DR. Mahathir Mohamad menyerahkan
500,000 botol waqaf air untuk Gaza kepada Imam Besar Al-Amin Gaza,
Sheikh Omar Mohamad Fora (dua dari kanan) sambil diperhatikan Imam Muda
Al-Amin Gaza, Sheikh Salman M.Z Al-Saudi (kiri) dan Pengerusi Yayasan
Perdana Keamanan Sedunia, Tan Sri Norian Mai di Yayasan Al-Bukhary,
Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/SAIFUL BAHARI ASHARI
*****
KUALA LUMPUR 10 Ogos - Penubuhan negara Islam
Malaysia mengikut interpretasi Pas adalah perkara yang paling tidak
dipersetujui Pengerusi DAP, Karpal Singh.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Karpal
sangat tidak bersetuju dengan perjuangan itu sehingga pernah berkata
'langkah mayatnya dahulu' jika Pas mahu membentuk negara Islam.
"Dua perkara mereka (DAP) tidak setuju adalah hukum hudud dan negara
Islam tetapi kita memang negara Islam, saya sudah isytiharkan dan semua
orang iktiraf, tanya Palestin pun mereka iktiraf kita negara Islam.
"Dia (Karpal) tidak setuju dengan hudud itu soal lain, yang Karpal
tak setuju 'Over my dead body' kalau nak jadikan Malaysia negara Islam
ala Pas," katanya pada sidang akhbar selepas majlis simbolik penyampaian
sumbangan sebanyak 500,000 botol 1.5 liter kepada penduduk Gaza,
Palestin, di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai penolakan berterusan DAP terhadap
pelaksanaan hukum hudud yang menjadi agenda Pas sedangkan kedua-dua
parti itu berada dalam satu pakatan politik.
Berhubung reaksi beberapa ulama dan tokoh agama bahawa adalah haram
umat Islam menyokong DAP kerana parti itu menentang penubuhan negara
Islam dan hukum hudud, Dr. Mahathir berkata, perkara tersebut terpulang
kepada umat Islam untuk menerimanya atau tidak.
"Itu pendapat mereka yang mempunyai ilmu mendalam berkaitan agama,
kalau itu pendapat mereka, terpulang umat Islam menerimanya atau tidak,
tetapi saya fikir orang ramai tidak akan mengikut orang-orang agama ini,
ini masalah kita, semua dikatakan Islam tapi tidak diamalkan," katanya.
Dalam pada itu, mengulas keputusan kerajaan menubuhkan suruhanjaya
diraja bagi menangani masalah berkaitan pendatang asing tanpa izin di
Sabah, Dr. Mahathir berpendapat langkah tersebut tidak dapat
menyelesaikan masalah tersebut.
Jelasnya, dari segi sejarah, masyarakat yang berada di sempadan
antara Sabah dengan kawasan selatan Filipina saling berulang-alik, namun
mereka memilih tinggal di Sabah kerana memikirkan ia lebih selamat.
"Mereka telah tinggal sekian lama dan berhak meminta kerakyatan. Saya
berharap tiada usaha untuk keluarkan mereka. Kita pernah hantar balik
tapi mereka datang semula ke Sabah sebab ini tempat tinggal mereka,"
katanya.
Sementara itu, berhubung pemilihan 'Janji Ditepati' sebagai tema
kebangsaan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55, Mahathir berkata, perkara
tersebut adalah hak kerajaan Pusat.
Ketika ditanya mengenai isu perbezaan tema sambutan Hari Kemerdekaan
di negeri-negeri ditadbir pembangkang, jelas beliau, keadaan itu jelas
menunjukkan pembangkang bingung dengan hala tuju yang hendak diambil
secara bersama.
/hwa: utusan.com.my | 11/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan