11 Oktober 2012

MSC catat perolehan RM30b

Najib Tun Razak bersama Muhyiddin Yassin menyampaikan Anugerah Perdana Menteri Best Of The Best Award APICTA 2012 kepada Azli Paat, pengasas Ada Vista Sdn. Bhd. selepas mempengerusikan Mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa 2012 (IAP) MSC Malaysia dan Mesyuarat Majlis Pelaksanaan MSC Malaysia di Bangunan Perdana Putra Putrajaya, semalam. - UTUSAN/HANAFI KHAMIS 
*****
PUTRAJAYA 9 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, MSC Malaysia menyaksikan perolehan terbaik pernah dicatatkannya kepada lebih RM30 bilion pada tahun lepas.
Menurut Perdana Menteri, inisiatif itu juga mencatatkan peningkatan eksport sembilan peratus kepada RM10 bilion serta menyumbang lebih RM9 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
''MSC juga telah mencatatkan pertumbuhan tujuh peratus dalam peluang pekerjaan berbanding 2010, menjadikan keseluruhannya bilangan kerja yang diwujudkan sehingga ini kepada 119,138,'' katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa Koridor Raya Multimedia (MSC) di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Mesyuarat tersebut dihadiri Muhyiddin, anggota Jemaah Menteri dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr. Ali Hamsa.
Pada sidang akhbar itu juga Perdana Menteri berkata, satu kajian mendalam akan dijalankan bagi mewujudkan satu modul kursus menggunakan teknologi maklumat (IT) untuk menaiktaraf dan meningkatkan kemahiran mengajar para guru tidak lama lagi.
Usaha tersebut, menurut Najib, akan menjadikan kursus perguruan lebih menarik berbanding menggunakan kaedah tradisional dengan menghantar mereka ke institusi perguruan semasa cuti sekolah.
Beliau berkata, pendekatan itu juga akan membolehkan rakyat Malaysia melihat kelebihan IT bukan hanya untuk meningkatkan kualiti pendidikan malah bakat tempatan yang membangunkannya.
''Caranya adalah kita perlu mengenal pasti beberapa orang guru cemerlang dalam mata pelajaran masing-masing pada setiap tahun untuk membangunkan kandungan modul itu dan meletakkannya dalam talian (Internet) manakala guru lain boleh menjadi mentor dan fasilitatornya.
''Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju untuk melihat lebih jauh perkara itu," katanya.
Menurut Perdana Menteri, kaedah tersebut telah menjadi satu trend semasa di Amerika Syarikat (AS) yang mana para profesor mereka mengajar secara dalam talian.
''Cara itu membolehkan mereka mengajar lebih 100,000 kepada 150,000 pelajar berbanding saiz bilik kuliah," katanya.
Pada mesyuarat sama, beliau berkata, IAP MSC turut memutuskan untuk mengiktiraf para usahawan tempatan yang berjaya mengembangkan perniagaan mereka dengan menggunakan IT.
Katanya, keputusan itu sebagai satu usaha untuk menarik lebih ramai usahawan menggunakan IT sebagai mekanisme berkesan bagi mengembangkan perniagaan mereka ke tahap yang membanggakan.
''Sebagai contohnya, bagaimana seorang usahawan rumpai laut di Semporna (Sabah) berjaya meningkatkan pendapatan bulanannya daripada RM450 kepada RM20,000 apabila menggunakan IT untuk memperkenalkan produk jualannya.
''Ia menunjukkan bahawa IT mampu menjadi agen perubahan kepada kehidupan sehingga membolehkan usahawan itu menikmati perolehan pendapatan yang sebegitu besar dan sudah pasti kita memerlukan lebih ramai seperti usahawan itu," katanya.

Tiada ulasan: