KUALA LUMPUR 11 Sept. - Keputusan Majlis Syura
Pas yang tidak membuat apa-apa pendirian berhubung kedudukan Nasharudin
Mat Isa dalam mesyuaratnya pada Ahad lalu adalah bijak dan kena pada
tepatnya.
Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Dr. Hasan Ali yang menyambut baik
sikap dan pendirian majlis syura itu menyifatkan, tindakan tersebut
penting dalam usaha mengembalikan semula kewibawaan kepimpinan ulama
dalam Pas.
"Pendirian tersebut telah menggambarkan bahawa tindakan dan kenyataan
Nasharudin yang menjurus ke arah politik perdamaian sesama Islam dan
keras terhadap orang kafir yang cuba mengongkong perjuangan Pas itu
bukanlah satu kesalahan bagi kaca mata Majlis Syura Ulama sebagai badan
tertinggi parti," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas kedudukan Nasharudin dalam parti itu kekal seperti
yang diumumkan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kelmarin.
Keputusan majlis itu dilihat sebagai satu tamparan buat golongan
'Anwarinas' yang tidak senang dengan tindak-tanduk Nasharudin selama ini
termasuk terbaru, membantu pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Tun Razak dengan ulama Arab Saudi di Mekah baru-baru ini.
Mereka dilaporkan benar-benar kecewa dengan keputusan itu yang
sebelum ini begitu berharap bekas Timbalan Presiden Pas itu dipecat
kerana membuat kenyataan meminta parti itu mengkaji semula kedudukan
dalam pakatan pembangkang.
Jelas Hasan, tindakan dan kenyataan Nasharudin telah menimbulkan
kemarahan dan reaksi yang negatif dalam kalangan kumpulan 'parasit' di
dalam Pas sehingga Lajnah Politik yang dikuasai oleh kumpulan itu
diberitakan mencuba untuk mengambil satu pendirian parti ke atas Ahli
Parlimen Bachok berkenaan.
Bagaimanapun, kata beliau, golongan itu tidak mampu untuk berbuat
demikian memandangkan Nasharudin adalah Ahli Majlis Syura Ulama yang
kedudukannya lebih tinggi daripada ahli Lajnah Politik mahupun
Jawatankuasa Pas Pusat.
"Mereka terpaksa menyerahkan kepada Majlis Syura Ulama sebagai badan
tertinggi parti untuk menentukan masa depan Nasharudin di dalam Pas,"
ujarnya.
/hwa: utusan.com.my | 12/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan