SEBELUM Pandelela Rinong meraih pingat gangsa
dalam acara papan terjun di Sukan Olimpik, seorang pengamal twitter
bernama Johari Pain menulis: "Gua berani kerat (anunya) kalau Pandelela
menang pingat malam nih..."
Tiba-tiba Pandelela berjaya dengan cemerlang. Maka ramai yang menuntut Johari Pain menunaikan janjinya, iaitu "Janji DiKerati".
Benarlah kata ahli falsafah Greek, Plato bahawa: Wise men speak because they have something to say; Fools because they have to say something.
(Golongan bijak pandai bercakap kerana mereka ada sesuatu yang ingin
diperkatakan. Si dungu bercakap kerana mereka perlu berkata sesuatu).
Bunyinya kelihatan jenaka tetapi itulah yang berlaku. Rakyat Malaysia
- tidak semua sebenarnya - diajar supaya tidak lagi bangga dengan
negara sendiri. Mereka juga diajar usah berterima kasih kepada pemberian
pemimpin kerana itu hak mereka.
Segelintir rakyat juga diajar supaya terus meminta daripada
menyumbang untuk negara. Ini semua akibat segala-gala sudah
dipolitikkan.
Mereka tidak lagi dapat membezakan antara 'simbol negara', 'visi negara' dengan sepak terajang politik kepartian.
Atas sebab-sebab ini, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA),
Datuk Fuad Hassan berpendapat, dalam masyarakat yang rumit seperti
Malaysia, rakyat memerlukan simbol atau payung untuk bersatu.
"Perlu ada gencatan senjata dalam perkara yang dipersetujui bersama.
Masjid nampaknya tidak lagi dapat dijadikan tempat penyatuan, institusi
raja bukan tidak terlepas dari penghinaan, kehakiman tidak dianggap
bebas jika tidak memihak kepada sesuatu pihak berkepentingan, kebenaran
tidak lagi bersifat mutlak tetapi semuanya nisbi menurut sudut
pandangan.
"Dalam erti kata lain, dalam sistem anarki atau runtuhnya peraturan,
tiada lagi sumber kuasa atau simbol rujukan yang boleh menyatukan.
Semuanya berselindung di sebalik nama kuasa ketuanan dan kebebasan
rakyat," kata beliau di Kuala Lumpur kelmarin.
Fuad menarik perhatian tentang pendapat dari beberapa sudut bahawa
politik Malaysia selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 adalah politik 'serba
mungkin'. Ia juga seperti yang dinyatakan oleh Machiavelli mempunyai
elemen 'tujuan menghalalkan cara'.
Untuk mencapai satu tujuan jangka pendek, pelbagai cara dibolehkan
melalui andaian logik, sandaran Islam, serta perikatan tidak suci unholy alliance
antara pihak yang berbeza kepentingan. Kata Fuad lagi, ia umpama suatu
percubaan berani dari pihak yang berlainan mimpi bagi mempertaruhkan
masa depan negara, bangsa dan agama.
"Pas memberikan justifikasi dengan menyatakan permuafakatan dengan
DAP sebagai "Tahalluf Siyasi"(Permuafakatan Politik). Tahalluf Siyasi
apa kalau perjuangan Islamnya semakin luntur, perjuangan bangsanya
semakin kabur dan banyak perkara dasar Islami perlu mendapat lampu hijau
dari DAP.
"(Sedangkan) Tahalluf Siyasi harus mendaulatkan Maqasid Syariah
(Matlamat Politik yang berasaskan syariah) dan perlaksanaan matlamat
syariah semakin kukuh apabila maqasid mendahulukan perundingan sesama
ummah, bukan musuhnya," kata beliau.
Dalam hubungan ini, Fuad turut menarik perhatian mengenai Jalur Gemilang sebagai simbol kemerdekaan dan semangat patriotik yang tidak terlepas dari kritikan dan penghinaan.
Suatu ketika dulu terdapat pelbagai pandangan lantang berkaitan dengan simbol patriotisme dan sejarah negara. Antaranya:
1. Usaha untuk melakukan penilaian semula terhadap sejarah
kemerdekaan negara. Bahawa pejuang sebenar kemerdekaan adalah Parti
Komunis Malaya (PKM) dan bukannya Tunku Abdul Rahman dan parti UMNO yang
dianggap tali barut penjajah.
2. Usaha merendahkan martabat Jalur Gemilang dengan menyatakan
ia diciplak dari bendera negara imperialis Amerika seperti yang pernah
disebut oleh bekas pemimpin sosialis Universiti Malaya yang kini menjadi
aktivis pakatan pembangkang, Hishamuddin Rais.
3. Mempermainkan lagu Negaraku sebagai "Negara Kuku" dalam
bentuk raps seperti yang terlihat dalam klip video penyanyi raps
kontroversi, Namewee. Anak muda itu juga pernah meluahkan protesnya
terhadap azan yang dianggap mengganggu ketenteraman subuh.
4. Luahan Tweet kerana tidak berminat mengibarkan Jalur Gemilang serta menurunkan darjat sebagai "Jalur Malang" oleh bekas menteri besar Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin;
5. Tentangan terhadap tema, logo dan lagu "Janji Ditepati" untuk hari
sambutan 55 tahun kemerdekaan negara oleh pakatan pembangkang dan
penyokong media sosial pembangkang.
Menurut Fuad, sejarah tidak pernah menafikan peranan yang dimainkan
golongan kiri seperti Ibrahim Yaakub, Ahmad Boestamam dan Burhanuddin
Helmi yang mahu mencapai kemerdekaan bersama Indonesia melalui konsep
'Melayu Raya'.
"Tetapi kita harus mengakui pandangan majoriti bahawa Tunku Abdul
Rahman melalui UMNO, MCA dan MIC sudah ditakdirkan berjaya mencapai
kemerdekaan tahun 1957 dengan Tunku diisytiharkan sebagai Bapa
Kemerdekaan.
"Beliau juga telah pun menjawat sebagai Perdana Menteri pertama dan
Malaya diterima sebagai anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Kejayaan seterusnya adalah usaha menubuhkan Malaysia pada tahun 1963
bersama-sama pemimpin masyarakat Sabah dan Sarawak.
Tegas beliau: "Jalur Gemilang harus dihormati dan dihargai bukan kerana corak warna atau kerana kualiti kainnya.
"Tetapi Jalur Gemilang adalah simbol penyatuan tertinggi negara,
simbol kewujudan negara merdeka dan simbol maruah sesuatu bangsa."
Fuad mengingatkan gangguan terhadap simbol penyatuan negara masih belum reda.
Ini kerana baru-baru ini, pakatan pembangkang bertekad untuk
menggunakan tema merdeka pakatan pembangkang - 'Sebangsa Sejiwa
Senegara'. 'Janji Ditetapi' dianggap sebagai tema Barisan Nasional.
Namun ternyata tiada muafakat di antara pakatan pembangkang sendiri
untuk menggunakan tema bersama mereka. Akhirnya wujudlah tiga tema bagi
empat negeri yang dikuasai pakatan PKR, DAP dan Pas:
1. "Sebangsa Sejiwa Senegara" di Selangor dan Pulau Pinang.
2. "Menerajui Perubahan" di Kelantan.
3. "Terus Berbakti" di Kedah.
"Cuma, apakah mesej yang ingin kita sampaikan kepada rakyat dalam
kekecohan tema kemerdekaan ini. Apakah kebebasan, demokrasi atau anarki,
yakni runtuhnya peraturan dan kepimpinan yang tidak dihormati dalam
acara penting negara.
"Inilah akibatnya tidak dapat membezakan antara 'politik kepartian' dengan politik kenegaraan," katanya.
Kata beliau: "Bukankah 'Janji Ditepati' merupakan satu nilai mulia
yang dituntut oleh semua agama. Tidakkah juga Janji Ditepati merupakan
peringatan untuk semua, tidak kira kerajaan atau pembangkang, individu
atau masyarakat, supaya menunaikan janji yang belum terlaksana bagi
mencapai matlamat kebahagiaan rakyat dan Negara Terbaik atau 'Madinah
Al-fadilah' seperti yang diharapkan oleh Ibn Farabi."
Menurut Fuad, pakatan pembangkang menyatakan konsep 1Malaysia adalah slogan yang ditiru dari negara Israel.
Sedangkan, sebenarnya "One Israel" atau "Yisrael Ahad" merupakan
strategi Parti Buruh untuk mengadakan perikatan dengan Parti Gesher dan
Parti Agama Meimad bagi memenangi pilihan raya Knesset Israel pada tahun
1999. Ia bertujuan untuk mengurangkan imej sekular Parti Buruh.
Semua mengetahui "One Israel" terkubur apabila parti Meimad keluar
daripada perikatan pada tahun 2000 kerana tidak bersetuju dengan
Persidangan Camp David yang berunding dengan Yasser Arafat. Ehud Barak
kemudian didakwa kerana melanggar peraturan pilihan raya dengan
menggunakan dana asing untuk kempen Knesset tersebut.
Jelasnya, "One Israel" merupakan permuafakatan politik jangka pendek
Ehud Barak untuk menang pilihan raya. 1Malaysia pula adalah lambang visi
pemimpin untuk meneraju negara selepas menang pilihan raya 2008.
Tujuannya untuk menyatu, memakmur dan mengukur pencapaian kerajaan dalam
usaha membantu rakyat. Ia adalah terjemahan dan lanjutan daripada
Wawasan 2020 dan Islam Hadhari.
"Kesimpulannya kita harus mengerti bahawa politik harus punya batas
masa dan tempat. Bukan semua perkara perlu dipolitikkan," katanya.
Dasar-dasar penting negara serta simbolnya harus didukung bersama. Dalam usaha menyambut 55 tahun merdeka ayuhlah kita kibarkan Jalur Gemilang dengan megah sebelum kita kehilangan.
Sebenarnya bukan salah politik tapi pelakunya. Benarlah seperti kata
Gen. H. Norman Schwarzk bahawa "kepimpinan adalah kombinasi strategi dan
perwatakan (karakter).
Jika harus memilih salah satu - pilihlah perwatakan.
/hwa: utusan.com.my | 15/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan