Najib Tun Razak bergambar bersama
wakil-wakil wilayah yang menerima cek durian runtuh fasa ketiga dalam
Program Himpunan Generasi Baharu Felda di padang kawad UiTM, Shah Alam,
semalam. Turut sama, Mohd. Isa Abdul Samad dan Ahmad Maslan. -
MINGGUAN/MOHD. SHAHARANI SAIBI
*****
SHAH ALAM 10 Nov. - Hasil kejayaan Felda terus menerus melimpah
apabila kini giliran generasi baharu peneroka menerima durian runtuh
bagi fasa ketiga berjumlah RM563.2 juta sebagaimana dijanjikan oleh
Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri yang menyempurnakan pembayaran tersebut berkata,
durian runtuh sebanyak RM5,000 kepada setiap 112,636 buah keluarga
peneroka melibatkan 11 kawasan tanah rancangan setelah sebelum ini
pembayaran seumpama itu dinikmati oleh golongan ibu bapa mereka sebagai
peneroka.
"Durian runtuh fasa pertama peneroka dapat, kemudian fasa kedua
penerokawati dan hari ini generasi kedua iaitu anak-anak peneroka pula
mendapat rahmat durian runtuh sekali gus membuktikan kita kerajaan tidak
pernah mungkir janji.
"Kerajaan terbukti mempunyai kemampuan untuk membela generasi baharu,
dunia kenal Felda, dunia kenal Malaysia kerana perancangan kita. Namun
itu belum cukup lagi, ada lagi besar, yang cukup ialah apabila tiba
masanya pilihan raya nanti... boleh atau tidak?," katanya yang disambut
laungan boleh oleh kira-kira 12,000 generasi baharu Felda bahawa mereka
akan memberikan sokongan padu kepada Barisan Nasional (BN).
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Himpunan
Generasi Baharu Felda di padang kawad Universiti Teknologi Mara (UiTM)
di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad; Pengarah
Besar Felda, Faizoull Ahmad; Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Seri Ir Dr.
Sahol Hamid Abu Bakar dan wakil generasi baharu Felda, Anuar Manap.
Sebagai tanda pembayaran itu, Perdana Menteri menyampaikan replika
cek kepada wakil dari 11 Wilayah Felda iaitu Raja Alias, Segamat, Gua
Musang, Kuantan, Trolak, Johor Baharu, Mempaga, Terengganu, Alor Setar,
Jengka dan Sahabat di Lahad Datu.
Bayaran durian runtuh itu akan dibayar dalam bentuk cek menerusi
rancangan Felda terbabit dan pihak keluarga akan menentukan bayaran cek
berkenaan ke atas nama individu.
Laporan sebelum ini menyatakan, durian runtuh yang disalurkan itu
adalah berikutan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad
(FGVH) ke Bursa Malaysia dan disifatkan sebagai penyenaraian kedua
terbesar di dunia.
Perdana Menteri dalam ucapannya menggesa generasi baharu Felda agar
melengkapkan diri dengan tiga faktor iaitu ketinggian ilmu bagi
memartabatkan bangsa, penguasaan teknologi menggantikan tulang empat
kerat serta inovasi mencari kekayaan baru bagi merubah wajah tanah
rancangan itu.
"Dulu mereka baiki motosikal tetapi dengan jasa Felda sekarang
generasi baharu Felda kini mampu memperbaiki pesawat-pesawat canggih
pula," katanya.
Perdana Menteri berkata, menyedari bahawa rumah-rumah peneroka dahulu
kecil dan serba sederhana, kerajaan menyedia satu program perumahan
untuk generasi baharu Felda melalui projek Sentuhan Kasih Felda.
"Kita buat rumah pasang siap menggunakan IBS (Sistem Pembinaan
Industri), banglo yang dibuat itu boleh siap dalam tempoh satu minggu
dengan nilai RM70,000 untuk dijual kepada anak-anak peneroka, dapat
pinjaman bank hanya bayar RM360 sebulan.
"Inovasi baru juga kita hendak generasi kedua Felda menjalankan
aktiviti tanaman seperti tembikai madu yang rasanya sedap," katanya.
Beliau berkata, hasil inovasi yang dilakukan oleh Felda, generasi
baharu tanah rancangan mampu untuk memiliki rumah bersaiz banglo dan
pada masa sama memperoleh pendapatan lebih tinggi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan