14 Oktober 2012

SPRM diminta siasat Nizar

PARIT 11 Okt. - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) supaya menyiasat pendedahan sebuah blog mengenai dakwaan salah guna kuasa melibatkan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.
Menurut beliau, pendedahan blog berkenaan amat serius kerana turut menyertakan bukti berupa surat yang dikeluarkan oleh pejabat beliau sendiri sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang dan juga Menteri Besar.
''Saya khuatir dan orang ramai juga mula bercakap, kalau melibatkan ahli politik Barisan Nasional (BN) cepat sekali (tindakan) diambil. Dalam kes ini saya tidak tahu ada kes atau tidak, tetapi SPRM patut siasatlah," katanya selepas melancarkan Projek Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Perwira di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas pendedahan sebuah blog budakbenteng.blogspot.com yang memuat naik dokumen berupa surat sokongan yang dikeluarkan oleh pejabat Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang berhubung permohonan sebuah syarikat bagi melaksanakan projek menaik taraf jalan di Lekir dekat sini.
Surat permohonan yang ditandatangani oleh Pegawai Khas Mohammad Nizar sendiri, Hamidun Ahmad antara lain menyebut:
''Pihak pentadbiran ini mengesyorkan SIPCOMZU ENTERPRISE beralamat di No. 61 Persiaran Venice Sutera 1, Desa Manjung Raya, 32200 Lumut untuk menjalankan kerja-kerja tersebut sebagaimana yang dikehendaki."
Pada ruang sebelah kanan surat itu tertera nota ditandatangani Mohammad Nizar dengan cop Menteri Besar Perak Darul Ridzuan yang berbunyi: ''Pengarah UPEN, harap proses."
Penulis blog itu mempersoalkan tindakan Mohammad Nizar yang mengeluarkan arahan seumpama itu sedangkan ia sepatutnya dilakukan melalui proses pemberian tender.
Zambry berkata, dari segi amalan kerajaan negeri, Menteri Besar terikat dengan peraturan-peraturan termasuk nasihat yang diberi pihak SPRM.
''Misalnya, Menteri Besar tidak buat surat-surat supaya syarikat itu atau syarikat ini diberikan (projek). Itu bukan amalan kerajaan," jelas beliau.
Menurut beliau, sudah wujud persepsi bahawa SPRM seolah-olah takut untuk mengambil tindakan terhadap pemimpin pembangkang sedangkan terdapat bukti yang didedahkan pelbagai pihak.
Sementara itu, Mohammad Nizar yang dihubungi memberitahu, beliau tidak tahu menahu mengenai pendedahan blog tersebut tetapi menuduh ia sebagai satu pembohongan.
''Ini pasti satu pembohongan, kalau nak tahu betul atau tidak, you kena tanya blogger itulah. Saya tidak tahu apa surat yang dimaksudkan, biar saya tengok blog itu dahulu," katanya.

Tiada ulasan: