari ini. Parti ini 'berkembang
mekar' bersandarkan persepsi. Tiada yang jelas dalam Pas sekarang.
Langkah kepimpinan mereka tidak lagi sederap tetapi bersimpang-siur.
Satu orang ke barat, satu orang lagi ke timur.
Bagaimana mungkin parti besar yang dikatakan ramai bijak pandai dan
ilmuwan ini membesar-besarkan satu dua artis yang kononnya sudah pulang
ke pangkal jalan. Jentera parti dan media mereka bersungguh-sungguh
mempromosikan aktiviti mereka. Ke mana perginya bijak pandai dan ilmuwan
Pas, mengapa mereka membisu dan tenggelam?
Hasan akan terus menghantui Pas. Kesannya dapat kita rasai sekarang.
Tetapi lebih daripada itu, Pas sebenarnya telah lama dihantui oleh Datuk
Seri Anwar Ibrahim dan trio Karpal Singh, Lim Kit Siang dan Lim Guan
Eng yang bakal memberi kesan besar kepada Islam, Melayu dan institusi
raja kelak.
Tanda-tanda kebangkitan dalam kalangan umat Islam semakin membara.
Tetapi ia belum cukup, bara itu harus terus ditiup untuk memastikan ia
mampu membakar gelombang ancaman besar yang sudah berada di depan mata.
/hwa: utusan.com.my | 17/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan