Najib Tun Razak bersama Pengerusi
UEM, Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali (dua dari kanan), Pengarah Urusan
dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM, Datuk Izzaddin Idris (kanan), Menteri
di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (empat dari
kanan) dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd., Tan Sri Azman Mokhtar
meletakkan tangan pada plak perasmian ketika merasmikan Mercu UEM di
Jalan Stesen Sentral, KL Sentral, semalam. - UTUSAN/ABDUL RAZAK LATIF
*****
KUALA LUMPUR 3 Okt. - Syarikat milik kerajaan
(GLC) yang terlibat dalam penyediaan perkhidmatan strategik seperti
tenaga elektrik, telekomunikasi, sistem penerbangan, pengangkutan awam,
air serta kewangan merupakan pemangkin dan pelengkap pembangunan ekonomi
negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini terbukti
apabila menerusi GLC, negara kini mampu mewujudkan 359,187 pekerjaan
yang menyumbang hasil sebanyak RM40 bilion melalui pembayaran cukai,
melatih 12,757 siswazah dan membelanjakan RM315 juta untuk pembangunan
modal insan.
Katanya, kesemua pencapaian itu terhasil melalui Program Transformasi GLC (GLCT) yang dilancarkan kerajaan pada Mei 2004.
"Ini selaras dengan dasar Program GLCT di mana transformasi untuk
menjadi entiti berprestasi tinggi perlu dilakukan demi kesejahteraan
Malaysia pada masa depan dan seterusnya mencapai Wawasan 2020," katanya.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika merasmikan
bangunan Mercu UEM Group Bhd. (UEM) yang merupakan ibu pejabat korporat
syarikat konglomerat tersebut di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, sebagai sebuah anggota GLC, UEM
memainkan peranan penting dalam melaksanakan dasar serta inisiatif
kerajaan, di samping menjana keupayaan dan pengetahuan untuk
sektor-sektor penting.
Menerusi UEM, katanya, negara berupaya memiliki lebuh raya bertaraf
dunia dan kini konglomerat tersebut telah mengorak langkah ke luar
negara dan berkongsi kemahiran dalam pembinaan lebuh raya dan perumahan
seperti di India, Indonesia, Brunei serta Asia Barat.
Katanya, pengembangan operasi UEM dalam perniagaan teras seperti
pembinaan lebuh raya, pembangunan perbandaran dan hartanah, kejuruteraan
dan pembinaan serta pengurusan aset dan fasiliti sehingga ke luar
negara membuktikan konglomerat itu mempunyai daya saing di peringkat
global.
Di samping aspek perniagaan, beliau turut mengingatkan lebih 16,000
warga kerja UEM bahawa mereka juga bertanggungjawab ke atas kemakmuran
negara dan kesejahteraan masyarakat.
"Bangunan Mercu UEM yang merupakan ibu pejabat korporat UEM adalah
mercu tanda misi dan komitmen tuan-tuan dan puan-puan untuk terus
bekerjasama dengan kerajaan demi memacu pertumbuhan ekonomi negara dan
memberikan perkhidmatan terbaik berpaksikan rakyat," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan