3 September 2012

UMNO ditubuh atas dasar perjuangan suci

PERDANA Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak diberi sambutan meriah setibanya di Dewan Serbaguna Sri Libaran, Sandakan, semalam. - Foto Zunnur Al Shafiq  
PERDANA Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak diberi sambutan meriah setibanya di Dewan Serbaguna Sri Libaran, Sandakan, semalam. - Foto Zunnur Al Shafiq
*****
Najib yakin rakyat tolak hasutan pembangkang

Sandakan: Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, berkata penubuhan UMNO kira-kira 66 tahun lalu oleh pemimpin terdahulu adalah atas dasar perjuangan suci untuk membela kedaulatan agama, bangsa dan negara.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, UMNO tidak sama dengan parti politik lain kerana asas perjuangan UMNO ialah bagi membebaskan negara daripada belenggu penjajahan dan membolehkan negara dan bangsa bebas menentukan masa depan sendiri tanpa kongkongan pihak luar.
"Jadi UMNO bukan sebarang parti. UMNO tidak lahir kerana kerakusan hendakkan kuasa untuk mana-mana pemimpin”. - Najib Razak, Perdana Menteri
“UMNO bukan sebarangan parti, UMNO bukan parti yang lahir di tepi jalan, UMNO bukan parti ditubuh di tengah rusuhan rakyat, UMNO adalah parti yang ditubuhkan kerana perjuangan, kerana niat yang suci, kerana jika tidak, negara ini tidak bebas, merdeka.

“Jadi UMNO bukan sebarang parti. UMNO tidak lahir kerana kerakusan hendakkan kuasa untuk mana-mana pemimpin. UMNO bukan parti yang lahir kerana orang dengki hendak sangat jawatan Perdana Menteri. UMNO lahir atas niat besar,” katanya berucap merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Zon Lima merangkumi Libaran, Kinabatangan, Sandakan, Batu Sapi dan Beluran di Dewan Sri Libaran di sini, semalam.

Hadir sama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Musa Aman; isterinya, Datin Seri Faridah Tussin dan barisan pemimpin UMNO serta komponen Barisan Nasional (BN) negeri.

Tolak pemimpin
Najib juga menegaskan bahawa UMNO sedia melepaskan pemimpin yang cuma mengejar kekayaan dan jawatan, kerana sejarah membuktikan tiada pemimpin UMNO yang lebih besar daripada parti.

Justeru, beliau melahirkan keyakinan terhadap kematangan rakyat, terutama di Sabah dalam menolak hasutan pembangkang yang dilihat mula beralih ke Negeri Di Bawah Bayu.

“Dalam parti, memang ada pergolakan atau berkocak sikit tapi itu biasa. Kita nampak pembangkang dah mula ‘cucuk’ (menghasut) di Sabah sebab dia buat di Sarawak tak menjadi. Kita dah kenal mereka dan tahu waktu dalam kerajaan apa yang dia buat tetapi sekarang nak janji macam-macam,” katanya.

Ajak rakyat bersatu

Di KOTA BELUD; Najib mengajak masyarakat majmuk negara ini supaya bersatu dalam satu payung politik yang menjadi kekuatan utama dalam memastikan kemajuan serta pembangunan negara pada masa depan.

Sambil meminta rakyat mengambil iktibar kesan penjajahan selama 400 tahun, termasuk perpecahan dalam kelompok kecil kumpulan, Perdana Menteri berkata, Malaysia terutama Sabah mempunyai keunikan menerusi kepelbagaian kaum dan budaya serta cara hidup.

“Saya tertarik dengan keunikan ditonjolkan di Negeri Bawah Bayu ini tetapi saya hendak nyatakan tidak mengapa kita berbeza budaya, tetapi kita mesti bersatu dari segi politik.

“Kita harus bersatu padu di bawah panji-panji UMNO dan BN supaya Sabah boleh menjadi kubu kuat BN,” katanya pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah (USBO) di Kampung Rampayan Laut yang dihadiri kira-kira 25,000 orang di sini, semalam.

Najib berkata, UMNO ditubuhkan kerana hendak memecahkan tembok kesukuan di negara ini dan di Sabah ia mula bertapak di Kota Belud apabila Tun Datu Mustapha membubarkan USNO. 
 
/hwa: bharian.com.my | 3/9/12

Tiada ulasan: