MELAKA 9 Okt. - Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam
menyarankan penyokong Pas agar meninggalkan parti itu yang perjuangan
politiknya kini tidak lagi menepati kehendak Islam apabila bekerjasama
dengan DAP.
Beliau berkata perjuangan Pas dilihat lebih mementingkan kuasa dan undi daripada memperjuang agama Islam.
"Memang dari dulu kita (Barisan Nasional) dah beritahu, Pas tidak
lagi perjuangkan Islam," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengakuan ahli seumur
hidup Pas, Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad bahawa parti itu hanya
menuruti kehendak politik DAP dan pendekatan seumpama itu bercanggah
dengan kehendak Islam.
Mohd Ali turut memuji pengakuan Sasterawan Negara itu dan menganggap
ia satu tindakan yang tepat dalam usaha memastikan masyarakat Islam
tidak terkeliru dengan perjuangan tersebut.
Katanya beliau yakin lebih ramai ahli atau pemimpin parti itu akan
tampil menyatakan pendirian mereka berhubung perjuangan Pas pada masa
ini.
Terdahulu, Mohd Ali menyampaikan sumbangan yuran persekolahan oleh
kerajaan negeri Melaka berjumlah RM250,000 kepada 118 pelajar Sekolah
Menengah Pay Fong di sini yang kurang berkemampuan.
Beliau berkata sekolah Cina persendirian tersebut turut dijangka akan
memulakan aktiviti penanaman sayur dan buah-buahan di tanah seluas 0.3
hektar yang disewakan kerajaan negeri Melaka pada November depan.
Katanya inisiatif tersebut bertujuan membantu sekolah berkenaan
menjana pendapatan tambahan bagi menampung kos pengurusan yang semakin
meningkat. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan