1MALAYSIA... Sebahagian pelajar Sekolah Menengah Taman Ehsan, Kepong mengibarkan bendera Jalur Gemilang sebagai persiapan untuk sambutan Bulan Kemerdekaan. - utusan/ Irwan Majid
*****
ALLAHYARHAM Tun Abdul Razak Hussein ketika
merasmikan Kongres Kebangsaan Kebudayaan di Universiti Malaya pada 16
Ogos 1971 menyebut: "Kita hendaklah sentiasa berpandu kepada cita-cita
membentuk satu negara di mana rakyatnya dari pelbagai kaum dan golongan
dapat dijalin dalam satu ikatan yang padu".
Mesej ucapan tersebut cukup jelas, iaitu perpaduan. Sejak era Tunku
Abdul Rahman hinggalah kepada Perdana Menteri yang ada pada hari ini,
persoalan mengenai perpaduan tetap menjadi tajuk utama yang ditekankan
untuk membina negara yang kukuh dan bersatu padu.
Hakikatnya, perpaduan amat penting yang menjadi pra-syarat kepada
keharmonian dan kesejahteraan hidup masyarakat majmuk di Malaysia.
Justeru, usaha membina dan memelihara perpaduan sentiasa menjadi agenda
utama dalam mengemudi negara ini. Bertitik tolak dari kepentingan
perpaduan inilah maka strategi dan usaha menyatukan rakyat Malaysia
dilaksanakan melalui Dasar Perpaduan Nasional (DPN).
Tujuan utama DPN adalah menjadikan masyarakat Malaysia sebagai satu
keseluruhan atau kesatuan yang padu dan kukuh melalui pemupukan semangat
kecintaan (patriotisme) terhadap negara.
Memahami dan menyedari betapa pentingnya perpaduan maka Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam ucapannya pada Majlis Malam
Penghargaan Media Massa UMNO 2009 di Dewan Tun Hussein Onn, PWTC pada 12
Disember 2009 mengingatkan bahawa sekiranya perpaduan semakin menipis
dan terhakis maka akan terserlah 'defisit moral' dan 'defisit empati'
dalam masyarakat.
Dalam ucapannya itu, Najib meletakkan nilai empati sebagai unsur
penting yang harus diterapkan dan disuburkan dalam kalangan generasi
muda supaya mereka menjadi generasi yang mengambil berat terhadap orang
lain. Lebih jauh lagi, Najib menyebut bahawa atas rasa empati inilah
maka kerajaan pimpinannya bertanggungjawab untuk memikul moral mission untuk melindungi rakyat, memberi peranan dan tanggungjawab pada rakyat dan meluhurkan etika kecemerlangan di kalangan rakyat.
Persoalan mengenai 'empati' seperti yang disebut Najib itu selari dengan pandangan B.Bery, sarjana sosiologi. Dalam bukunya Race and Etnic Relationship
(1965), Bery menyatakan dalam masyarakat majmuk sikap empati yang
tinggi amat didambakan bagi membina interaksi yang harmoni dan aman.
Menyedari hakikat itulah maka Najib dalam ucapannya itu menyebut
landasan demokrasi yang diamalkan di bawah kerajaan Barisan Nasional
(BN) adalah berlandaskan konsep empati, keprihatinan terhadap rakyat dan
bertindak secara bertanggungjawab. Najib juga menyebut bahawa prinsip
kebebasan, keseimbangan dan keadilan sentiasa ditekankan kerajaan supaya
hak untuk hidup di negara ini tidak dimonopoli sesuatu kaum.
Sikap terlalu memusat dan mengagungkan bangsa sendiri (etnosentrisme)
akan membawa kepada pemisahan dan ketegangan etnik yang tidak
menguntungkan sesiapa. Sebaliknya ia boleh melemahkan solidariti
masyarakat. Setiap rakyat harus membuka ruang dan perkongsian hidup
serta tidak menyentuh perkara-perkara sensitif seperti yang digariskan
dalam Perlembagaan negara.
Perasaan syak wasangka tidak akan wujud sekiranya semua pihak
bertindak dan bersuara mengikut lunas-lunas Perlembagaan negara.
Justeru, amat tidak wajar ada suara-suara yang cuba membangkitkan
isu-isu sensitif seperti mempertikai hak istimewa orang Melayu, tuntutan
untuk menjadikan bahasa lain sebagai bahasa rasmi pendidikan dan
sebagainya.
Hakikat yang harus diakui ialah semua kaum di negara ini menikmati
pelbagai kebebasan sepanjang 55 tahun pentadbiran kerajaan BN. Proses
dan perjalanan sejarah negara ini jelas membukti dan memberikan gambaran
bahawa rakyat berbilang kaum hidup saling menghormati, memahami dan
bertolak ansur antara satu sama lain.
Paras toleransi yang tinggi antara kaum yang diterjemahkan melalui
'politik kompromi' atau 'politik permuafakatan' BN menyebabkan kita
kekal menikmati keharmonian dan perpaduan hidup. Sejarah mampu
membicarakan secara menyeluruh, objektif dan empirikal tentang fakta
ini.
Contohnya, sekolah-sekolah Cina diizinkan beroperasi di negara ini
selagi ia mematuhi undang-undang negara. Sekolah-sekolah Cina inilah
yang menjadi saluran pemupukan budaya kecinaan, khususnya dalam
memelihara bahasa dan budaya mereka. Kerajaan yang ditunjangi UMNO tidak
pernah menyekatnya. Orang Cina juga bebas dan paling banyak menubuhkan
persatuan-persatuan mereka. Persatuan-persatuan mereka ini lebih
mengutamakan usaha menyalurkan bantuan kepada masyarakat mereka sendiri.
Kaum Cina di negara ini juga kekal menguasai ekonomi, di samping
terlibat aktif dalam politik negara. 'Ketuanan ekonomi' mereka amat
terserlah, malah disebabkan penguasaan ekonomi inilah menjadikan
kebanyakan bandar-bandar utama di negara ini seolah-olah mengalami
proses 'pencinaan'.
Kesimpulannya, sempena menyambut ulang tahun kemerdekaan negara ke-55
ini maka seluruh pemimpin sama ada dari parti kerajaan dan pembangkang
serta rakyat jelata mensyukuri nikmat perpaduan yang dikecapi selama
ini.
Semua pihak mesti berusaha memelihara perpaduan dan keharmonian hidup
dengan menghormati fasal-fasal yang termaktub dalam perlembagaan
berhubung perkara-perkara sensitif yang dilarang untuk disentuh kerana
ia boleh mengundang ketegangan kaum.
Hayatilah kata-kata Najib ini: "Hanya melalui kekuatan 'roh
perpaduan' dapat kita lahirkan semangat patriotisme dan jiwa besar
rakyat merdeka, sedang teras patriotisme pula adalah rasa keprihatinan
mendalam di antara sesama warga negara".
/hwa: utusan.com.my | 21/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan