10 Oktober 2012

Kenyataan Azmin melampaui batas - Karpal

KUALA LUMPUR 8 Okt. - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali tidak layak untuk mengeluarkan kenyataan tentang siapa yang sepatutnya menjadi Menteri Besar Selangor jika pakatan pembangkang kekal memerintah negeri tersebut selepas Pilihan Raya Umum Ke-13.
Pengerusi DAP, Karpal Singh menegaskan, Azmin tidak sepatutnya memberi sebarang kenyataan yang boleh mendatangkan kesan kepada pakatan pembangkang.
''Azmin telah melampaui batas semasa menyatakan pandangannya kerana isu berkenaan adalah di luar bidang kuasa PKR. Isu itu melibatkan pucuk pimpinan pakatan pembangkang," katanya seperti dilaporkan akhbar The Star hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Azmin baru-baru ini yang membayangkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak akan dilantik semula sebagai Menteri Besar Selangor sekiranya pakatan pembangkang mengekalkan kuasa di negeri berkenaan.
Ahli Parlimen Gombak itu dilaporkan berkata, khidmat Abdul Khalid lebih diperlukan di peringkat Kerajaan Pusat sekiranya pihak pembangkang berjaya merampas Putrajaya.
Tambah Karpal, tindakan Azmin menyuarakan pandangan sedemikian adalah kurang sesuai kerana keputusan berhubung isu itu bukan ditentukan oleh PKR sahaja.
Sementara itu, dalam laporan sama, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali turut mengesahkan isu tersebut tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat majlis pimpinan pakatan pembangkang.
Mustafa juga menyifatkan Azmin sebagai seorang pemimpin yang 'bercita-cita tinggi' ekoran kenyataan dikeluarkannya itu.
Dalam pada itu, bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari memberitahu, perselisihan faham antara Azmin dengan Abdul Khalid merupakan 'rahsia terbuka' di dalam PKR.
''Pada 2008, Azmin mengidam jawatan Menteri Besar tetapi beliau tidak menyuarakan hasratnya itu setelah Anwar yang juga Penasihat PKR meyakinkan Azmin pakatan pembangkang pasti merampas Putrajaya pada 2009," ujarnya.
Jelas Anuar, Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail diketahui tidak sehaluan dengan Timbalannya itu walaupun suaminya, Anwar memihak kepada Azmin.
Setiausaha Politik Abdul Khalid, Faekah Husin berkata, Menteri Besar Selangor itu tidak memandang serius kenyataan Azmin kerana beliau tidak kisah sama ada namanya disenaraikan semula sebagai calon atau digugurkan pada pilihan raya umum akan datang.
Dalam perkembangan lain, Abdul Khalid mengakui masih ada ahli-ahli PKR yang hanya melihat kelemahan parti dan meragui keupayaan pakatan pembangkang.
''Situasi ini berlaku kerana ahli-ahli terbabit lebih mengutamakan kepentingan peribadi mereka. Ini tidak betul. Kita sepatutnya bersikap lebih matang dalam mencapai matlamat parti," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PKR Cabang Kuala Selangor di Ijok, Kuala Selangor semalam.

Tiada ulasan: