NAJIB Tun Razak bersalam dengan Barack
Obama selepas menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin ASEAN-AS Keempat di Peace
Palace, Phnom Penh, semalam. - BERNAMA
*****
PHNOM PENH, Kemboja 20 Nov. - Presiden
Barack Obama mengambil tindakan segera bagi membendung keganasan yang berlaku
di Semenanjung Gaza, selepas mendengar gesaan Malaysia dan Indonesia semasa
Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin ASEAN-Amerika Syarikat (AS) Keempat di Peace Palace
malam tadi.
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata,
Presiden Amerika Syarikat itu memaklumkan sendiri kepadanya yang beliau telah
menghubungi beberapa pihak terlibat untuk menghentikan keganasan di wilayah
bergolak itu.
“Pagi tadi beliau (Obama) beritahu saya
yang beliau telah membuat beberapa panggilan telefon malam tadi setelah
Malaysia dan Indonesia bangkitkan perkara ini. Beliau telah mainkan peranan
untuk cuba menghentikan keganasan di Gaza," kata Perdana Menteri kepada
wartawan Malaysia yang membuat liputan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-21 dan
sidang-sidang kemuncak berkaitan di Hotel Phnom Penh di sini hari ini.
Pagi ini, Perdana Menteri berjumpa sekali
lagi dengan Obama ketika menghadiri Mesyuarat Perkongsian Trans-Pasifik (TPP)
bersama ketua-ketua kerajaan dari Australia, Brunei, New Zealand, Singapura dan
Vietnam, selepas menyertai Dialog Global ASEAN.
Pada mesyuarat semalam, Najib telah
memohon Obama untuk bertindak membendung keganasan yang berlaku di Gaza bukan
sahaja menerusi kaedah jangka pendek bahkan jangka panjang iaitu dengan
menyambung semula rundingan ke arah penyelesaian di Asia Barat, dalam konteks
mewujudkan negara Palestin berasaskan penyelesaian dua negara.
Penyelesaian dua negara (two-state
solution) merujuk kepada pembentukan negara Palestin yang merdeka bersama-sama
negara Israel.
Ditanya mengenai jaminan yang diberikan
oleh Obama untuk menyelesaikan konflik Israel-Palestin itu, Najib berkata,
semua pihak mengetahui cabaran-cabaran dan kerumitan isu itu.
“Obama kata beliau akan cuba. Beliau mahu
keganasan dihentikan dan beliau tahu untuk mencari penyelesaian akhir yang
menyeluruh memerlukan pengorbanan besar.
“Saya fikir beliau memang berhasrat hendak
mencari penyelesaian akhir terhadap isu ini," katanya.
Menurut Perdana Menteri, Obama agak
tertarik dengan konsep kesederhanaan yang dipromosikan Malaysia kerana beliau
yakin ia suatu nilai yang boleh menentukan bahawa setiap insan akan mendapat
peluang mengembangkan potensinya, menyelesaikan konflik di mana-mana sahaja dan
juga boleh membantu ke arah keamanan, kedamaian dan kestabilan dunia.
Dalam pada itu, Mesyuarat ASEAN-AS Keempat
mengambil maklum tentang hasrat kuasa besar itu untuk meningkatkan hubungan
kedua-dua pihak di peringkat perkongsian strategik malah menerima perakuan
Kumpulan Tokoh Terkemuka (EPG) ASEAN-AS untuk menaik taraf mesyuarat ini ke
tahap sidang kemuncak.
“Obama sendiri berjanji akan menghadirinya
yang secara tidak langsung menunjukkan AS memang menganggap ASEAN sebagai
rantau yang amat penting dan strategik," ujarnya.
Dalam mesyuarat tersebut, Malaysia
mengalu-alukan hasrat AS untuk mengembangkan lagi kerjasama ekonomi dengan
ASEAN, menegaskan komitmen dalam isu keselamatan maritim khususnya di Selat
Melaka serta peranan negara dalam membantu mewujudkan wilayah Bangsamoro di
Filipina.
Perdana Menteri juga mengambil kesempatan
mengucapkan terima kasih atas penghantaran guru-guru bahasa Inggeris untuk
berkhidmat di Malaysia di bawah program Fulbright English Teaching Assistant
(ETA) yang melibatkan 50 guru dalam fasa pertama dan 75 lagi bagi fasa kedua.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121121/dn_01/AS-dengar-gesaan-Malaysia#ixzz2DU690Ny2
© Utusan Melayu (M) Bhd | 28/11/12
© Utusan Melayu (M) Bhd | 28/11/12