14 Oktober 2012

‘Politik suku, agama suku’ Pas bagai tepuk air di dulang...

“SAUDARA-saudara sekalian percayalah, Kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.
Percayalah saudara-saudara sekelian,
Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan ‘politik suku, agama suku’."
Itu sedutan ucapan atau dikenali Amanat Hadi, disampaikan oleh Abdul Hadi Awang (ketika ini Presiden Pas) di Kampung Benggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981.
Tapi apa yang berlaku sekarang memperlihatkan pegangan Pas yang sangat berbeza.
Kalau diamati ‘Amanat Hadi’ ini, seolah-olah Pas mahu berbangga untuk tidak perlu mengorbankan kepentingan Islam semata-mata perjuangannya. Pas menolak ‘politik suku, agama suku’, tetapi kenapa kepimpinan Pas ‘membisu seribu bahasa’ dan ibarat ‘melukut di tepi gantang’ apabila DAP terang-terang menolak penubuhan negara Islam yang diperjuangkan parti itu?
Malah, penolakan DAP terhadap ideologi ‘negara Islam’ Pas ini berjaya pula mengubah serta mencemar seluruh entiti Pas sehingga terpaksa bertukar ke ‘negara kebajikan’.
Lebih teruk lagi apabila Abdul Hadi melancarkan dokumen polisi terbaharu Pas, “Negara Berkebajikan: Tawaran Pas" pada 11 Disember tahun lalu, beliau langsung tidak menyebut cadangan undang-undang hudud, yang juga agenda politik Pas.
Kelmarin, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan, Pas amat memerlukan DAP demi mencapai cita-cita memenangi Pilihan Raya Umum ke-13.
Idealisme perjuangan Pas yang dibawa oleh generasinya terdahulu telah dipangkas oleh DAP.
Pas! bukankah itu ‘politik suku, agama suku?

Tiada ulasan: