KOTA BHARU 11 Jun - Beberapa tokoh agama di negeri ini turut mendesak
Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengemukakan dalil
al-Quran atau hadis yang menunjukkan bahawa kewajipan pilihan raya
adalah sama dengan menunaikan haji.
Bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Prof. Madya Mohd. Noor Deris
berkata, tindakan Tuan Ibrahim itu seolah-olah meletakkan kewajipan
melaksanakan pilihan raya demi partinya lebih besar daripada Rukun Islam
kelima itu.
"Kita minta dia semak balik semua ajaran al-Quran dan hadis yang
selama ini dia bawa, apakah ada satu ayat al-Quran dan hadis yang
menyatakan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) setaraf dengan fardu haji?
"Rakyat juga ingin tahu apakah Tuan Ibrahim beranggapan PRU-13 sebagai kefarduan Allah yang mengatasi kefarduan menunaikan haji.
"Jika benar sebagaimana kenyataan dalam media itu, Tuan Ibrahim
seolah-olah meletakkan kewajipan pilihan raya demi parti lebih besar
dari Rukan Islam kelima itu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Tuan Ibrahim dalam portal pro pembangkang, http://www.selangorku.com/?p >9042
yang meminta ahli-ahli Pas yang terlibat secara langsung dengan pilihan
raya supaya menangguhkan ibadah haji bagi memberi laluan kepada PRU-13
dijangka antara September hingga Oktober.
Sementara itu, Pengasas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa'amah
berkata, adalah wajib bagi umat Islam menunaikan haji sekiranya telah
cukup syarat dan sekiranya ia ditangguhkan, ini bermakna individu
terbabit memperlekehkan hukum agama.
"Saya minta umat Islam tidak terkeliru dengan pandangan pemimpin Pas
ini kerana mereka sudah songsang. Peluang mengerjakan haji sukar
disebabkan kuota yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.
"Ini sengaja mencuaikan kewajipan dan bukannya dalam keadaan darurat, Tuan Ibrahim telah memperlekehkan agama," katanya.
Pandangan yang sama turut dikongsi oleh Pengasas Pondok Pulau Ular, Zainal Abidin Awang yang menyifatkan Tuan Ibrahim telah mempermainkan hukum Allah.
"Tidak boleh sama sekali umat Islam menangguhkan haji apabila cukup
harta, sihat tubuh badan, ada kenderaan pergi balik dan dapat
meninggalkan nafkah kepada isteri serta anak-anak.
"Dia (Tuan Ibrahim) main-mainkan soal haji, tambahan pula dalam
keadaan untuk mendapatkan tempat menunaikan haji amat sukar, Pas telah
mempergunakan Islam untuk mendapatkan undi," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 12/6/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan