KOTA BHARU 9 Nov. - Sekalipun mengakui bahawa Nurul Izzah Anwar
mungkin telah mengeluarkan kenyataan yang 'celaru', tetapi Mursyidul
Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat masih mempertahankannya dan
menyifatkan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak
bernasib baik kerana berada di pihak pembangkang.
Nik Abdul Aziz berkata, pelbagai pihak sengaja memburukkan dan
memberi maklum balas keterlaluan ke atas Nurul Izzah seumpama bunyi
bising kuat daripada 'meriam buluh dan meriam besi' walaupun anak Ketua
Pembangkang itu hanya menyuarakan sedikit pandangan.
Beliau turut membandingkan kesnya sebelum ini yang didakwa 'bapa
kafir' oleh seorang bekas Ketua Polis Negara tetapi tidak pula mendapat
sorotan media kerana tuduhan itu mengena ke atas seorang pimpinan
pembangkang.
"Kebelakangan ini bising pasal (kenyataan) Nurul Izzah, kesnya sebab
apa? Sebabnya dia pembangkang, kalau dia bukan pembangkang pasti
tidak mengapa.
"Bekas Ketua Polis pernah kata saya bapa kafir tetapi semua senyap
belaka, sebabnya dia menuduh Nik Aziz yang merupakan pembangkang, jadi
kata apa pun surat khabar senyap, radio senyap.
"Tetapi apabila Nurul Izzah buat keluar sedikit kenyataan, walaupun
kenyataan dia boleh jadi celaru sungguh, tetapi geger gegok (amat riuh)
lebih daripada meriam buluh, meriam besi," katanya semasa
menyampaikan kuliah di hadapan Pejabat Badan Perhubungan Pas negeri di
sini hari ini. - UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan