Najib Tun Razak dan Muhyiddin Yassin
menunaikan solat jenazah yang diimamkan Imam Besar Masjid Negara, Tan
Sri Syaikh Ismail Muhammad pada majlis pengebumian Hamzah Abu Samah di
Masjid Negara, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ZAINI HUSIN
*****
KUALA LUMPUR 5 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan
Allahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah sebagai tokoh yang amat penting
dalam perjalanan politik dan sukan tanah air serta banyak memberikan
sumbangan kepada negara.
Perdana Menteri berkata, sebagai ahli politik, Hamzah telah bersama
para pemimpin negara terdahulu termasuk bapa beliau, Perdana Menteri
kedua negara, Tun Abdul Razak Hussein dalam mengisi nilai dan membentuk
negara ini selepas kemerdekaan.
Dalam bidang sukan pula, kata beliau, Hamzah telah membantu negara
mencapai beberapa kejayaan khususnya sewaktu menjadi Presiden Majlis
Olimpik Malaysia (MOM) dan Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM).
Sehubungan itu, tambah Najib, sumbangan beliau sudah pasti dikenang para peminat sukan dan masyarakat secara keseluruhan.
"Allahyarham telah bersama pemimpin lain berjuang memastikan asas tapak negara kita dapat dibina dengan kukuh.
"Sudah tentu dalam konteks sumbangan, beliau akan dibariskan bersama
tokoh-tokoh lain atas jasa dan sumbangan besar beliau kepada bangsa,
agama dan negara," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis
pengebumian Hamzah di Makam Pahlawan Masjid Negara di sini hari ini.
Hamzah, 88, yang merupakan bekas menteri Kabinet dan tokoh sukan
tanah air meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya di Staffield
Country Resort, Mantin, Negeri Sembilan pada pukul 3.30 petang semalam.
Allahyarham meninggalkan isteri, Toh Puan Zainon Hussain, 74, dan
tujuh anak iaitu Mohd. Azlan, 55; Zulkifli, 54; Mohd. Azman, 52; Mohd.
Izham, 50; Mohd. Shahril, 45; Salina, 44, dan Suria, 34.
/hwa: utusan.com.my | 6/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan