NAJIB Tun Razak bersalaman dengan
orang ramai yang menghadiri Majlis Pelancaran Bulan Keluarga Kebangsaan
1Malaysia di Dataran Pekan, Pahang, semalam. Turut hadir, Rosmah Mansor,
Adnan Yaakob dan Heng Seai Kie. - MINGGUAN/MAHATHIR ALI
*****
PEKAN 3 Nov. - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu semua pihak
bersama-sama meningkatkan Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia ke
tahap cemerlang dalam usaha melahirkan sebuah negara sejahtera.
Perdana Menteri berkata, data Kementerian Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan
Keluarga Negara (LPPKN) menunjukkan tahap Indeks Kesejahteraan Keluarga
Negara kini berada di paras 7.55 daripada skala 10.
"Maknanya, belum dapat A lagi, baru dapat B+, jadi masih ada ruang untuk ditingkatkan lagi.
"Dengan harapan pada masa akan datang indeks ini akan menghampiri
skala 10," katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Bulan Keluarga
Kebangsaan 1Malaysia di Dataran Pekan, di sini hari ini.
Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor,
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Timbalan Menteri
Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Heng Seai Kie.
Najib yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
berkata, menjadi tanggungjawab kerajaan menentukan hala tuju atau
memilih model paling sesuai yang akan diperjuangkan demi kesejahteraan
negara.
"Kita ada model konvensional yang menggunakan kriteria pendapatan
perkapita, tetapi saya berpendapat, kalau model kita satu dimensi
sahaja, ia tidak tepat dan komprehensif.
"Cuba bayangkan kita mempunyai banyak harta tetapi berbalah berebut
harta antara keluarga dan perlu naik turun mahkamah untuk selesaikan
perbalahan.
"Bererti bahawa, kalau kita jutawan, banyak wang, ada rumah dan
kereta besar tak semestinya kita bahagia, oleh itu kita perlu Indeks
Kesejahteraan dan salah satu komponennya adalah keluarga bahagia,"
katanya.
Najib berkata, dalam usaha memperkukuhkan institusi keluarga,
kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah antaranya mengumumkan bulan
November sebagai Bulan Keluarga.
Kerajaan juga katanya, telah memperkenalkan Dasar Keluarga Negara,
cuti bersalin untuk isteri dan suami, subsidi penjagaan anak kakitangan
awam, taska di tempat kerja dan Dasar Rumah Pertamaku.
Sebagai komitmen berterusan, tambah beliau, Bulan Keluarga Kebangsaan
akan disambut setiap tahun dan setiap majikan digalakkan mengadakan
sambutan itu dengan sektor swasta dan awam akan memberi pengecualian
cukai bagi tujuan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan