GEORGETOWN 8 Okt. - Perjuangan politik Pas kini tidak lagi menepati
kehendak Islam apabila parti itu bekerjasama dengan DAP, kata Sasterawan
Negara Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad.
Beliau berkata apa yang dilakukan oleh Pas sekarang ialah hanya
menuruti kehendak politik DAP dan pendekatan seumpama itu bercanggah
dengan kehendak Islam kerana Pas sepatutnya memimpin dalam memperjuang
Islam.
Shahnon yang juga anggota Pas seumur hidup berkata, adalah sangat
menyedihkan kerana kerjasama Pas dengan DAP itu bukan seperti yang
diharapkan dan ia bercanggah dengan pendekatan yang diambil Rasulullah
S.A.W ketika memerintah dan bekerjasama dengan golongan bukan beragama
Islam.
"Sepatutnya DAP tertakluk kepada peraturan Islam kalau mereka hendak bekerjasama dengan Pas," katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau yang juga bekas anggota Parlimen Sik berkata dasar Pas
sekarang tersasar daripada perjuangan asalnya apabila terpaksa menuruti
kehendak DAP.
DAP sebelum ini telah menyatakan tidak akan menyokong penubuhan negara Islam di negara ini seperti yang dimahukan Pas.
Shahnon yang pernah bertugas sebagai Pengarah Pusat Islam Universiti
Sains Malaysia (USM) berkata pendekatan Rasulullah SAW bekerjasama
dengan kaum Yahudi, Kristian dan munafik bukanlah seperti kerjasama Pas
dan DAP sekarang kerana ketika itu Islam yang memerintah dan memimpin
kaum-kaum berkenaan. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan