VIENTIANE 5 Nov. - Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak berkata, beliau tidak mempunyai masalah sekiranya
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhasrat untuk bertanding di
kerusi Parlimen Pekan pada pilihan raya umum akan datang.
Najib yang juga Presiden UMNO berkata, bagaimanapun beliau merasakan
Hadi yang juga ahli Parlimen Marang tidak serius dengan kenyataannya
itu.
''Saya tidak tahu (tentang hasrat Hadi untuk bertanding di Pekan), betulkah beliau serius (ingin bertanding).
''Saya tidak fikir beliau (Hadi) serius, tetapi terpulanglah
kepadanya (Hadi) untuk membuat keputusan (bertanding atau tidak di
Pekan)," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Perdana Menteri mengulas laporan akhbar Jumaat lalu tentang kesediaan
Presiden Pas itu untuk bertanding di kerusi Parlimen Pekan pada pilihan
raya umum akan datang.
Beliau bagaimanapun berkata, sekiranya Hadi serius untuk mencabarnya
di Pekan, beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk mempertahankan
kerusi itu.
''Sesiapa (mana-mana calon) bebas untuk bertanding di mana-mana," katanya.
Najib berada di sini untuk menghadiri Sidang Kemuncak Kesembilan
Asia-Eropah (ASEM) 2012 yang berlangsung selama dua hari mulai hari ini.
Hadi membuat kenyataan itu ketika ditanya apakah beliau akan kekal
bertanding di kerusi Parlimen Marang atau mempunyai perancangan untuk
bertanding di luar Terengganu.
Kenyataan Hadi itu disokong oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul
Aziz Nik Mat yang memberi 'lampu hijau' kepada Hadi dan menyokong
kenyataannya untuk mencabar Perdana Menteri di kerusi Parlimen Pekan
pada pilihan raya umum itu nanti.
"Dia (Abdul Hadi) adalah Presiden parti, jadi apa (hasratnya) yang
dicakapkan kita akan turut dan sokong demi kebaikan parti serta
perjuangan Islam," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan