SELEPAS menang banyak kerusi peringkat negeri Pulau Pinang pada
Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12), DAP memanggil satu mesyuarat di Hotel
Red Rock, Jalan Macalister. Satu soalan ditanya, siapa yang sewajarnya
menjadi Ketua Menteri?
Lim Guan Eng lantas menawarkan diri sambil menyatakan bahawa sebagai
Setiausaha Agung, beliau paling layak. Khabarnya, ada pemimpin DAP lain
yang hadir pada mesyuarat itu agak tersentak. Sepatutnya, jawatan
tersebut diberi kepada tokoh anak tempatan, Pengerusi DAP negeri, Chow
Kon Yeow.
Kisah tersebut sehingga hari ini menjadi bualan beberapa pemimpin dan
bekas pemimpin DAP. Kon Yeow dikatakan lebih layak kerana beliau ialah
anak jati Pulau Pinang berbanding Guan Eng yang merupakan calon payung
terjun berasal dari Melaka.
Di peringkat akar umbi DAP negeri, Kon Yeow disenangi ramai kerana
dilihat seorang yang berkebolehan, bersikap matang, merendah diri dan
bersih. Cuma kekurangannya, beliau bukan anak Penasihat DAP, Lim Kit
Siang yang lebih empat dekad menguasai parti.
Ramai pemerhati politik termasuk orang dalam DAP sependapat bahawa
peranan Kit Siang mempengaruhi pendakian politik Guan Eng. Bukan sahaja
bagi jawatan parti sehingga diangkat menjadi Setiausaha Agung, bahkan
turut dijadikan Ketua Menteri. Nama sahaja parti berlabel demokratik
tetapi dikuasai dua beranak.
Sejarah menyaksikan bagaimana ramai pemimpin yang berkebolehan
terpinggir dalam satu permainan politik halus olahan Kit Siang demi
meneruskan dinastinya dalam DAP.
Hari ini, Guan Eng dilingkari banyak kelemahan dan isu termasuk imej
angkuh yang dilemparkan kepadanya oleh pemimpin pakatan. Beliau juga
kerap mengeluarkan kenyataan yang memudaratkan imej parti termasuk isu
Johor tidak sesuai sebagai destinasi pelaburan kerana banyak berlaku
jenayah.
Cakap-cakap mempersoalkan kewajaran Guan Eng sebagai Ketua Menteri
kini berlegar. Ada yang mencadangkan agar jawatan Ketua Menteri, jika
DAP terus memerintah selepas PRU13 dikembalikan kepada anak tempatan.
Awang percaya itu langkah yang baik. Pulau Pinang tidak ketandusan
pemimpin negeri. Adalah suatu penghinaan menafikan hak rakyat negeri itu
untuk mendapatkan peneraju rakyat tempatan. Lagipun Guan Eng terlalu
yakin bahawa pakatan pembangkang akan memerintah negara. Maka beliau
sepatutnya menumpukan sahaja kepada Pusat. Janganlah mahu membolot
semua. Guan Eng faham apa yang dimaksudkan.
Sekadar rekod, antara kejayaan Kit Siang yang pasti dikenang adalah
melorongkan laluan istimewa kepada anaknya ke persada kuasa parti.
Memang Guan Eng bertuah. Anak bapaklah katakan.
Awang Selamat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan