NAJIB Tun Razak beramah mesra dengan
penerima sumbangan zakat yang disampaikan kepada anak-anak yatim, fakir
miskin, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas Parlimen Pekan pada
Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad
Shah, Pekan, Pahang semalam. Seramai 6,500 orang layak menerima
sumbangan zakat. - BERNAMA
KUALA LUMPUR 4 Ogos - Kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah
Jawatankuasa Khas yang akan mengkaji secara adil dan telus berhubung isu
bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai
Timur Semenanjung Malaysia.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Jawatankuasa Khas
itu akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid
Mohamad dan akan dianggotai oleh pakar undang-undang dari dalam dan luar
negara, wakil dari kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu yang
diperkenan Sultan negeri-negeri berkenaan.
Jawatankuasa Khas ini akan membuat satu kajian menyeluruh dalam
tempoh masa enam bulan dari tarikh penubuhannya dengan mengambil kira
semua aspek tuntutan dan akan membuat syor yang sesuai kepada kerajaan
persekutuan," kata Najib dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, Jawatankuasa Khas itu akan mengkaji serta mengenal
pasti negeri-negeri yang layak menerima bayaran tunai hasil petroleum
di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
Jawatankuasa Khas itu juga akan menentukan kaedah serta jumlah
bayaran tunai tersebut kepada negeri-negeri berkenaan," katanya sambil
menambah bahawa sejak enam bulan lepas, beberapa perbincangan dalaman
dibuat berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum dan
sehubungan itu kerajaan bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Khas tersebut.
Najib berkata, dengan penubuhan jawatankuasa itu, kerajaan
persekutuan berharap isu-isu yang dibangkitkan oleh kerajaan-kerajaan
negeri di Pantai Timur Semenanjung akan dapat diselesaikan secara adil,
telus dan saksama.
Beliau berkata, berdasarkan Perjanjian di antara kerajaan negeri
Kelantan dengan Petronas mengenai pembayaran mengikut Seksyen 4 Akta
Kemajuan Petroliam 1974 yang dibuat pada 9 Mei 1975, Petronas hendaklah
membayar wang tunai kepada kerajaan negeri secara bayaran tahunan
sebanyak yang setara dengan lima peratus dari nilai petroleum yang
didapati dan diperoleh di Kelantan.
Kerajaan Persekutuan mengambil pendirian bahawa dari segi
perundangan, Kelantan hanya mempunyai hak untuk menuntut bayaran tunai
daripada hasil petroleum yang dihasilkan dalam perairan negeri tersebut
iaitu kawasan yang terletak tidak melebihi tiga batu nautika dari
pesisir pantai negeri.
Pada masa ini, tiada pengeluaran petroleum dilakukan dalam kawasan
perairan negeri Kelantan. Oleh itu, dari segi perundangan, kerajaan
negeri Kelantan tidak layak menuntut bayaran tunai daripada hasil
petroleum," katanya.
Najib berkata, kerajaan persekutuan sentiasa meletakkan keutamaan
kepada kehendak rakyat dengan membuka pintu rundingan tetapi pada waktu
yang sama tidak boleh membelakangkan perundangan negara.
Najib berkata, walaupun peruntukan perundangan ini adalah jelas,
namun pada November 2009, beliau mengumumkan di Dewan Rakyat mengenai
pemberian bayaran tunai kepada Kelantan meskipun pengeluaran petroleum
buat masa ini terletak di luar perairan negeri tersebut.
Keputusan ini dibuat berdasarkan keperluan untuk terus bangunkan
Kelantan dan meningkatkan kesejahteraan rakyatnya. Peruntukan itu telah
disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan,"
katanya.
Beliau berkata, sebahagian besar peruntukan itu adalah untuk bantuan
pelajar sekolah dan pelajar Kelantan yang memasuki tahun pertama
Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
- BERNAMA
/hwa: utusan.com.my | 5/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan