KUALA LUMPUR 7 Okt. - Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak menyambut baik pengumuman rangka perjanjian damai
antara kerajaan Filipina dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).
Beliau berkata, kedua-dua pihak telah menunjukkan hasrat mereka untuk
menamatkan keganasan yang sudah berlangsung selama berdekad dan memuji
usaha mereka mencapai persetujuan meskipun berbeza pendapat.
"Saya juga memberikan pujian khas kepada Presiden (Benigno) Aquino
kerana komitmen beliau yang tidak berbelah-bahagi bagi mewujudkan
keamanan di Filipina.
"Saya amat gembira kerana menerusi perjanjian bersejarah ini, hak
maruah dan kemakmuran masa depan penduduk Bangsamoro akan dilindungi
manakala pada masa yang sama, kedaulatan dan perlembagaan Filipina tetap
terpelihara," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama.
Pengumuman berhubung rangka perjanjian itu dibuat berikutan rundingan
peringkat awal antara panel perunding dari kedua-dua pihak yang
diadakan di ibu negara Malaysia mulai 2 hingga 7 Okt.
"Penting bagi semua pihak untuk berpegang teguh dengan komitmen
mereka dan berusaha ke arah era baru yang aman di Filipina," katanya.
Perjanjian itu, katanya, akan memastikan penduduk Bangsamoro menikmati keamanan yang sememangnya menjadi hak mereka.
"Sehubungan itu, mereka harus menghormati rakan senegara yang
beragama Kristian kerana kesederhanaan merupakan cara Islam yang
sebenar," katanya.
Perdana Menteri juga berkata, beliau berbesar hati Malaysia dapat
membantu memudahkan rundingan itu sejak 2001 dan meneraju Pasukan
Pemantau Antarabangsa sejak 2004.
"Proses ini telah memperkukuh kepercayaan antara kedua-dua negara dan
kita akan terus memberi sokongan bagi membantu membina kapasiti di
kalangan Bangsamoro," katanya.
Najib juga berkata, beliau akan terus bekerja rapat dengan Presiden Aquino bagi melaksanakan rangka perjanjian itu.
"Sebagai menghormati janji yang saya buat kepada Presiden, saya tidak
sabar-sabar untuk berkunjung ke Manila bagi menyaksikan sendiri majlis
menandatangani perjanjian bersejarah ini," katanya. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan