KUALA LUMPUR 6 Ogos - Pertubuhan Pribumi Perkasa
Malaysia (Perkasa) hari ini mempersoalkan hukum dalam Islam mengenai
tindakan ahli Pas mengundi DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, persoalan itu perlu dijawab
oleh Pas kerana jelas Pengerusi DAP, Karpal Singh dan keseluruhan
pemimpin parti tersebut ketika ini menentang keras penubuhan sebuah
negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud.
Beliau berkata, begitu juga dengan hukum daripada sudut syarak
mengenai arahan yang dikeluarkan oleh pemimpin tertinggi Pas seperti
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Pas, Datuk
Seri Abdul Hadi Awang yang meminta ahli-ahli parti mereka mengundi DAP.
''Adakah ia dibolehkan atau tidak, memandangkan DAP terang-terang
mengecam penubuhan negara Islam dan hukum hudud. Ini bukan soal Pas,
tetapi kecaman yang dibuat oleh Karpal itu jelas melibatkan kesucian
Islam dan kepentingan umat Islam.
''Satu perkara lagi, dahulu ada kepercayaan di kalangan ahli Pas
khususnya semasa diadakan kempen-kempen pilihan raya iaitu mengundi Pas
masuk syurga, namun kini timbul pula persoalan apa pula hukum mengundi
DAP dalam keadaan DAP menolak negara Islam,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Beliau mengulas ketegasan Karpal bahawa DAP akan menentang
habis-habisan sebarang cubaan melaksanakan hukum hudud jika pembangkang
menang pada pilihan raya akan datang.
Kontroversi pelaksanaan hukum hudud timbul semula berikutan dakwaan
Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hasan kononnya DAP kini memahami
dan menerima pendirian parti itu mengenai negara Islam tetapi ia segera
disanggah Karpal dengan menegaskan beliau tidak akan bertolak-ansur
dalam isu pelaksanaan hukum tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Ibrahim menyeru umat Islam negara ini
bangkit mempertahankan Islam daripada terus diperlekehkan oleh DAP
melalui kenyataan-kenyataan yang melampau daripada Karpal.
Beliau berkata, langkah itu wajar memandangkan Karpal ketika ini
langsung tidak menghormati Islam dan undang-undang yang terkandung di
dalamnya.
Apatah lagi, katanya, dalam keadaan Pas yang kononnya memperjuangkan
Islam sudah tidak mampu melakukan apa-apa tindakan terhadap DAP dan
Karpal walaupun kecaman tersebut jelas menyentuh kesucian Islam.
''Pembentukan sebuah negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud
merupakan asas akidah umat Islam dan ia tidak boleh dipersoalkan oleh
sesiapa pun. Soal pelaksanaan itu soal lain tetapi yang penting dua
perkara ini merupakan asas akidah Islam
''Siapa Karpal mahu mempersoalkan perkara itu. Oleh itu, kita wajib
bangkit mempertahankan. Ini merupakan satu jihad. Pas tidak lagi boleh
diharapkan. Mereka nampaknya terlalu taat dan takut kepada DAP,''
katanya.
Menyentuh isu sama, Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri
Mohd. Hilmi Ismail berkata, tiada jalan lain yang harus diambil oleh
parti itu kecuali segera keluar daripada pakatan pembangkang.
Beliau berkata, berdasarkan sejarah yang berlaku di Perak selepas
pilihan raya umum 2008. Pas hanya sekadar menjadi 'pak turut' kepada DAP
walaupun Menteri Besar ketika itu merupakan wakil rakyat daripada Pas.
''Inilah yang berlaku sebenarnya. Dalam isu pemerintahan di Perak
ketika pakatan memerintah, DAP lebih berkuasa dan dominan. Pas tidak
mampu berbuat apa-apa dan parti itu tidak lebih hanya sebagai 'pak
turut','' katanya.
/hwa: utusan.com.my | 7/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan