NAJIB Tun Razak beramah mesra dengan
sebahagian delegasi dari negara Barat semasa hadir dalam Persidangan
Dasar Pandang ke Timur-Dimensi Baharu serta Persidangan Bersama
Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun (Majeca) dan Persatuan Ekonomi
Jepun-Malaysia (Jameca) Ke-31 di Kuala Lumpur, semalam.Turut kelihatan Mustapha Mohamed (kanan). - UTUSAN/IRWAN MAJID
*****
KUALA LUMPUR 10 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak
menggariskan tiga strategi bagi memastikan Dasar Pandang ke Timur yang
dicetuskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sejak 30
tahun lalu mampu mencipta lebih banyak kejayaan.
Menurut Perdana Menteri, untuk itu pemerolehan kemahiran, pengetahuan
dan nilai menjadi paksi utama kepada kelangsungan dasar berkenaan.
''Pertamanya, saya ingin melihat syarikat-syarikat Malaysia
berkerjasama dengan lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS)
Jepun bagi menggerakkan ekonomi negara ke depan. PKS negara itu juga
diharap dapat memainkan peranan sama khususnya dalam bidang-bidang
seperti teknologi hijau, perkhidmatan teknikal utama dan sektor-sektor
bernilai tinggi lain.
''Perkongsian strategik itu dilihat mampu menyumbang terhadap
peralihan kita (Malaysia) kepada ekonomi yang dipacu inovasi dan
pengetahuan serta membantu mengukuhkan teras ekonomi negara,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena
Persidangan Dasar Pandang ke Timur - Dimensi Baharu serta Persidangan
Bersama Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun (Majeca) dan Persatuan Ekonomi
Jepun-Malaysia (Jameca) Ke-31 di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri,
Datuk Seri Mustapa Mohamed; Duta Jepun ke Malaysia, Shigeru Nakamura;
Presiden Majeca, Tan Sri Azman Hashim dan Presiden Jameca, Mikio Sasaki.
Najib berkata, untuk strategi kedua, masa depan dasar tersebut perlu
mempunyai matlamat selain berkait rapat dengan hasil yang khusus.
Oleh yang demikian ujarnya, persoalan utama berhubung perolehan kemahiran, bidang dan tahap perlu dijelas serta diperincikan.
''Di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP), kita mula beralih
kepada industri berpandukan teknologi tinggi dan pengetahuan. Kita juga
memfokus industri berkaitan pengurusan alam sekitar hingga kepada
penjimatan tenaga dan teknologi hijau.
''Kita telah mengenal pasti prospek pertumbuhan dalam beberapa bidang
utama seperti penjagaan kesihatan, pendidikan dan pelancongan. Ini
adalah sebahagian keutamaan kita bagi tahun-tahun mendatang. Jadi kita
perlu membina Dasar Pandang ke Timur yang dapat memenuhi bidang
berkenaan,'' katanya.
Strategi seterusnya kata Najib, negara perlu memberikan fokus untuk
melahirkan bukan hanya siswazah yang mahir malah membina institusi yang
kukuh.
''Itu adalah kunci kepada perkongsian strategik yang mapan. Apa yang
menggembirakan saya adalah melihat penubuhan Institut Teknologi
Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) pada Jun lalu. Institut itu
ditubuhkan sebagai pusat kecemerlangan dalam pengajian kejuruteraan
untuk ASEAN.
''MJIIT akan menyediakan pengalaman persekitaran industri yang unik
untuk negara hasil kerjasama golongan akademik dan perniagaan Jepun
selain menggalakkan lebih banyak syarikat Jepun melabur di Malaysia.
Secara jujurnya saya berharap lebih banyak universiti Jepun untuk
membuka kampus cawangan di sini,'' jelasnya.
Dalam perkembangan lain, ujar Najib, sejak 30 tahun lalu, pelaburan Jepun telah menyokong 2,360 buah projek di negara ini.
Pelaburan Jepun dalam sektor pembuatan Malaysia pada tahun lalu
sahaja katanya, merupakan yang tertinggi sejak 1980 yang mencecah AS$3.2
bilion (RM9.79 bilion).
Kata beliau, projek-projek berkaitan teknologi yang diluluskan tahun
lalu termasuk projek pengeluaran panel solar oleh Panasonic Energy
Malaysia bernilai AS$578 juta (RM1.76 bilion) dan pembuatan komponen
komputer termaju oleh Ibiden bernilai AS$906.3 juta (RM2.77 bilion).
Menyebut tentang perjalanan Dasar Pandang ke Timur, katanya, Malaysia
dan rakyat telah banyak memperoleh manfaat daripada sikap terbuka Jepun
berkongsi prinsip yang membawa kepada pembaharuan negara.
Beliau mengambil contoh kejayaan usahawan makanan halal, Akmal Abu Hassan yang pernah mendapat didikan di Jepun.
''Hari ini, Akmal berjaya menguruskan syarikatnya di Jepun dan
Malaysia hasil daripada pengajaran dan amalan perniagaan yang
diperolehinya daripada dasar itu. Saya difahamkan kini kita boleh
menikmati Wagyu (daging lembu) halal di beberapa restoran di Jepun hasil
usaha tersebut,'' tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan