KUALA LUMPUR 16 Okt. - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri,
Datuk Dr. Mashitah Ibrahim menafikan dakwaan beliau telah mengeluarkan
kata-kata memfitnah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerusi
kolumnya beliau 'Langit Terbuka' dalam akhbar Sinar Harian bertarikh 2 Mac lalu.
Bagi Mashitah, kata-kata itu benar dari segi fakta dan merupakan
komen berpatutan dalam menyuarakan pendapat berhubung kepentingan awam
iaitu peradaban Abdul Hadi sebagai ahli politik atau Ahli Parlimen
berlandaskan perjuangan partinya atas nilai-nilai yang ditekankan oleh
Islam.
Tambahan pula, menurut beliau, kata-kata tersebut telah diterbitkan dalam tahun 2003 di dalam sebuah buku bertajuk: Letup: Isu-Isu Hangat Kelantan
yang ditulis oleh Drs. Amnah Khuzairi namun tiada tindakan diambil ke
atas penulis buku tersebut dan mana-mana pihak yang berkenaan oleh Abdul
Hadi.
Berikutan itu, Mashitah menegaskan, pernyataan itu telah diterbitkan
di bawah satu perlindungan bersyarat dan menafikan Abdul Hadi berhak ke
atas sebarang ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi melampau.
Perkara tersebut terkandung dalam pernyataan pembelaan Mashitah
setebal tujuh muka surat bagi menjawab kes saman fitnah yang difailkan
oleh Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu terhadap beliau dan
dua lagi di Mahkamah Tinggi di sini pada 18 September lalu.
Pernyataan pembelaan tersebut difailkan semalam melalui firma guaman, Tetuan J.S. Pillay & Mohd. Haaziq.
Dalam saman itu, Abdul Hadi selaku plaintif menamakan Mashitah
defendan pertama manakala penerbit dan pencetak akhbar Sinar Harian,
Sinar Karangkraf Sdn. Bhd. (Sinar Karangkraf) dan Ultimate Print Sdn.
Bhd. (Ultimate Print) masing-masing defendan kedua dan ketiga.
Dalam pernyataan tuntutan Abdul Hadi antaranya mendakwa, defendan
pertama telah mengeluarkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya dalam
kolum beliau 'Langit Terbuka' yang kemudiannya diterbit dan dicetak oleh
defendan kedua dan ketiga.
Dakwanya, kata-kata fitnah yang ditulis itu antara lainnya
menunjukkan, plaintif seorang yang tidak bermoral dan tidak layak untuk
menjadi pemimpin parti.
Hakim Datin Zabariah Mohd. Yusof pada 2 Oktober lalu menetapkan pengurusan kes saman itu pada 30 Oktober depan.
Sementara itu, Mashitah juga pada 25 September lalu telah disaman
oleh Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berhubung penyiaran artikel
yang sama.
Mohamad menyatakan, kata-kata fitnah itu antaranya menggambarkan
beliau telah mendedahkan auratnya di hadapan seorang perempuan yang
bukan mahram, melakukan perbuatan yang jijik, tidak bermoral dan
pemimpin Islam yang rendah akhlaknya.
Peguam Datuk Mohd. Haaziq Pillay yang mewakili Mashitah, memberitahu
pemberita, Hakim Datin Yeoh Wee Siam hari ini memerintahkan anak guamnya
memfailkan pernyataan pembelaan pada atau sebelum 30 Oktober ini dan
menetapkan 23 November depan bagi pengurusan kes itu.
Mohamad diwakili peguam Nor Syazzana Zolkiffly, manakala peguam Nor
Uwais Qarni mewakili Ketua Pengarang Sinar Harian, Norden Mohamed; Sinar
Karangkraf dan Ultimate Print yang dinamakan sebagai defendan kedua
hingga keempat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan