Memaparkan catatan dengan label Politic. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Politic. Papar semua catatan

8 Mac 2011

Sokongan rakyat terhadap BN semakin kukuh

KUALA LUMPUR 7 Mac - Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam dua Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau dan Merlimau semalam membuktikan sokongan rakyat terhadap BN semakin kukuh.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, ia juga memberi petanda baik untuk BN kembali memperoleh majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Bagaimanapun, menurut beliau, ia tidak seharusnya menjadikan BN 'dibuai' kelekaan dan harus terus bekerja keras dalam memenangi hati rakyat.

''Kejayaan dalam beberapa siri pilihan raya kecil sebelum ini membuktikan rakyat sudah mampu membezakan perjuangan antara kerajaan dan pihak pembangkang. Kejayaan demi kejayaan kita sebelum ini juga memberi makna segala usaha kerajaan yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semakin diterima rakyat.

''Jadikan kejayaan itu sebagai perangsang yang memberi makna BN perlu lebih bekerja keras," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen selepas Istiadat Pembukaan Penggal Keempat, Majlis Parlimen Ke-12 2011 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, 'suara-suara' pembangkang yang mengatakan BN hanya mampu menguasai kerusi di kawasan yang diklasifikasikan sebagai luar bandar hanyalah sebagai kenyataan yang angkuh.

/hwa: utusan.com.my | um - 8/3/11

Kerajaan Pas diminta dedah jual beli tanah Ladang Rakyat - Mustapa

PASIR MAS 7 Mac - Kerajaan Pas Kelantan diminta segera mendedahkan urusan penjualan tanah Ladang Rakyat di Kandek, Dabong yang dianggarkan bernilai lebih RM12 juta kepada sebuah syarikat bukan bumiputera, baru-baru ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, penjelasan itu perlu memandangkan wujud dakwaan berlaku penyelewengan dalam transaksi jual beli itu yang dikatakan hanya menguntungkan kroni pemimpin kerajaan negeri, bukannya rakyat yang menjadi peserta.

Tegasnya, rakyat negeri ini mempunyai hak untuk mengetahui siapakah yang mendapat keuntungan dalam transaksi tersebut dan apa hasilnya kepada mereka.

"Sebagai anak Kelantan, saya sendiri mahu tahu apa rasionalnya tanah ini dijual kepada syarikat bukan bumiputera itu dan di manakah kesemua wang itu telah dibelanjakan?

"Kerajaan Pas Kelantan perlu menjelaskan berapa ramai yang mendapat hasilnya dan siapakah kroni yang mendapat keuntungan? Siapakah Exco yang mendapat hasil itu?" kata beliau semasa berucap pada Majlis Pelancaran Gelombang Merah UMNO Pasir Mas, di sini malam tadi.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Datuk Hanapi Mamat.

Sebuah blog, kelatekito.net baru-baru ini mendedahkan wujud perjanjian 'ali baba' dalam pemberian tanah seluas 1,185.2 hektar itu kepada sebuah syarikat bumiputera dimiliki dua beradik pada 2006 untuk fasa kedua pembangunan Ladang Rakyat di Mukim Kandek, Dabong.

Perjanjian pemberian tanah tersebut dikatakan dibuat pada 23 Mac 2006 dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mewakili Kerajaan Pas Kelantan, manakala adik-beradik itu mewakili sebuah syarikat perladangan dan ternakan.

Menurut blog tersebut, hasil keuntungan ladang itu dikatakan mampu memberi manfaat kepada hampir 4,500 pesertanya yang menerima dividen sebanyak RM200 sehingga RM300 selepas beberapa bulan perjanjian itu dimeterai.

Bagaimanapun kira-kira tiga tahun selepas itu, syarikat tersebut telah diambil alih oleh sebuah syarikat bukan bumiputera membabitkan penjualan saham sebanyak RM12.75 juta.

Sementara itu, pada sidang akhbar selepas itu, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menegaskan pemimpin UMNO Kelantan perlu fokus dalam gerak kerja untuk merampas kembali negeri ini.

"Kita buat kerja (menawan kembali Kelantan)," tegasnya sambil menasihatkan mereka tidak terlalu memikirkan siapa akan menjadi menteri besar sekiranya Barisan Nasional (BN) merampas kembali negeri ini.

/hwa: www.utusan.com.my | um - 8/3/11

Roslan angkat sumpah ADUN Merlimau


ROSLAN Ahmad mengangkat sumpah sebagai ADUN Merlimau pada majlis angkat sumpah sebelum pembukaan sidang DUN dan angkat sumpah di Seri Negeri, semalam.

MELAKA 7 Mac - Tidak sampai 14 jam selepas diumum memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau pada Pilihan Raya Kecil di Dewan Platinum Politeknik Merlimau malam tadi, calon Barisan Nasional, Roslan Ahmad kini sudah bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkuatkuasa hari ini.

Difahamkan, pelantikan itu mencipta sejarah dalam mana-mana Dewan Undangan Negeri kerana paling cepat melakukan upacara mengangkat sumpah pelantikan seseorang ADUN.

Kira-kira pukul 10.15 pagi, Roslan, 44, yang mengenakan kot warna kelabu dan bersongkok mengangkat sumpah sebagai ADUN di hadapan Speaker DUN, Datuk Othman Muhammad.

Majlis tersebut disaksikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob yang turut merasmikan Persidangan Penggal Keempat DUN ke-12 di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini.

Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan barisan Exco kerajaan negeri serta 28 ADUN. Sidang DUN itu akan berakhir Khamis ini.

Selepas Roslan mengangkat sumpah dan melafazkan ikrar, beliau turut menandatangani surat pelantikan sebagai ADUN baru Merlimau menggantikan Allahyarham, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan yang meninggal dunia pada 20 Januari lalu.

Pada Pilihan Raya Kecil DUN Merlimau semalam, Roslan yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jasin memperoleh majoriti 3,643 undi menewaskan calon Pas, Yuhaizad Abdullah, 38.

Roslan ketika ditemui selepas upacara mengangkat sumpah itu berkata, beliau melahirkan rasa syukur kerana dilantik sebagai ADUN Merlimau yang baru.

"Saya lega semuanya berjalan lancar dan perkara pertama yang akan saya lakukan ialah balik ke kawasan untuk berjumpa dengan seluruh pengundi di tujuh peti undi yang kesemuanya memihak kepada BN," katanya.

Menurutnya, beliau akan cuba menyelesaikan masalah rakyat yang dibangkitkan sepanjang kempen pilihan raya kecil berakhir semalam.

"Yang mana masalah utama yang patut didahulukan akan saya lakukan manakala selebihnya akan diselesaikan mengikut keperluan," katanya.

/hwa: utusan.com.my | um - 8/3/11

Syed Ibrahim mulakan tugas wakil Rakyat



TEMERLOH 7 Mac - Selepas diisytiharkan menang bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau semalam, Syed Ibrahim Syed Ahmad tidak menunggu lama melaksanakan tugasnya sebagai wakil rakyat apabila turun padang meninjau masalah penduduk di situ hari ini.

Menurut beliau, rutin hariannya tidak berubah kerana sebelum ini sering menemui penduduk di Kerdau untuk menyelesaikan masalah mereka sebagai wakil kepada Allahyarham Datuk Zaharuddin Kassim semasa bekas Ahli Dewan Undangan Negeri itu sakit selepas menjalani pembedahan dan rawatan tahun lalu.

''Saya bekerja di bawah Menteri Besar dan selalu mewakili beliau menemui rakyat di peringkat akar umbi apabila Datuk Seri Adnan Yaakob mempunyai tugasan lain dan tidak dapat hadir ke majlis atas sebab tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menemui rakyat selepas memenangi kerusi DUN Kerdau di Rumpun Makmur di sini hari ini.

Syed Ibrahim memenangi kerusi tersebut dengan mengalahkan calon Pas, Hassanuddin Salim dengan majoriti 2,724 undi.

Beliau yang lebih mesra dipanggil Syed Ibra berkata, pengalaman ketika memegang jawatan lama berkenaan memberikannya pendedahan dan pengalaman berguna untuk menjadi wakil rakyat.

Syed Ibrahim menambah, beliau akan memberi tumpuan bagi membangunkan Kerdau berdasarkan program jangka masa pendek dan panjang.

Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau memberitahu, program jangka pendek adalah berkaitan dengan soal-soal kebajikan dan masalah yang dihadapi penduduk.

SYED Ibrahim Syed Ahmad bersalam dengan seorang penduduk, Muhammad Ismail yang menjemput anaknya dari Sekolah Kebangsaan Batu Sawar, Temerloh, semalam.

/hwa: utusan.com.my | um - 8/3/11

Faktor calon antara ramuan kejayaan

KUALA LUMPUR 7 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, prinsip pemilihan calon yang boleh menang adalah antara ramuan kejayaan Barisan Nasional (BN) menewaskan pihak pembangkang di dalam beberapa siri pilihan raya kecil yang diadakan sejak kebekangan ini.

Justeru Perdana Menteri berkata, prinsip itu akan dijadikan kriteria utama bagi BN kerana pemilihan calon yang tepat merupakan salah satu faktor terpenting dalam menentukan kemenangan pada setiap pilihan raya.

Selain itu beliau berkata, kemantapan jentera pilihan raya sama ada di peringkat parti komponen mahu pun sayap parti juga merupakan penyumbang kepada kejayaan BN dan yang terbaru di Merlimau dan Kerdau.

‘‘Selain daripada jentera kita apa yang selalu saya tekankan ialah calon yang boleh menang. Kita memegang kuat kriteria ini.

‘‘Oleh itu sebelum pemilihan calon dimuktamadkan saya akan berunding dengan (Timbalan Perdana Menteri) Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri Besar yang terlibat dan prinsip ini menjadi keutamaan kepada kita,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Majlis Parlimen Yang Kedua Belas 2011 di Bangunan Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada faktor calon menjadi faktor utama kemenangan BN dalam beberapa siri pilihan raya kecil sejak kebelakangan ini.

Untuk rekod kejayaan BN di Merlimau dan Kerdau semalam adalah kemenangan lima kali berturut-turut selepas Parlimen Batu Sapi (November 2010), Galas (November 2010) dan Tenang (Januari 2011).

Sebelum ini Najib semasa diadakan konvensyen BN di Wisma MCA Disember lalu memberi jaminan bahawa pemilihan calon-calon BN terutama pada Pilihan Raya Umum Ke-13 adalah berdasarkan pilihan serta kehendak rakyat.

/hwa: utusan.com.my | um - 8/3/11

Pas dalam keadaan tertekan

KUALA LUMPUR 7 Mac - Pas kini berada dalam keadaan tertekan selepas parti itu kalah empat kali berturut-turut kepada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti yang lebih besar pada pilihan raya kecil, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Perdana Menteri, tekanan tersebut makin terserlah apabila isu agama yang cuba dipolitikkan Pas tidak lagi diterima rakyat dan buktinya, BN menyapu bersih semua saluran pengundian bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dan Kerdau.

"Saya nampak Pas dalam keadaan tertekan sekarang ini. Pertamanya, apa jua isu agama yang hendak dibangkitkan oleh mereka tidak diterima oleh rakyat.

"Di samping itu, hubungan mereka dengan DAP yang terlalu selesa juga dipandang dengan rasa curiga terutama sekali, oleh orang Melayu," katanya kepada pemberita di Parlimen, di sini hari ini.

Beliau mengulas kemenangan bergaya BN di Merlimau dan Kerdau meskipun, Pas terutama melalui Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, terus memperalatkan isu agama bagi meraih sokongan pengundi Melayu.

Nik Abdul Aziz baru-baru ini menegaskan bahawa, Pas akan terus menggunakan isu agama dalam kempen pilihan raya kerana dakwanya, perbuatan itu sebahagian kerja dakwah seperti yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW.

Malah, Mursyidul Am Pas itu berkata, golongan mufti yang tidak bersetuju dengan amalan Pas tidak layak untuk mengeluarkan fatwa di Malaysia sebaliknya, hanya hanya layak mengeluarkan fatwa di negara komunis sahaja.

Ia susulan kepada 'fatwa politiknya' sebelum ini, iaitu semasa kempen Pilihan Raya Kecil DUN Tenang bahawa, pengundi yang tidak menyokong perjuangan Pas merupakan golongan jahiliah.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, Pas juga semakin tertekan kerana orang ramai sudah tidak lagi yakin kepada kerjasama rapuh di antara parti pembangkang, ekoran terdapat percanggahan pendirian antara mereka.

"Kerjasama antara parti pembangkang ini hanya bersifat luaran sahaja dan tidak berasaskan kepada pendirian hakiki yang boleh memberi keyakinan kepada pengundi.

"Ini menunjukkan bahawa hubungan dalam pakatan pembangkang bukan merupakan satu bentuk kerjasama yang kukuh tetapi rapuh, kerana wujud percanggahan pendirian parti masing-masing," katanya.

Sementara itu Najib percaya, kekalahan Pas di Merlimau dan Kerdau antara lain disebabkan faktor Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai liabiliti kepada parti tersebut.

Perdana Menteri berkata, ini kerana beliau sendiri mendapat maklumat bahawa jentera pilihan raya Pas memang tidak senang dengan kehadiran ketua pembangkang itu bagi membantu menjayakan kempen di Merlimau dan Kerdau.

Malah, kata beliau lagi, faktor Anwar yang dianggap sebagai liabiliti kepada Pas turut disokong dengan kewujudan mesej daripada pihak-pihak tertentu yang meminta Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu supaya jangan berkempen.

"Saya dengar Pas pun tidak berapa senang hati kalau dia timbul (berkempen) waktu pilihan raya kecil. Malah, ada juga pihak yang menyampaikan mesej supaya dia tidak datang waktu pilihan raya kecil sedang berlangsung.

"Itu nampaknya, sudah timbul rasa tidak yakin antara satu sama lain sesama komponen pembangkang," katanya.

Semalam, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan pihak tertentu yang dipercayai ahli Pas menghantar mesej Twitter meminta Anwar supaya jangan berkempen di Kerdau membuktikan Ketua Pembangkang itu liabiliti kepada Pas.

/hwa: utusan.com.my | um - 8/3/11

Kemenangan Berganda Perlihatkan Rakyat Pilih BN - Rais Yatim

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Kemenangan berganda Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dan DUN Kerdau memperlihatkan BN mendapat tempat di hati pengundi, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata kemenangan berganda itu adalah petunjuk reaksi rakyat terhadap usaha dan perjuangan kerajaan BN.

"Saya merasakan lebih dari bergembira dalam erti kata perjuangan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) (untuk membangunkan negara) serta sumbangsih penglibatan rakyat di Merlimau dan Kerdau.

"Walaupun masih ada ruang bagi kita untuk menganalisis beberapa segmen pengundi namun gagasan 1Malaysia dilihat mendapat tempat di hati pemilik dan pengundi," katanya ketika ditemui semasa majlis perasmian penutupan Pesta Pantun Bestari 2011 di Universiti Malaya (UM) di sini Ahad malam.

Beliau berkata namun BN tidak boleh sekadar berpuas hati dan kerja keras perlu dilakukan bagi menunaikan janji dan memenuhi komitmen kerajaan kepada rakyat.

Ditanya kemungkinan pilihan raya umum bakal diadakan lebih awal, beliau berkata:

"Itu hanya boleh dijawab oleh Perdana Menteri."

"Kita tidak boleh mengambil kira keputusan di Merlimau dan Kerdau sebagai muktamad oleh kerana kerja-kerja (jentera BN) di Sarawak dan Sabah dan kerja-kerja di beberapa negeri lain seperti di Selangor hendaklah dikemaskinikan.

"Bak kata orang kilat di langit tidak nampak jadi kita perlu jalankan tugas supaya isyarat itu berkekalan," katanya.

BN mengekalkan kerusi DUN Kerdau dan DUN Merlimau dengan majoriti lebih besar, meneruskan trend kemenangan parti itu dalam lima pilihan raya kecil setakat ini.

Calon BN pada kedua-dua pilihan raya kecil itu mengalahkan calon PAS masing-masing memperoleh majoriti 3,643 undi di Merlimau dan 2,724 undi di Kerdau.

Dengan kemenangan ini, BN telah memenangi lapan daripada 16 pilihan raya kecil yang diadakan selepas pilihan raya umum pada 2008. Tiga lagi kemenangannya ialah di Bagan Pinang, Batang Ai dan Hulu Selangor.

/hwa: www.bernama.com.my | bernama - 8/3/11

Kemenangan BN Bukti Rakyat Memberi Mandat - Ali Rustam

JASIN, 6 Mac (Bernama) -- Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau membuktikan rakyat memberi mandat penuh kepada kerajaan BN untuk meneruskan usaha membangun dan membela nasib mereka.

Beliau berkata BN tidak boleh mendabik dada dengan kemenangan majoriti lebih besar berbanding Pilihan Raya Umum 2008, sebaliknya perlu terus bekerja keras memenuhi keperluan rakyat.

"Terima kasih kepada pengundi yang sokong kita, terima kasih kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang sentiasa menyokong kita di sini, kemenangan ini daripada sokongan semua kaum, menunjukkan program 1Malaysia kita mempunyai kesan yang amat positif," katanya.

Mohd Ali yang juga Pengarah PRK DUN Merlimau, berkata walaupun kemenangan itu sudah dijangka, namun beliau agak risau jika rakyat memberikan majoriti undi yang lebih rendah berbanding pada pilihan raya umum lepas, dan kemenangan tersebut memberi petunjuk baik kepada BN bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Bagi YB Roslan yang baru dipilih ini, saya nasihatkan kepada beliau agar menunaikan hasrat BN bagi memajukan rakyat di kawasan ini, dan saya mahu beliau sentiasa turun padang meninjau masalah rakyat, sekiranya ini dilakukan, kita akan berjaya pada masa akan datang," katanya.

BN mengekalkan kerusi DUN Merlimau apabila calonnya, Roslan Ahmad mengalahkan calon PAS Yuhaizad Abdullah dengan majoriti 3,643 undi.

Roslan memperoleh 5,962 undi manakala Yuhaizad mendapat 2,319 undi.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula berkata kemenangan calon BN itu merupakan manifestasi kembalinya kegemilangan parti serta peningkatan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ditanya sama ada kemenangan ini menjadi kayu pengukur bagi Pilihan Raya Umum ke-13, beliau berkata apa yang jelas, program transformasi kerajaan serta jentera pilihan raya semakin mantap dan lebih selaras berbanding semasa beberapa PRK yang lalu.

"Kemenangan ini memperlihatkan keseimbangan dalam kemenangan yang pembangkang dakwa kita telah hilang pengaruh. Jelas rakyat terima hakikat dan tolak dakyah, pembohongan dan fitnah yang dibawa pembangkang," katanya.

Sementara itu, Naib Ketua Puteri Umno Shahanim Mohamad Yusoff berkata kemenangan Roslan membuktikan sokongan kuat pengundi muda kepada BN.

"Kita dapat lihat undi bagi saluran tiga dan empat yang mewakili golongan muda semakin tinggi, ini menunjukkan kesedaran mereka terhadap sumbangan kerajaan dalam memberi kehidupan selesa kepada rakyat," katanya.

Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP) Datuk M.Kayveas berkata beliau yakin Roslan mampu bekerja keras bagi membela nasib dan menunaikan janjinya kepada kaum India di Melimau.

"Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam pun rapat dengan kaum India di sini, saya juga percaya dengan gandingan beliau dan saudara Roslan ini mampu meningkatkan taraf sosioekonomi kaum India di kawasan ini," katanya.

Pengerusi MCA Melaka Datuk Gan Tian Loo pula berkata kemenangan itu menunjukkan pengundi Cina masih menyokong BN bagi terus membela nasib masyarakat Cina di Merlimau.

Pengerusi MIC Melaka Datuk R.Perumal mengucapkan tahniah kepada Roslan dan yakin berdasarkan pengalaman serta latar belakangnya, beliau mampu membawa Merlimau ke era baru, selain menjalankan tugas dengan baik.

Anggota Parlimen Jasin Datuk Ahmad Hamzah berkata beliau percaya Roslan mampu bekerja keras bagi membangunkan daerah Jasin dan Merlimau.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berterima kasih kepada semua penyokong parti yang bertanding kerana memberikan kerjasama yang amat baik kepada

SPR dan memastikan pilihan raya itu bebas daripada sebarang insiden tidak diingini.

/hwa: bernama.com.my | bernama - 8/3/11

Nik Aziz "Tidak Halal" Kemenangan BN

KOTA BAHARU, 7 Mac (Bernama) -- Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau "tidak halal" kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Melaka dan DUN Kerdau, Pahang semalam kerana mendakwa jentera kerajaan bersikap berat sebelah.

Meskipun terpaksa akur dengan keputusan itu, Menteri Besar Kelantan itu, mendakwa kekalahan PAS adalah disebabkan kesemua jentera kerajaan termasuk media perdana berpihak kepada BN.

Malah, menurutnya beliau tidak hirau sokongan pengundi Melayu kepada PAS merosot kerana pada kedua-dua pilihan raya kecil itu disifatkannya sebagai berat sebelah.

"Sebagai pemimpin PAS, mana-mana menteri, pihak berkuasa, yang menyalahgunakan kuasa, saya tak halal dunia akhirat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari Isnin.

Bagi DUN Merlimau, calon BN Roslan Ahmad, 44, menewaskan calon PAS, Yuhaizad Abdullah, 38, dengan majoriti 3,643 undi, manakala bagi DUN kerdau, calon BN Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44, menewaskan calon PAS Hassanuddin Salim, 43, dengan majoriti 2,724 undi.

Mengenai desakan DAP supaya kerajaan PAS Kelantan menarik balik pengharaman judi di negeri itu, Nik Abdul Aziz berkata pihaknya sedia menjelaskan pendirian kerajaan negeri Kelantan agar Pengerusi DAP Karpal Singh memahami perkara di sebalik pengharaman berkenaan.

"Perkara itu boleh dirunding, sebagaimana yang pernah disebut Karpal," katanya.

Pada 28 Feb lalu, pihak berkuasa tempatan menyaman dua pemilik kedai buku di negeri ini kerana menjual tiket loteri menyebabkan timbul dakwaan bahawa Kerajaan PAS Kelantan menidakkan hak penganut agama lain di negeri ini.

Ekoran pengharaman itu, Karpal mendesak Kerajaan PAS Kelantan supaya menarik balik pengharaman itu memandangkan ia dibenarkan kepada kaum bukan Islam di bawah Undang-undang kerajaan persekutuan dan Kelantan tidak terkecuali.

Mengenai dakwaan imej beliau disamakan dengan pengamal ajaran sesat Ayah Pin, Nik Abdul Aziz berkata biarlah perkara itu ditentukan oleh Allah s.w.t dan diselesaikan di akhirat nanti.

/hwa: bernama.com.my | bernama - 8/3/11

Ramai Anggota, Pemimpin PKR Akan Sertai KITA - Zaid Ibrahim

SUNGAI PETANI, 7 Mac (Bernama) -- Pengasas Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Datuk Zaid Ibrahim membayangkan lebih ramai lagi pemimpin dan anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan bertindak meninggalkan parti itu dan menyertai KITA dalam tempoh terdekat ini.

Katanya kebanyakan daripada mereka sudah menyatakan minat menyertai KITA kerana yakin dengan matlamat perjuangan dan hala tuju yang digariskan pihaknya.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan nama pemimpin berkenaan yang menyatakan pendirian untuk berbuat demikian.

Zaid berkata walaupun baru ditubuhkan, KITA mendapat sambutan baik khususnya di kalangan anggota PKR yang merasakan perjuangannya sia-sia kerana mereka hilang kepercayaan kepada pemimpin.

"Saya belum mulakan kempen secara besar-besaran, namun sudah dengar ramai yang berminat. Di Kedah, saya bertemu dengan pemimpin KITA dan dapat lihat kebanyakan daripada mereka adalah daripada PKR.

"Ini menunjukkan KITA makin diterima baik. Mereka mahu bersama-sama KITA dan saya untuk melakukan transformasi politik di negara ini," katanya dalam majlis pertemuan bersama lebih 50 pemimpin KITA peringkat Kedah di sini.

Zaid berkata kebanyakan daripada mereka yang berhasrat menyertai KITA juga yakin dan memahami hala tuju yang dibawa beliau untuk melakukan perubahan dalam arena politik tanah air.

"Hasrat KITA bukanlah menjadi sebuah parti kecil atau parti serpihan. Parti ini mahu menjadi suara besar, suara yang boleh menentukan dasar. Kita mahu memastikan suara ini walaupun tidak berkuasa, boleh sekurang-kurangnya menentukan pihak yang berkuasa itu mentadbir negara atau negeri dengan baik," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Zaid berkata pihaknya akan melebarkan sayap ke negeri ini dengan memmbuka pejabat di Sungai Petani akhir bulan ini.

Beliau juga memperkenalkan Zamil Ibrahim sebagai Pengerusi KITA cawangan Kedah.

/hwa: bernama.com.my | bernama - 8/3/11

7 Mac 2011

Najib: Pengundi Kembali Yakin Dengan BN

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Kejayaan Barisan Nasional (BN) dalam dua pilihan raya kecil (PRK) terbaru semalam menampakkan trend sokongan pengundi terhadap BN semakin meningkat dan bertambah kukuh, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menyifatkan sokongan pengundi, termasuk dari pengundi bukan Melayu terhadap BN sebagai trend menggalakkan, Perdana Menteri berkata BN akan terus berusaha mengukuhkan lagi prestasinya dalam melaksanakan janji kepada rakyat.

"Semakin hari kita dapat buktikan, apa yang kita janjikan dapat kita laksanakan. Saya percaya tahap sokongan dapat kita tingkatkan lagi. Apa isu yang ditimbulkan parti pembangkang, tidak diterima oleh rakyat kerana rakyat lebih melihat kepada jaminan masa depan mereka.

"Mereka yakin BN dapat memenuhi harapan dan jangkaan mereka untuk kecapi kualiti kehidupan yang lebih baik," katanya kepada pemberita selepas perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-12 oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Parlimen di sini, Isnin.

Najib berkata sokongan pengundi bukan Melayu terhadap BN juga mengalakkan, malah mereka juga spontan dalam menunjukkan kemesraan kepada BN.

Beliau berkata kejayaan BN pada kedua-dua PRK tersebut adalah berdasarkan beberapa faktor, termasuk jentera pilihan raya BN yang mantap selain pemilihan calon yang betul.

Justeru, katanya kriteria "calon boleh menang" akan terus ditekankan oleh BN dalam menentukan calon-calon untuk pilihan raya.

Katanya rakyat juga melihat dengan curiga kepincangan kepimpinan parti-parti pembangkang yang tidak sehaluan dan pakatan mereka yang rapuh.

"Pas dalam keadaan tertekan. Isu agama yang dimainkan oleh Pas tidak diterima. Hubungan mereka dengan DAP yang terlalu selesa dipandang dengan rasa curiga oleh orang Melayu," katanya.

Katanya ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak lagi membawa impak positif kepada pembangkang, sebaliknya beliau menjadi satu liabiliti kepada pembangkang.

"Saya dengar, Pas pun suruh Anwar jangan muncul di PRK. Ada SMS yang mengatakan suruh dia jangan datang," katanya.

Dalam PRK Merlimau di Melaka semalam, BN mengekalkan kerusi tersebut melalui Roslan Ahmad yang mengalahkan Yuhaizad Abdullah dari Pas dengan majoriti 3,643 undi. Roslan meraih 5,962 undi sementara Yuhaizad 2,319 undi.

Di Kerdau pula, calon BN Syed Ibrahim Syed Ahmad mengalahkan Hasannudin Salim dari Pas dengan majoriti 2,724 undi. Syed Ibrahim, yang juga Naib Ketua UMNO bahagian Kuala Krau, memperoleh 5,060 undi manakala Hassanuddin, 2,336 undi.

Ketika menjawab soalan sama ada kejayaan ini petanda baik untuk kerajaan negeri Sarawak mengadakan pilihan raya negerinya, Najib bagaimanapun berkata PRK adalah berbeza dengan pilihan raya umum kerana ia mengambil kira beberapa faktor termasuk isu tempatan.

"Suasana keadaan mesti ambil kira faktor tempatan, nasional dan juga negeri bila tentukan situasi dalam pilihan raya, sama ada menguntungkan kita atau sebaliknya. Kita mesti lihat isu tempatan peringkat negeri dan juga kepimpinan nasional," katanya.

/hwa: bernama.com.my | bernama - 7/3/11

29 Oktober 2009

Pembangkang iktiraf DUN – MB

[Utusan - 29/10/09]
IPOH 28 Okt. – Kehadiran wakil rakyat pembangkang pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini secara tidak langsung menunjukkan mereka mengiktiraf Datuk R. Ganesan sebagai Speaker yang sah.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, mereka pada masa menandatangani kehadiran masing-masing untuk sidang tersebut dan duduk di kawasan pembangkang.
Beliau berkata, pada masa sama, pembangkang sengaja membuat kecoh dan ‘membentangkan bajet’ sewaktu sidang ditangguhkan selama sejam semata-mata untuk mengelak daripada dikenakan sebarang tindakan oleh Speaker.
‘‘Mereka sengaja tunggu untuk masuk sewaktu sidang dewan ditangguhkan. Mereka buat kecoh kerana tahu tempoh itu dianggap tidak bersidang dan Speaker tidak boleh ambil apa-apa tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membentangkan Bajet 2010 kerajaan negeri Perak pada Sidang DUN di sini hari ini.
Zambry berkata, pembangkang sedar kehadiran mereka itu dapat mengelakkan diri daripada dikenakan sebarang tindakan tegas seperti digantung menghadiri sidang Dewan akan datang.
‘‘Dulu Datuk Ngeh Koo Ham kata tak nak datang dan ia disokong oleh Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin. Saya sudah beritahu kepada anda semua bahawa mereka pasti datang sidang DUN.
‘‘Cuma hari ini bezanya mereka hendak tunjukkan drama yang baru supaya dirakam dan dilihat kononnya mereka ditarik, dihalang malah dicekik oleh polis. Mereka perlu ‘mendramakan’ watak-watak itu,” katanya.
Sementara itu, Zambry juga dapat menjangkakan bahawa pembangkang akan terus berdrama selepas ini dengan mencabar kewibawaan kerajaan negeri ke mahkamah.
Katanya, selepas belajar daripada pengalaman lalu, pembangkang hari ini didapati tidak terlalu agresif sebagaimana yang berlaku pada sidang dewan lepas.
‘‘Dulu mereka begitu biadab dengan menyerang kita sampai tahap luar batasan dan naik atas meja. Apabila masyarakat tidak suka dengan perangai itu, kali ini mereka cuma menjerit-jerit sahaja.
‘‘Saya seperti biasa sentiasa senyum terhadap mereka. Malah Nizar bersalaman dengan saya dan sempat ambil gula-gula Hacks saya,” katanya.
##