11 Oktober 2012

Pas perlu ambil garis perpisahan

KUALA LUMPUR 9 Okt. - Pas perlu keluar segera daripada pakatan pembangkang yang bersekongkol dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) demi mempertahankan maruah sebagai sebuah parti yang dibina atas dasar menegakkan negara Islam.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, situasi yang melanda Pas kini terutama menerusi wujudnya dua puak yang tidak sependapat memperlihatkan parti itu keliru sama ada untuk menegakkan prinsip Islam yang didukung atau mengikut telunjuk dua parti komponen lain pembangkang.
Buktinya, kata beliau, Sasterawan Negara, Prof. Emiritus Datuk Dr. Shahnon Ahmad telah mengeluarkan pandangan bahawa Pas telah lari daripada landasan perjuangan asal yang menjangkau addin (agama) sebagai falsafah.
‘‘Tindakan Shahnon yang merupakan ahli seumur hidup parti itu membuktikan terdapat kumpulan fanatik dalam Pas yang mahu kepimpinannya kembali kepada perjuangan asal parti.
‘‘Sudah tiba masa ahli akar umbi Pas bangkit menuntut kepimpinan tertingginya mengadakan mufarakah, memandangkan apa yang diperjuangkan oleh Pas sekarang bukan berasaskan kepada perjuangan asal, tetapi lebih kepada individu dan politik," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Shahnon mengenai Pas kini hanya menuruti kehendak politik DAP dan pendekatan itu bercanggah dengan kehendak Islam kerana parti itu sepatutnya menjadi pemimpin dalam memperjuangkan agama tersebut.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin yang turut ditemui berkata, ahli-ahli Pas disaran mengadakan muktamar khas bagi membincangkan konflik dalaman parti itu dengan menumpukan kepada perkara garis perpisahan.
Beliau berkata, tindakan tersebut supaya kepimpinan pusat dapat menyatakan pendirian sama ada mahu terus bersekongkol dengan DAP mahupun Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau kembali kepada perjuangan parti.
‘‘Pemikiran Anwar adalah liberal, pluralisme dan mengikut jumud ulama yang sesat yang sememangnya perlu dibanteras.
‘‘Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din sendiri sudah membuat mufarakah dan nyatakan pendiriannya. Ini ditambah dengan kenyataan Shahnon Ahmad, jadi pandangan-pandangan sebegini harus diambil kira," katanya.
Dalam pada itu, Naib Presiden Pas, Salehuddin Ayub pula mahu perkara itu diserahkan kepada Majlis Syura Ulama parti bagi membuat keputusan berhubung kenyataan dikeluarkan Shahnon itu.
‘‘Semua akar umbi Pas perlu menerima segala keputusan yang akan ditetapkan majlis syura nanti. Kita tidak tahu apa yang diperkatakan Shahnon itu sebagai pendirian parti atau pendirian peribadi," katanya.

Tiada ulasan: