7 Ogos 2012

Mengilustrasi feel good janji ditepati

Sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 akan melibatkan rakyat yang sebahagian besarnya generasi muda. - Gambar hiasan 
*****
TIDAK ada peliknya dengan tema Hari Kemerdekaan ke-55, Janji Ditepati.
Jemaah Menteri setelah melihat senario negara selama 55 tahun di bawah enam Perdana Menteri, mendapati semua janji asas prasarana telah tercapai. Ini termasuk perundangan, pendidikan, perdagangan dan pembangunan bandar dan luar bandar.
Maka itu, kerajaan Pusat tetap dengan Janji Ditepati yang akan diilustrasikan pada 31 Ogos ini di padang Dataran Merdeka dan malam hari berkenaan.
Pada malam itu dianggarkan lebih 100,000 orang akan berkumpul di Stadium Nasional Bukit Jalil. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan berucap menghuraikan antara lain kenapa dan apa sebenarnya makna janji ditepati. Di bawah pentadbiran dan pemerintahan beliau kini memuncak ke peringkat maksimum di mana elemen feel good dan keseronokan tinggal di Malaysia dapat dirasai.
"Kalau pembangkang berkata ini (tema merdeka) tidak boleh disokong atau disertai, ia terserah sebab ini negara demokrasi. Lagipun sekarang kebanyakan hadangan sudah tiada. Tetapi rakyat tentu berfikir betul atau tidak janji ditepati itu menepati perjuangan Barisan Nasional, UMNO dan lain-lain selama 55 tahun," kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim (gambar) kepada saya Khamis lalu di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur.
Perayaan merdeka kali ini memang lain dari sebelumnya. Ia akan melibatkan rakyat dan sebahagian besar generasi muda - generasi Y. Walaupun demikian, perayaan di Dataran Merdeka akan merupakan perayaan janji ditepati dengan penglibatan tradisional. Bagaimanapun, kata Rais, sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 itu nanti tidak ada perubahan daripada dulu. Tinggal lagi kali ini berkemungkinan ia akan membariskan para penjawat awam dalam perbarisan di samping polis dan tentera.
"Tetapi kita tidak akan mengemukakan perarakan peralatan atau kereta berhias seperti dahulu. Kita akan lebih menunjukkan kepada sekutu kita bersama. Malah saya sudah menulis surat kepada MCA, MIC, Gerakan untuk menghantar seramai mungkin anak buah mereka ke perayaan di Dataran Merdeka dan di Bukit Jalil.
"Jadi, di Dataran Merdeka, diduga program akan habis dalam sejam setengah. Pagi di padang Dataran Merdeka itu akan dipenuhi dengan kegiatan dan penglibatan pelbagai kaum di samping acara-acara tradisional yang menyerlahkan Rukun Negara yang mendukung prinsip-prinsip lima terkandung di dalamnya. Dan juga memberi penghormatan kepada kumpulan-kumpulan keamanan, kepolisan dan penjawat awam.
"Bagi generasi muda, kita akan berikan sajiannya menerusi program-program yang mirip kepada jiwa mereka di padang. Habis sahaja sejam setengah itu, malamnya kita ke Bukit Jalil. Di situ juga kita menduga antara 100,000 ke 110,000 orang akan hadir. Oleh kerana 31 Ogos suasana raya masih ada, maka di luar stadium kita akan cuba paparkan suasana hari raya itu kepada orang ramai dan dijemput warga Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka khasnya untuk bersama-sama pada malam itu," kata Rais.
Menurut Rais lagi, dalam stadium itu juga akan dipromosikan beberapa aspek transformasi kerajaan. Di situ akan dibawa Perdana Menteri dan beberapa pihak berarak keliling stadium dengan brassband. Nyanyian lagu-lagu patriotik termasuk IM4U turut disajikan untuk menarik orang-orang muda.
"Kita akan beri anugerah kepada warga Malaysia ulung dalam bidang-bidang khusus dan mereka yang mencerminkan kehidupan transformasi yang jelas kita akan sohorkan.
"Juga, kita akan beri peluang kepada Perdana Menteri untuk berucap buat pertama kali pada hari merdeka. Dan akan dapatlah kita lihat apa yang nak diwarnai beliau dalam ucapannya.
"Jadi, dengan serius kita memohon para hadirin hari itu jangan masuk stadium dengan tiupan. Dulu kita lihat trompet mulut ini merosakkan majlis. Jadi kita akan pastikan ini tidak berlaku supaya apa-apa ucapan dapat kita dengar di situ. Pembesar-pembesar lama kita seperti Tun Dr. Mahathir (Mohamad) dan Tun Abdullah (Ahmad Badawi) akan hadir. Saya rasa ia akan mewujudkan suasana dan bahang kekitaan yang lebih daripada biasa," katanya.
Kata beliau: "Kita cuba kata supaya nasionalisme itu dicetuskan. Jadi pada malam itu akan gunakan sepenuhnya bendera kita, jalur gemilang kita. Kita akan gunakan belia kita yang rancak yang boleh bergerak dan pelbagai program yang terbaris kepada uniform kita akan buat. Secara rumusan, ia akan jadi persembahan yang sangat pelbagai."
"Memang lain temanya. Janji Ditepati memang ada pengertian. Kita mengisi apa yang dituntut. Jadi, kalau ada pihak berasa yang ini tidak benar, mereka boleh pilih untuk bersetuju atau tidak.
"Kalau dilihatkan di Malaysia, tiada konflik seperti perang. Perang tiada, pertelingkahan kumpulan juga tiada. Jadi, mereka sudah mula membuahkan kemungkinan-kemungkinan perbuatan kasar dengan ini semua. Berkemungkinan juga saya dengar mereka hendak membuat kumpulan-kumpulan Bersih 4," katanya.
Kata Rais lagi, ia adalah gara-gara mereka yang tidak mempedulikan keamanan.
"Mereka terasa bahawa dalam masa kekacauan, mereka boleh merampas kuasa atau meraih sokongan rakyat. Kalau itu yang mereka duga, saya rasa mereka akan kecewa. Jelas bahawa, rakyat majoritinya akan memihak kepada kerajaan BN. Tinggal lagi nisbahnya kita tidak tahu," katanya.
Sebab itu, kata Rais, sesiapa yang mengatakan kerajaan tidak menepati janji, sudah tentu pengetahuannya cetek. "Kerana itu kita menyatakan apa salahnya kita slogankan Janji Ditepati. Tinggal lagi, apabila melihat semua kejayaan ini, pembangkang tentu merasa sukar. Sebab Janji Ditepati rakyat telah menerima.
"Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Susu 1Malaysia, Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) dan macam-macam lagi termasuk durian runtuh untuk Felda. Tidak dapat kita mengira banyaknya yang telah dihamburkan kepada rakyat.
Jadi, pembangkang rasa tersudut. Mereka melenting dan mengatakan ini (sambutan merdeka) tidak patut disertai. Dan tidak cukup dengan itu, mereka mengatakan lagu Janji Ditepati itupun adalah lagu yang ditiru dari tempat lain.
"Mereka dah tiada modal sampaikan lagu pun mereka cuba kritik. Memang lirik lagu Janji Ditepati itu saya yang cuba jalinkan dengan iramanya. Tapi irama itu dikarang oleh mereka yang telah memenangi peraduan kugiran terbaik RTM pada 2010.
"Saya mencabar mereka buktikan lagu ini lagu orang lain. Tapi kalau terbukti, saya bersedia untuk diseret ke mahkamah," kata Rais.
Pembangkang boleh sebut apapun tema Hari Kemerdekaan. 'Sebangsa, Seneraga, Sejiwa' ataupun 'Bergerak Bersama'. Itu mereka boleh luahkan. Cuma, dengan perbuatan begitu, adakah mereka mempunyai penghormatan kepada merdeka.
Tetapi kalau ini dilakukan buat pertama kali dalam sejarah merdeka, bahananya rakyat dipisahkan dengan kenyataan oleh politik pembangkang.
/hwa: utusan.com.my | 6/8/12 

Tiada ulasan: