MANUSKRIP tulisan tangan Syeikh Hasan al Masysyat pada 1393 Hijrah iaitu lebih kurang enam tahun sebelum kewafatannya.
*****
MASJID al Haram pada dekad-dekad yang silam tidak pernah sunyi
daripada ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah yang merupakan jaguh ilmuan
daripada mazhab yang empat. Mereka menyampaikan ilmu dengan penuh
kesungguhan dan keikhlasan demi berkhidmat kepada syariat Nabi Muhammad
SAW. Ilmu dan keberkatan yang dititipkan akhirnya dibawa pulang oleh
para guru dari Tanah Melayu untuk disebarkan kepada masyarakat Islam di
rantau ini.
Di antara mereka yang menjadi nadi memakmurkan Masjid al Haram dengan
ilmu, hikmah dan amal, tulus, ikhlas lagi suci hatinya ialah al 'Alim
al 'Allamah Syeikh Hasan bin Muhammad al Masysyat al Maliki al Manafi al
Qurasyi.
Dilahirkan pada 3 Syawal 1317 Hijrah bersamaan 4 Februari 1900 Masihi
di Mekah al Mukarramah dengan salasilah nenek moyang sampai kepada Abdu
Manaf bin Qusay bin Kilab, iaitu datuk ketiga bagi Rasulullah.
Semenjak kecil, beliau telah dihantar oleh bapanya Syeikh Muhammad al
Masysyat menghafaz al Quran di pusat penghafazan al-Quran kemudian
menyambung pembelajarannya di Madrasah Saulatiyyah yang masyhur di Mekah
pada zaman itu. Di sana, beliau telah menghabiskan waktu dengan
menghafaz segala matan-matan ilmu Islam baik yang berbentuk nazam
mahupun prosa.
Setelah menamatkan pengajian awal di Madrasah Saulatiyyah, beliau
dilantik sebagai tenaga pengajar di situ dan berkhidmat dalam tempoh
yang agak lama.
Pada masa yang sama juga beliau memenuhkan waktunya menuntut ilmu di
halaqah-halaqah ilmu di Masjid al Haram daripada para ulama yang
masyhur, seperti Syeikh Muhammad Ali al Maliki, Syeikh Umar Hamdan al
Mahrisi, Sayyid Umar Bajunaid, Syeikh Muhammad Habibullah al Syanqiti
dan ramai lagi.
Disebabkan kebijaksanaan dan penguasaan yang cepat terhadap ilmu-ilmu
Islam, beliau telah ditauliahkan sebagai salah seorang tenaga pengajar
di Masjid al Haram dan mengajar di sana sepanjang hayatnya tanpa
mengambil sebarang gaji atau upah.
Kemahiran beliau dalam ilmu Islam dan kedudukannya yang tinggi juga
menyebabkan beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Syura, Ketua Mahkamah
Syariah kemudiannya sebagai Kadi di Mekah.
Keilmuan Syeikh Hasan juga mendapat pengiktirafan luar apabila beliau
turut ditauliahkan sebagai tenaga pengajar di Masjid Nabawi, Masjid
Sayyiduna Husain di Mesir dan Masjid Umawi di Syria dalam siri ziarahnya
ke sana. Beliau mengajar pelbagai bidang ilmu Islam terutama dalam
bidang fiqh dan usul, hadis dan ulum hadis, tafsir, sirah dan tasawuf,
terutamanya kitab Ihya' 'Ulumiddin dan Hikam Syeikh Ata'illah al Sakandari.
SYEIKH HASAN MUHAMMAD AL MASYSYAT
*****
Bermusafir
Bermusafir atas tujuan ilmu adalah menjadi satu kemestian bagi
seorang ulama. Syeikh Hasan al Masysyat juga tidak terkecuali daripada
itu apabila melakukan kunjungan ke beberapa negara Islam seperti Sudan,
Mesir dan Syria.
Di Mesir beliau telah bertemu dengan jaguh-jaguh ulama di sana
seperti Syeikh Muhammad Zahid al Kauthari, Syeikh Salamah al Qudha'i dan
ramai lagi. Dalam musafirnya ke Sudan, beliau telah bertemu dengan
Syeikh al Fatih Qaribullah dan Sayyid Ali al Mirghani di mana dalam
pemusafiran ini, matlamatnya tidak lari daripada urusan dakwah,
perbincangan ilmiah, penyampaian ilmu dan permohonan ijazah.
Sepanjang bergelar ahli ilmu, beliau telah memperoleh faedah ilmu dan
ijazah daripada ramai ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah terkemuka, sama ada
yang berada di Mekah dan Madinah mahupun selainnya.
Antara mereka yang telah membina personaliti ilmu dan
mengijazahkannya ialah Syeikh Muhammad Ali al Sannari, Syeikh Abdullah
Hamaduh, Syeikh Abdurrahman Ahmad al Dahhan, Syeikh Jamal Amir al
Maliki, Sayyid Umar ibn Abu Bakr Bajunaid, Syeikh Muhammad al Syanqiti,
Syeikh Khalifah al Nabhani, Syeikh Isa Rawwas, Syeikh Muhammad Ali al
Maliki yang digelar Sibawaih pada zamannya lantaran kehebatannya dalam
ilmu Nahu, Muhaddith al Haramain Syeikh Umar Hamdan al Mahrisi, Sayyid
'Aidarus ibn Salim al Bar, Sayyid 'Alawi ibn Tahir al Haddad bekas Mufti
Kerajaan Johor, Sayyid Abdul Hayy al Kattani, Syeikh Najib al Muti'i
dan ramai lagi. Senarai gurunya itu boleh dirujuk di dalam kitab al Thabat al Kabir fi Masyyakhah wa Asanid wa Ijazaat al Syeikh Hasan al Masysyat al Makki.
Ketika menjadi tenaga pengajar di Mekah, beliau dan beberapa ulama di sana telah mengasaskan Jam'iyyah al Khairiyyah Li Tahfiz al Quran al Karim iaitu
sebuah badan kebajikan yang menyelenggara dan menguruskan
halaqah-halaqah penghafazan al-Quran di sana yang dipengerusikan oleh al
Imam al Allamah Sayyid Alawi ibn Abbas al Maliki. Selepas kewafatan
Sayyid Alawi pada tahun 1391 Hijrah, beliau telah dilantik pula memikul
amanah menyelia dan mempengerusikan badan tersebut sehingga ke akhir
hayatnya.
Setelah mencurahkan ilmu dan bakti kepada umat manusia, Syeikh Hasan
al Masysyat dipanggil bertemu Allah pada 7 Syawal 1399 Hijrah bersamaan
31 Ogos 1979 dan disemadikan di Mekah al Mukarramah. Ingatan terhadapnya
kekal berbaki dan jasa baktinya kekal dalam ingatan dan doa insan-insan
yang mencintainya selagi mana manusia berpegang dengan al Quran dan
Sunnah dalam menempuh jalan yang lurus. Semoga Allah merahmatinya dan
menjadikan tempat persemadiannya sebagai salah satu dari taman-taman
syurga-Nya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan