KUALA LUMPUR 8 Okt. - Ketua Publisiti DAP, Tony
Pua hari ini dengan nada sombong menghina bekas Perdana Menteri, Tun Dr.
Mahathir Mohamad sebagai nyanyuk dan tidak relevan.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dari DAP itu membuat kenyataan
berkenaan sebagai mengulas kenyataan negarawan tersebut dalam sebuah
akhbar semalam yang menyifatkan memberi undi kepada pakatan pembangkang
sama seperti mengundi George Soros iaitu penyangak mata wang yang kejam.
"Saya tidak ingin melibatkan Perdana Menteri lalu kerana dia tidak
lagi relevan dalam politik kini tetapi kata-kata yang dibuat Tun Dr.
Mahathir itu adalah kata-kata yang saya rasa seorang yang telah
nyanyuk," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.
Semalam, bekas Perdana Menteri itu menegaskan Soros menggunakan wang
untuk meletakkan calon pilihannya bagi memerintah negara-negara yang
disasarkan sebagaimana yang dilakukan melalui Open Society Institute
dalam menukar pemerintah di Georgia.
Sebelum ini, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) didakwa menerima
sumbangan daripada Open Society Institute dan turut dipersoalkan adalah
pembiayaan Soros terhadap Malaysiakini, sebuah portal berita propembangkang.
Pua bagaimanapun menafikan sebarang penglibatan pakatan pembangkang
dengan penyangak mata wang Yahudi itu dan beliau turut memberitahu
pembangkang sentiasa menyokong perjuangan rakyat Palestin ke atas
(kekejaman) rejim Zionis.
Dalam sidang akhbar itu, Pua juga mempersoalkan usaha Dr. Mahathir
sebelum ini yang menyarankan Soros menyokong Yayasan Keamanan Global
Perdana (PGPF) dalam kempen menjadikan Perang Adalah Jenayah.
"Beliau (Mahathir) hanya mencemarkan nama baik dia sendiri, apa yang
masih tertinggal dan mengurangkan persepsi baik antara kalangan orang
ramai terhadap beliau di dalam tahun-tahun terakhir ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan