26 Ogos 2012

Lebih 100,000 pengunjung banjiri Rumah Terbuka Aidilfitri PM

PUTRAJAYA - Suasana sambutan hari raya tahun ini meriah apabila lebih 100,000 pengunjung membanjiri kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana di sini semalam bagi menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri yang dihoskan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan menteri-menteri Kabinet.
Orang ramai mula beratur seawal 9 pagi untuk mengucapkan "Selamat Hari Raya" kepada Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, serta menteri-menteri berkenaan.
Majlis rumah terbuka bermula 10.30 pagi dan berakhir pada 4 petang.
Halaman Seri Perdana bertukar dan kelihatan seperti lautan rakyat apabila pelbagai lapisan masyarakat mengambil peluang untuk bertemu pemimpin nombor satu negara itu.
Terdapat juga diplomat, pemimpin politik kedua-dua belah pihak, pelancong serta pemimpin badan bukan kerajaan (NGO).
Pengunjung disajikan dengan pelbagai juadah, kebanyakannya menu tempatan seperti sate, rendang, lemang, ketupat dan nasi himpit, serta menerima pek oleh-oleh, manakala kanak-kanak diberi duit raya. - BERNAMA.
/hwa: utusan.com.my | 20/8/12 

Tiada ulasan: