12 Jun 2012

Ketua pembangkang dicabar saman Murad - Perkasa

KUALA LUMPUR 10 Jun - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mencabar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman fitnah terhadap Datuk Abdul Murad Khalid bagi membuktikan bekas Penolong Gabenor Bank Negara itu bukannya proksi atau kroni beliau.
Ketua Penerangannya, Ruslan Kassim berkata, tindakan itu amat penting kerana akuan berkanun Abdul Murad membuktikan Anwar terlibat dalam kegiatan salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah.
Katanya, Anwar juga perlu menyaman Abdul Murad bagi membersihkan namanya selain sebagai satu tindakan penafian.
"Ramai mengandaikan Anwar tidak berani menyaman Abdul Murad kerana mereka berdua tahu rahsia masing-masing," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas pendedahan Abdul Murad kira-kira 13 tahun lalu bahawa Anwar mengawal sebanyak 20 akaun induk yang diuruskan kroni-kroninya membabitkan aset, saham dan wang bernilai lebih RM3 bilion.
Menurut Ruslan, Abdul Murad juga dikatakan mengetahui banyak rahsia kewangan Anwar selain menerima banyak manfaat daripada beliau dan tindakan saman boleh mendatangkan kerugian besar kepada kedua-dua mereka.
Pada masa sama, katanya, tindakan Anwar mencabar Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin mengisytiharkan harta, akaun dan aset terlebih dahulu sebelum beliau berbuat demikian bukanlah sesuatu yang menghairankan.
Menurut beliau, tindakan itu merupakan taktik dan strategi sering dilakukan Anwar untuk mengalih perhatian rakyat daripada isu sebenar iaitu pendedahan mengenai penyalahgunaan kuasa, amalan rasuah dan pemilikan 20 akaunnya membabitkan harta sebanyak RM3 bilion seperti didakwa Abdul Murad.
"Anwar tidak boleh mendiamkan diri dalam isu ini, begitu juga dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya.
Katanya, semua rakyat sedang menunggu tindakan susulan Anwar dan SPRM manakala Abdul Murad pula perlu membuat pilihan yang selamat.
/hwa: utusan.com.my | 11/6/12

Tiada ulasan: