KOTA BHARU 13 Ogos - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
tidak peduli sekiranya Pengerusi DAP, Karpal Singh terus membuat
kenyataan menolak negara Islam dan hukum hudud yang diperjuangkan Pas.
Beliau berkata, kenyataan yang dibuat Karpal itu secara tidak
langsung menyedarkan orang ramai mengenai negara Islam dan hukum hudud
yang sebenarnya.
"Saya setuju biar dia 'geger' sokmo (selalu bising), daripada geger
itulah orang faham tetapi jangan caci, guna akal kita,'' katanya kepada
pemberita di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Karpal baru-baru ini yang menegaskan
pelaksanaan hukum hudud dan penubuhan negara Islam oleh Pas adalah
perkara yang paling tidak dipersetujui parti tersebut.
Menurut Karpal, DAP konsisten berhubung perkara itu dan pendirian
parti tersebut tidak pernah berubah sejak sekian lama malah akan terus
mempertahankannya.
Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor menambah, bantahan
beliau yang mewakili DAP itu berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan
yang tidak membenarkan perkara itu dilaksanakan.
Berikutan penentangan berterusan Karpal itu, beberapa ulama
menegaskan adalah haram dan berdosa umat Islam menyokong parti yang
bersekongkol dengan DAP kerana parti tersebut jelas menolak pelaksanaan
hukum Islam.
Dalam pada itu, Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan
berkata, undang-undang yang diamalkan di negara ini lebih kejam daripada
hukum hudud kerana melaksanakan hukuman gantung sampai mati.
"Di Malaysia, sudah beratus-ratus orang yang digantung sampai mati, sama ada kes dadah dan macam-macam lagi.
"Apabila kena gantung, emak dan isteri dia menangis, anak jadi yatim,
tidak ada tempat bergantung. Kalau hudud, manusia tidak mati, kerat
tangan sahaja, manusia boleh kerja buruh, jual ikan dan pensyarah, jadi
hudud lebih baik daripada hukuman gantung sampai mati," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 14/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan