KUALA LUMPUR 5 Nov. - Tan Sri Muhyiddin Yassin
hari ini membidas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
bahawa DAP merupakan parti yang memperjuangkan semua kaum.
Tegas Timbalan Perdana Menteri, apa yang jelas, DAP adalah parti bersifat perkauman dan tidak memperjuangkan semua kaum.
Oleh yang demikian katanya, kenyataan Hadi seakan merestui penyertaan orang Melayu dalam DAP itu dilihat agak membingungkan.
''Kalau semua orang Melayu masuk DAP, Pas dah tiada ahli lagilah. Itu
(kenyataan Abdul Hadi) membingungkan saya. Semua tahu khususnya orang
Melayu, DAP bukan parti yang memperjuangkan semua kaum. Dia (DAP)
terlalu rasis (bersifat perkauman). Dia kata parti yang demokratik
tetapi tak demokratik. Siapa yang pegang tampuk parti itu, kita tahu.
''Parti seperti DAP tak bertanding di kawasan Melayu. Dia bertanding
pilih kawasan-kawasan bukan Melayu seperti di kawasan bandar sahaja.
Kalau ada orang Melayu di situ, DAP tak bertanding untuk jaga
kepentingan Melayu. (Perkara ini) jelas, bukan perkara baharu. Jadi
anehlah. Hadi (Abdul Hadi) nyatakan itu, saya agak bingung bagaimana
beliau boleh buat kenyataan seperti itu,'' katanya.
Muhyiddin berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan
ucaptama Forum Inovasi Dunia-Kuala Lumpur 2012 (WIF-KL 2012) di Pusat
Konvensyen Kuala Lumpur di sini.
Yang turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili.
Beliau mengulas kenyataan Abdul Hadi yang seperti merestui penyertaan
orang Melayu dalam DAP dengan menganggap parti itu berbeza dari MCA dan
MIC kerana disifatkan perkauman.
Dalam pada itu Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi Barisan
Nasional (BN) berkata, BN dan semua pihak sedia maklum akan masalah
dalaman DAP serta Pas dan perhubungan antara kedua-dua parti itu tidak
pernah kukuh.
''Oleh itu kalau Presiden Pas buat kenyataan seperti itu (merestui
penyertaan orang Melayu dalam DAP), tak tahulah sama ada beliau perli
atau apa, saya kurang pasti,'' ujarnya.
Ditanya mengenai sikap kerajaan DAP Pulau Pinang yang terus menerus menghalang beberapa media khususnya Utusan Malaysia
membuat liputan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), beliau memberitahu,
perkara itu jelas membuktikan tindakan pembangkang terutama DAP yang
'cakap tak serupa bikin'.
Katanya, tindakan tersebut juga bertentangan dengan prinsip
pembangkang yang kononnya memperjuangkan ketelusan, kebebasan bersuara
serta kebebasan media.
''Kita dah tahu memang dia (pembangkang) cakap tak serupa bikin. Kita
dengar prinsip perjuangannya menjunjung ketelusan, ada CAT (cekap,
akauntabiliti, telus) dan macam-macam. Kononnya itu asas perjuangan
tetapi dari segi amalan sebenar tak begitu.
''Jadi kalau ada sesuatu yang dilihat tak memberi keuntungan atau ada
pihak-pihak kritik parti itu atas sebab-sebab tertentu yang munasabah,
mereka tak sedia terima. Inilah kita harus faham bahawa parti seperti
itu boleh berkata sesuatu tetapi tak amalkan apa yang dia sebutkan,''
jelasnya.
Menjawab soalan berhubung kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana
Menteri, Datuk Zaid Ibrahim mahu bertanding di Parlimen Pekan, katanya,
kenyataan itu belum diketahui kebenarannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan