8 Oktober 2012

Pembangkang didakwa atur strategi cuba buruk-burukkan polis

KUALA LUMPUR 5 Okt. - Pemimpin tertinggi sebuah parti pembangkang didakwa mengarahkan setiap wakil bahagian untuk mengadakan sekurang-kurangnya dua kali sidang akhbar dalam masa sebulan bagi memaklumkan bahawa kawasan berkenaan tidak selamat.
Bekas Pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ng Lum Yong ketika mendedahkan perkara itu berkata, arahan itu dikeluarkan oleh pemimpin berkenaan dalam satu mesyuarat parti itu kira-kira dua bulan lalu bertujuan memburuk-burukkan imej polis.
“Ini yang saya hendak dedahkan. Saya sangat terkejut apabila ada ketua bahagian parti tersebut memaklumkan kepada saya bahawa pemimpin tertinggi parti berkenaan mengarahkan setiap ketua bahagian mengadakan sidang akhbar dua kali sebulan hanya untuk menceritakan kepada media bahawa kawasan tersebut tidak selamat.
“Ketua-ketua bahagian itu juga diarah untuk memaklumkan bahawa terdapat kes-kes jenayah berlaku setiap hari dan keselamatan rakyat terganggu.
“Hal ini hanya bertujuan memburuk-burukkan imej polis dan ia akan dikaitkan dengan kerajaan Barisan Nasional (BN)," katanya dalam ceramah anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) di Taman Dagang di sini malam tadi.
Antara yang hadir termasuklah, beberapa Ahli Majlis Syura TIBAI iaitu Mursyidul Amnya, Muhammad Zahid Md. Arip dan Presiden Jaringan Melayu Malaysia, Azwanddin Hamzah.
Lum Yong enggan mendedahkan nama serta partinya, sebaliknya meminta pakatan pembangkang tampil memberi penjelasan.
Menurutnya, beliau akan terus mendedahkan kegiatan pakatan pembangkang terutama PKR dari semasa ke semasa termasuk dalam ceramah TIBAI.
Beliau tidak takut jika disaman oleh mana-mana pemimpin pembangkang kerana mempunyai bukti mengenai arahan tersebut.
Ahli Majlis Syura TIBAI, Abdul Ghani Haroun pula kesal kerana Pas menggunakan artis-artis yang baru menyertai parti itu untuk menarik pengunjung hadir dalam ceramah mereka.

Tiada ulasan: