KUALA SELANGOR 5 Ogos - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim mengakui beban hutang Universiti Selangor (Unisel) yang banyak
antara penyebab kos penyelenggaraan dan operasi asrama institusi
pengajian tinggi swasta (IPTS) itu tertunggak.
Beliau mendakwa, beban hutang yang dimaksudkan ialah kos pembinaan
asrama universiti yang masih belum habis dilangsaikan oleh Unisel kepada
pihak bank.
Dakwa beliau lagi, keadaan itu menyebabkan Unisel tidak mendapat
keuntungan hingga kos penyelenggaraan dan operasi asrama tidak mampu
dibayar walaupun dengan hasil yuran daripada para pelajar.
''Unisel memang tidak mampu nak bayar hutang dan bayaran kos penyelenggaraan dan operasi asrama pula ada perjanjiannya.
''Antaranya kalau pelajar tidak duduk dalam asrama pun kena bayar
yuran penuh dan kalau cuti pun kena bayar. Jadi yuran yang dibayar tidak
cukup," katanya selepas merasmikan Program Tadarus dan Tadabbur Perdana
Peringkat Negeri di Masjid Nurul Huda, Parit Mahang, Ijok di sini hari
ini.
Abdul Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Datuk
Seri Noh Omar bahawa Unisel berhutang hampir RM15 juta dengan Syarikat
Jana Niaga Sdn. Bhd. (JNSB) membabitkan kos penyelenggaraan di kampus
induknya di Bestari Jaya dan operasi asrama universiti itu selama
beberapa bulan.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Selangor itu turut mempersoalkan
mengapa bayaran tersebut tidak dilangsaikan sedangkan yuran daripada
pelajar sudah dikutip oleh pihak Unisel.
Dalam pada itu, Abdul Khalid memberitahu, bagi menyelesaikan masalah
yang dihadapi, kerajaan negeri telah berbincang dengan pihak bank dan
sedang dalam proses menyiapkan dokumentasi untuk mengambil alih hutang
universiti itu.
Beliau memberitahu, pihaknya akan meneliti bayaran tertunggak dengan pihak JNSB dan melunaskannya mengikut undang-undang.
Mengenai laporan audit Unisel, Abdul Khalid berkata, ia akan
didedahkan selepas disemak semula oleh pihak akauntan yang dilantik.
/hwa: utusan.com.my | 6/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan