PENINDASAN yang dihadapi etnik Rohingya bukannya
sesuatu yang baru dan telah diketahui dunia sejak sekian lama, termasuk
di Malaysia yang telah menerima berpuluh ribu pelarian Myanmar sejak
beberapa dekad lalu.
Etnik Rohingya yang memohon suaka politik di Malaysia jauh lebih
bernasib baik berbanding saudara mereka di Myanmar yang masih diserang
dan dihalau dari tempat tinggal mereka tanpa sebarang pembelaan.
Walaupun masyarakat Rohingya telah hidup sebagai pelarian selama
beberapa generasi di negara ini dan beberapa negara anggota ASEAN lain,
hak kerakyatan etnik minoriti itu masih disekat kerajaan Myanmar kerana
dikatakan tidak termasuk dalam 130 etnik asal.
Sekitar 750,000 warga Rohingya yang tinggal di kawasan barat negeri
Rakhine diklasifikasikan kerajaan Myanmar sebagai masyarakat Islam
Bengali yang masuk dari Bangladesh tetapi tiada negara sendiri.
Bangladesh pula dilaporkan menolak pelarian Rohingya yang ingin
menyelamatkan diri daripada penindasan di Myanmar dan terbaru telah
menghalang pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa menyampaikan
bantuan kepada pelarian berkenaan.
Kesal dengan sikap masyarakat antarabangsa menangani isu tersebut,
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan meminta kebenaran kerajaan Myanmar
bagi menghantar misi pencarian fakta ke negara itu untuk mencari
penyelesaian terbaik.
Dengan jumlah kematian yang semakin meningkat dan lebih 100,000 etnik
Rohingya kehilangan tempat tinggal, masyarakat Islam seluruh dunia
tertanya-tanya apakah agenda kerajaan Myanmar dan mengapa tragedi
melibatkan masyarakat Islam sering dipandang enteng masyarakat
antarabangsa.
Walaupun sistem pemerintahan di Myanmar kini dikatakan semakin baik
tetapi mampukah perubahan ke arah demokrasi yang dilaung-laungkan itu
menyelesaikan masalah penindasan etnik yang telah berpuluh tahun
berlarutan?
Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Azmi Hassan
menjelaskan, masalah Rohingya telah lama berlarutan sejak zaman junta
tentera sehingga di bawah kerajaan awam kini.
"Apa pun, Myanmar tidak mahu dan tidak akan mengiktiraf etnik
Rohingya, yang datang dari Bangladesh, sebagai rakyat mahupun pelarian.
Ini berlaku sejak negara itu dikenali sebagai Burma dahulu lagi.
"Kini di bawah kerajaan baru, etnik asal Myanmar mempunyai motivasi
baru untuk menghapuskan etnik minoriti itu tanpa sekatan daripada pihak
pemerintah," katanya.
Menurut beliau, Myanmar sememangnya dalam proses ke arah demokrasi
tetapi dalam hal ini, pihak pemerintah dan pembangkang termasuk Aung San
Suu Kyi sendiri sepakat untuk tidak mengiktiraf etnik Rohingya.
Tambahnya, masalah tidak akan selesai selagi dibiar Myanmar
menguruskan situasi itu sendirian sementara Amerika Syarikat (AS) dan
Eropah pula melihat perkembangan tersebut sebagai sesuatu yang tidak
penting.
Oleh itu, beliau menganggap langkah OIC menghantar pasukan sendiri
sebagai langkah terbaik untuk campur tangan bagi mengelakkan situasi
semakin melarat.
"OIC badan terbaik untuk campur tangan memandangkan ASEAN tidak boleh
diharap kerana memegang pendirian tidak campur tangan politik dalaman
anggotanya sementara Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pula dikawal
AS dan Eropah.
"OIC dapat memberi pendedahan dan membuka mata dunia terhadap
penindasan berterusan etnik Rohingya serta situasi mereka yang ditolak
oleh Bangladesh dan negara ketiga," ujarnya.
Jelasnya, etnik Rohingya yang dilihat tiada kemahiran untuk
menyumbang kepada ekonomi sesebuah negara menjadi punca mereka ditolak
semua pihak termasuk negara asal dan kerajaan Myanmar sendiri.
Tegasnya lagi, setelah berpuluh tahun ditindas, situasi mereka tidak
diendahkan lagi dunia kerana ia tidak memberi keburukan kepada
geopolitik antarabangsa.
Menurut Azmi, berbeza dengan situasi rakyat Palestin yang memberi
impak kepada dunia, apa yang berlaku kepada warga Rohingya kini tiada
kesan besar kerana jumlah mereka kecil dan tiada negara sendiri.
"Cara terbaik dalam jangka pendek adalah untuk memaksa Myanmar
sekurang-kurangnya mengiktiraf etnik minoriti ini sebagai pelarian dan
melalui konvensyen khas pelarian PBB, kerajaan negara itu perlu membantu
warga Rohingya.
"Malaysia dan Thailand selaku penerima pelarian Rohingya terbanyak
boleh menunjukkan contoh baik layanan adil kepada pelarian terbabit
sebagai satu langkah simbolik dalam ASEAN," jelasnya.
Namun, beliau secara peribadi merasakan campur tangan OIC itu tidak
akan membawa penyelesaian mahupun kesan kesan positif dalam jangka
pendek.
"ASEAN sendiri perlu campur tangan tetapi masalahnya mereka tidak
mahu merencatkan proses demokrasi di Myanmar. Persoalannya kini, yang
mana lebih penting - Rohingya atau demokrasi," soal beliau.
Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor
Negara, Proffesor Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak juga bersetuju ASEAN
sendiri yang sepatutnya menyelesaikan masalah di depan 'halaman' mereka
itu.
"Ini bukannya campur tangan politik dalaman, ini tragedi kemanusiaan
yang menjejaskan imej ASEAN sendiri kerana selama ini mereka paling
banyak membela Myanmar daripada campur tangan Barat.
"ASEAN tidak boleh cuci tangan dan membiarkan OIC membuat kerja
mereka. Jika terus berdiam diri, tiada bezanya ASEAN dan Kesatuan Eropah
(EU) yang membiarkan Serbia menyembelih etnik Bosnia dahulu," tegasnya.
Beliau juga tidak bersetuju dengan tindakan ASEAN terlalu
'menghormati' Myanmar dan mengekalkan dasar tidak campur tangan
sedangkan pelanggaran hak asasi manusia dan mungkin juga pembersihan
etnik sedang berlaku di depan halaman mereka sendiri.
Tambahnya, pemerintah Myanmar juga memang dikenali berkeras dalam
mengawal tindak-tanduk etnik asal negara itu, inikan pula terhadap
etnik-etnik minoriti lain yang ingin disingkirkan seperti masyarakat
Rohingya.
Beliau turut mempersoalkan motif penindasan etnik minoriti itu
memandangkan masyarakat Rohingya tidak menuntut wilayah sendiri mahupun
memberontak tetapi hanya mahukan perlindungan dan keadilan.
"Motif keganasan terbaru ini kurang jelas tetapi mungkin kerana
mereka takut dengan sokongan etnik minoriti akan cenderung kepada
penentang kerajaan serta pejuang demokrasi.
"Sudahlah hidup serba kekurangan dalam kedaifan dan kini penindasan
sistematik oleh kerajaan yang mahu singkirkan mereka. Apabila Bangladesh
dan negara ketiga juga menolak mereka, Rohingya mungkin berhadapan
dengan pembersihan etnik pula," katanya.
Beliau berharap ASEAN segera mencari jalan untuk membantu atau
kredibiliti mereka akan terjejas kerana membiarkan etnik Rohingya
seperti mana EU mengabaikan etnik Bosnia.
"Persoalannya kini, adakah ASEAN akan terus berdiam diri dan melihat
pembersihan etnik seperti mana EU lakukan dalam perang Bosnia dahulu,"
ujarnya.
/hwa: utusan.com.my | 10/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan