NAJIB Tun Razak (empat dari kanan)
mengadakan pertemuan dengan ahli Majlis Perniagaan Malaysia-Filipina
sempena lawatan rasmi tiga harinya ke Filipina di Manila yang berakhir,
semalam. - BERNAMA
*****
MANILA 16 Okt. - Perjanjian Rangka Kerja Mengenai Bangsamoro yang
ditandatangani semalam tidak akan mengulangi kegagalan mempertahankan
perjanjian damai sebelum ini jika ia disusuli segera tindakan memastikan
masyarakat di wilayah itu merasai manfaatnya secepat mungkin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dalam hal ini,
semua pihak terutama kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro
(MILF) telah memberi komitmen untuk melaksanakan langkah-langkah
mempertahankan perjanjian itu terutama membawa pembangunan pelbagai
bidang ke Mindanao.
Menurutnya, ini kerana, pengalaman dalam perjanjian damai dengan
Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) sebelum ini jelas merumuskan
bahawa kegagalan mempertahankannya adalah disebabkan masyarakat tidak
merasai apa-apa manfaat daripadanya.
Pada kali ini, Murad Ebrahim (Pengerusi MILF) sendiri pun sedar.
Saya sudah berbincang dengan beliau, cabaran besar baginya adalah
bagaimana beliau hendak memastikan manfaat pelan damai ini dapat dirasai
oleh pengikut-pengikutnya dalam jangka masa paling pendek.
Kalau tidak, mungkin mereka bukan saja tertanya-tanya, malah mereka
ini akan menjadi gelisah. Ini kerana masyarakat di wilayah itu sangat
dahagakan perubahan terhadap masa depan mereka," katanya kepada wartawan
Malaysia selepas Majlis Mesra Bersama Rakyat Malaysia di sebuah hotel
lain di sini malam tadi.
Najib berada di sini bagi lawatan rasmi tiga hari termasuk untuk
menyaksikan upacara menandatangani Perjanjian Rangka Kerja Mengenai
Bangsamoro antara kerajaan Filipina dan MILF di Istana Malacanang
semalam. Beliau dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor berlepas pulang ke
tanah air pagi ini. - UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan