KUALA LUMPUR 6 Nov. - Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Mujahid Yusof
Rawa merupakan antara panel forum bertajuk Negara Islam: Versi Mana;
Siapa Bertanggungjawab? yang diadakan di Subang Jaya, Selangor, Sabtu
lalu.
Forum yang turut dihadiri Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR),
Nurul Izzah Anwar itu bermula pada pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari
dan dianjurkan Oriental Hearts and Mind Study Institute (OHMSI).
Memetik kenyataan portal Agenda Daily, OHMSI memang diketahui
umum sebagai pemikir (think tank) kepada penganut Kristian dan pernah
menganjurkan forum bertajuk 'Penganut Kristian dan Pilihan Raya Umum
Malaysia 2008' sebelum ini.
Turut dimuat naik dalam laman portal itu ialah poster penganjuran forum tersebut yang berlatarbelakangkan kubah masjid.
Nurul Izzah sebelum ini menimbulkan kontroversi ketika menjawab
soalan seorang peserta dalam forum itu sama ada orang Melayu perlu
diberikan kebebasan beragama seperti bukan Melayu.
Nurul Izzah menegaskan, rakyat tidak seharusnya dipaksa mengamalkan
agama tertentu dan perkara itu juga perlu terpakai kepada orang Melayu.
Turut menjadi panel forum tersebut ialah Ketua PKR Sarawak, Baru Bian.
Beliau seperti dipetik menerusi laporan portal propembangkang,
Malaysiakini berkata : ''Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam
beragama... mengapa sesetengah pihak rasa bersalah, perkara ini
(kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu,
sepatutnya diguna pakai secara sama rata."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan